Nuff Atas

26 Januari 2014

Kes Pukul Anak Kerana Tidak Solat Di Sweden

Rasulullah SAW bersabda: Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). ~ Hadis riwayat Abu Daud.


Azizul Raheem Awalludin dan isteri, Shalwati Norshal yang ditahan oleh pihak berkuasa Sweden bergambar bersama empat orang anak mereka.

Pepatah Melayu sayangkan anak, tangan-tangankan yang menjadi amalan sebahagian besar masyarakat dunia untuk mendidik anak, malah dibenarkan oleh agama Islam telah menjadi suatu halangan sehingga membawa padah kepada sebuah keluarga Malaysia di Sweden.

Atas nama melindungi hak asasi manusia dan melindungi kanak-kanak, 23 negara Barat mempunyai undang-undang khusus yang melarang ibu bapa menyentuh anak mereka (no spanking law iaitu undang-undang melarang ibu bapa menghukum anak dengan cara memukul) walaupun bertujuan untuk mendisiplinkan anak. Sweden adalah negara pertama yang memperkenalkan undang-undang itu pada 1979.

Bagaimanapun, Shalwati Norshal, guru yang mengambil cuti tanpa gaji untuk mengikut suaminya, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Pelancongan Malaysia di Stockholm, mungkin tidak menyedari wujudnya peraturan sedemikian.


Hak asasi di Sweden

Apa lagi dalam Islam, memukul anak dengan tujuan mendidik dibenarkan berdasarkan sabda Rasulullah: Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat bila dia berumur tujuh tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan solat ketika berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur. (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Kerana itu, apabila anaknya meninggalkan solat sebelum ke sekolah pada satu pagi bulan lalu, Shalwati menampar pada bahagian siku anak ketiganya, Ammar yang berusia 11 tahun. Sebagai reaksi kepada kemarahan ibunya itu, Ammar bermuka sedih ketika memasuki kelas pada hari berkenaan sehingga menarik perhatian gurunya.

Apabila ditanya kenapa bersedih, Ammar memberitahu guru terbabit dia dipukul oleh ibunya. Guru itu kemudiannya memberitahu kaunselor sekolah yang memanggil Ammar selepas itu. Kanak-kanak itu yang mungkin tidak kisah ditampar di siku tetapi bengang dengan kemarahan dan leteran ibunya, mendakwa dia sering dimarahi di rumah.

Salah pemahaman

Dakwaan inilah yang pada pemahaman kaunselor itu termasuk sering dipukul mendorong beliau menghubungi polis sehingga pasangan itu ditahan sejak 18 Disember 2013 untuk siasatan atas dakwaan mendera kanak-kanak, manakala empat anak mereka diserahkan kepada keluarga angkat bukan Islam.

Anehnya, Azizul Raheem yang berada di pejabat ketika isterinya didakwa memukul Ammar turut ditahan. Difahamkan, pihak berkuasa enggan membebaskan pasangan itu kerana takut mereka kembali ke Malaysia sebelum perbicaraan, memukul anak mereka kerana membalas dendam atau memusnahkan bukti wujudnya penderaan di rumah mereka.

Abang Shalwati yang pergi ke Sweden awal Januari 2014 juga tidak dibenarkan menemui pasangan itu dan keempat-empat anak saudaranya.

Sepanjang seminggu di sana, beliau hanya sempat menemui anak sulung pasangan itu, Aishah, 14, yang kebetulan keluar ke bandar.

Kerjasama Kedutaan Malaysia

Pada 20 Januari, 2014, pihak berkuasa Sweden dilaporkan memberi kebenaran kepada wakil ahli keluarga untuk menemui empat kanak-kanak itu. Kebenaran dan persetujuan itu diperoleh hasil usaha berterusan wakil Kedutaan Malaysia mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di negara berkenaan.

Untuk rekod, Sweden pernah mempunyai undang-undang yang bukan saja membenarkan anak tetapi isteri dipukul. Pada 1920-an, satu undang-undang dikenali sebagai Husaga di negara itu membenarkan ketua keluarga memukul isteri, anak dan orang gaji mereka. Sehingga 1958, guru di negara itu masih dibenarkan memukul murid sehinggalah undang-undang melindungi kanak-kanak diperkenalkan pada 1979.

Begitupun, tidak semua negara Barat mengikuti jejak Sweden. United Kingdom masih membenarkan ibu bapa memukul anak mereka untuk tujuan mendidik, manakala Amerika Syarikat tidak menghalang ibu bapa berbuat demikian di rumah mereka.

Kes ini adalah contoh terbaru pertembungan budaya antara masyarakat yang masih berpegang dengan ajaran agama dan tradisi dengan golongan menjadikan kebebasan serta perlindungan hak individu sebagai keutamaan yang mengatasi segala-galanya.

Prinsip kebebasan seumpama inilah menyebabkan perlakuan yang satu ketika dulu menjadi taboo (larangan) kepada mana-mana budaya seperti perkahwinan sejenis, kelahiran anak luar nikah dan penghinaan agama berleluasa seperti sekarang.

Sementara kita menghormati hak Sweden melaksanakan undang-undang dan peraturan mereka, kita juga berharap negara itu turut mengambil kira hak kanak-kanak terbabit untuk menemui ibu bapa mereka serta tinggal dengan keluarga seagama.

Oleh: Manja Ismail
Sumber: BHarian [2014/01/21]

Hikmah di sebalik kisah ini

Kejadian ini sudah tentunya, membawa seribu satu pengajaran dan hikmah yang boleh dikutip oleh semua lapisan masyarakat di negara kita.

Pertama, golongan kanak-kanak dan remaja boleh mempelajari bahawa ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab akan senantiasa memastikan kejayaan anak- anak mereka bukan setakat kejayaan di dunia malah di akhirat juga.

Keprihatinan Shalwati sebagai ibu yang berusaha gigih untuk mendidik anak-anaknya supaya jangan meninggalkan solat. Tetapi harga dalam mendidik anak dan menegakkan sunnah Baginda Rasulullah SAW terpaksa dibayar dengan hukuman yang berat sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Dalam hal ini, setidak-tidaknya anak-anak pasangan ini akan sentiasa ingat untuk tidak sekali-kali meninggalkan solat kerana mengenangkan kesilapan mereka meninggalkan solat telah menyebabkan ibu bapa mereka di penjara.

Kanak-kanak dan remaja lain juga pasti akan ingat bahawa ibu bapa memikul tanggungjawab untuk mendidik mereka bersolat kerana jika anak-anak yang sudah baligh tidak bersolat maka ibubapa turut akan mendapat dosa.

Hikmah kedua ialah peristiwa ini telah membuka mata banyak ibu bapa di luar sana bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak tentang solat. Mungkin ramai antara kita yang terlupa menyuruh anak solat. Mereka lebih risau jika anak mereka gagal dalam peperiksaan. Namun amat jarang kita dapati ibu bapa mengeluh kerana anak mereka tidak bersolat.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila seorang anak telah mengenal kiri dan kanan, ajarlah dia bersembahyang". Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)" (Hadis riwayat Abu Daud).

Justeru, adalah penting untuk mendidik anak-anak tentang kejayaan dunia, namun jangan pula dilupa kejayaan di akhirat.

Sumber: Utusan

Trauma berlalu lebih sebulan

Kakitangan Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan oleh pihak berkuasa negara itu untuk siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Pasangan suami isteri itu ditahan pada 18 Disember 2014 atas dakwaan memukul tangan anak lelaki mereka kerana tidak solat - suatu yang bukan menjadi isu di negara kita tetapi tidak diterima sama sekali di Sweden yang menolak hukuman fizikal ke atas anak-anak walaupun atas alasan mendidik.

Mereka ditahan dalam penjara secara berasingan sejak 18 Disember 2013. Pendengaran reman yang sepatutnya dibuat pada 2 Januari lalu, ditangguhkan kepada 16 Januari sebelum ditangguhkan kepada akhir Januari 2014.

Selepas berita penahanan kedua-duanya tersebar, banyak pihak mengemukakan pandangan antaranya menasihati rakyat Malaysia agar belajar menghormati budaya dan undang-undang negara lain apabila berada di negara asing.

Kita akur tentang itu. Kita juga akur jika pihak berkuasa Sweden mahu menyiasat mahupun mendakwa pasangan terbabit jika benar-benar mereka bersalah mengikut peruntukan undang-undang negara itu.

Persoalannya kini perlukah empat anak pasangan tersebut yang berusia 14, 12, 11 dan 7 tahun seolah-olah turut dihukum sama?

Sejak ibu bapa mereka ditahan, remaja dan kanak-kanak ini dipisahkan daripada ibu bapa mereka dan terpaksa tinggal bersama keluarga angkat bukan Islam yang membela anjing dan makan makanan tidak halal.

Walaupun adik beradik berkenaan diberikan makanan halal, bagaimana dengan pinggan mangkuk serta sudu garpu di rumah keluarga angkat tersebut?

Lantas timbul lagi persoalan, tidak adakah keluarga Islam di Sweden yang boleh menumpangkan adik beradik itu sementara ibu bapa mereka ditahan?

Dengan seramai lebih 100,000 penduduk beragama Islam walaupun secara kasar jumlahnya dikatakan melebihi 400,000 orang iaitu termasuk warga asing yang menetap di Sweden, tidak mungkin tidak ada satu pun yang boleh dijadikan keluarga angkat untuk adik beradik tersebut.

Jika ada, kenapa pihak berkuasa Sweden tidak meletakkan mereka dengan keluarga angkat Islam?

Apatah lagi jika tujuan ‘penahanan’ pasangan suami isteri tersebut adalah untuk melindungi empat beradik berkenaan daripada apa yang didakwa sebagai ‘'mistreatment'’ atau layanan salah terhadap mereka?

Kementerian Luar dalam kenyataannya memberitahu sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Stockholm mengenai perkembangan kes itu.

Pihak kedutaan juga dikatakan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Sweden dalam memantau perkembangan kes itu dan bersedia memberi bantuan sewajarnya untuk membantu pasangan itu dan anak-anak mereka.

Benar, kita perlu menghormati budaya dan undang-undang negara lain tetapi wajarkah mengambil masa sehingga sebulan untuk hanya menangani isu tempat tinggal yang sesuai bagi kanak-kanak ini?

Sebagai negara maju berkebajikan yang undang-undangnya cuba melindungi kanak-kanak daripada penganiayaan dan keganasan, kita percaya aspek psikologi mereka diambil kira oleh pihak-pihak berkenaan.

Jadi kenapa dibiarkan adik beradik ini sengsara dalam tempoh ini?

Berpisah daripada ibu bapa secara tiba-tiba, tinggal dalam suasana berbeza secara mendadak dengan orang yang tidak dikenali dalam persekitaran asing, mampu menyebabkan trauma kepada mereka.

Lebih malang, salah seorang anak pasangan tersebut difahamkan hiperaktif dan menghidap disleksia, yang sudah pasti lebih menyukarkannya untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran baru.

Kerajaan Malaysia khususnya pejabat kedutaan Malaysia sedang meneruskan usaha dalam pelbagai cara untuk menyelesaikan kes ini dengan seberapa segera.

Apa yang lebih utama adalah ‘menyelamatkan’ empat beradik itu daripada trauma yang mereka hadapi. Usahakan secepatnya agar mereka dapat ditempatkan bersama kenalan keluarga atau lebih baik saudara-mara mereka.

Kita juga berharap supaya pasangan suami isteri ini dibebaskan jika tiada pendakwaan mahu dibuat ke atas mereka.

Pepatah Melayu menyebut, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

Ke mana pun kita pergi, kita kena belajar menghormati budaya, adat resam dan undang-undang setempat bagi mengelak kejadian seperti ini. Namun ini tidak pula bermakna kita perlu menggadaikan budaya dan adat resam kita sendiri, apatah lagi ajaran agama.

Sebagai negara termaju di Eropah, kita yakin orang Sweden juga memahami dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama di dunia.

Sumber: Utusan

Tak selesa bersama keluarga angkat

“We are sad.. we need mummy and daddy. We miss them so much.. Please come back to us, we can’t live without them. (Kami sedih... kami perlukan mummy dan daddy. Kami terlalu rindukan mereka. Tolonglah kembali kepada kami, kami tidak boleh hidup tanpa mereka).

Itu kata-kata yang diluahkan dalam Facebook Aisyah, anak sulung pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal. Aisyah, 14, memuatnaik gambarnya dan tiga lagi adiknya, Ammar, Adam dan Ariff yang kelihatan murung ketika dalam kenderaan awam.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun diuruskan Jabatan Kebajikan Sweden, kini ditempatkan di sebuah rumah keluarga angkat sejak ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa Sweden pada 14 Disember 2013.

Ketika berita mengenai nasib Azizul Raheem dan Shalwati yang ditahan kerana didakwa memukul seorang anak mereka yang tidak bersolat disiarkan pada 15 Januari 2014, nasib empat anak pasangan itu tidak diketahui, susulan pihak kedutaan Malaysia tidak dibenarkan bertemu mereka.

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Sweden akhirnya buat pertama kali memberi kebenaran kepada pegawai kedutaan Malaysia untuk bertemu empat anak pasangan suami isteri itu.

Sejak pasangan terbabit ditahan, tiada wakil dari kedutaan Malaysia di sana dibenarkan bertemu dengan keempat-empat beradik itu dan pihak kedutaan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk kebenaran mengadakan pertemuan.

Untuk menemui empat anak pasangan itu, permohonan perlu dibuat terlebih dulu menerusi peguam kanak-kanak terbabit di Sweden.

Di Sweden ada dua mahkamah iaitu jenayah dan pentadbiran. Anak-anak ini di bawah Mahkamah Pentadbiran. Kalau hendak berjumpa mesti mendapat kebenaran pihak Khidmat Sosial Sweden terlebih dahulu.

Empat anak pasangan warga Malaysia itu, menyatakan tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama di Sweden.

Anak sulung pasangan itu, Aisyah, berkata beliau dan tiga adik lelakinya berusia 7, 11 dan 12 tahun, ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu.

Aisyah berkata, mereka tidak gembira dengan keadaan dalam rumah berkenaan. Mereka tidak gembira kerana keluarga angkat bela anjing. Keluarga angkat mereka juga makan makanan tidak halal, walaupun mereka tidak diberi makanan itu, tetapi mereka berkongsi pinggan mangkuk yang sama.

Sumber: BHarian Artikel1, BHarian Artikel2

Keluarga angkat sering marah

Menurut Aisyah, telah beberapa kali adik-adiknya terutamanya Adam dimarahi keluarga angkat itu. Adam, 11, difahamkan mempunyai disleksia iaitu masalah gangguan dalam pembelajaran.

Pasangan itu mempunyai empat anak berumur 7, 11, 12, dan 14 tahun dan kesemua kanak-kanak itu kini ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu.

Aisyah ketika dihubungi berkata, adiknya yang merupakan anak ketiga pasangan Malaysia itu sememangnya sukar memahami arahan disebabkan penyakitnya itu, selain kurang fasih berbahasa Inggeris.

“Adam memang ada masalah untuk faham apa yang orang cakap sebab dia ada penyakit... tambah lagi dia juga seorang yang hiperaktif. Dia juga ada masalah nak membaca secara normal, yang dia nampak perkataan terbalik," katanya.

Beliau mendakwa sebelum ini, ibu angkatnya itu juga pernah memarahi adik bongsunya, Arif, 7, kerana tidak mengemas katil dengan teliti.

Keluarga angkat berkenaan didakwa semakin kerap memarahi anak-anak pasangan Malaysia itu selepas mereka mendapat tahu anak-anak itu mengadu kepada Khidmat Sosial Sweden mengenai layanan buruk oleh penjaga mereka itu.

Sumber: Utusan

Empat anak dijaga keluarga Islam


HAMZAH Zainuddin (dua dari kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Sweden, Datuk Badruddin Ab. Hamzah (kanan) bersama Adam, Ammar, Arif dan Aishah sebelum berlepas ke Malaysia dari Sweden.

Kebimbangan terhadap nasib dan akidah empat anak pasangan Malaysia di Sweden yang dijaga oleh keluarga angkat bukan Islam sejak Disember 2013 selepas ibu bapa mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara itu, berakhir apabila mereka diserahkan kepada keluarga Islam pada 30 Januari, 2014.

Keempat-empat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal berusia tujuh hingga 14 tahun itu diserahkan hak penjagaan mereka kepada keluarga Islam berketurunan Melayu di sebuah rumah pematuhan syariah (syariah compliance home) di Stockholm, Sweden

Bagaimanapun, hasrat  Azizul Raheem dan Shalwati untuk dibebaskan dan kembali bersama anak-anak mereka tidak kesampaian apabila Mahkamah Daerah Solna melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap mereka sehingga 10 Februari, 2014.

Pihak pendakwaan memperoleh perintah Mahkamah Daerah Solna bagi melanjutkan tahanan reman tersebut bagi membolehkan pihak pendakwaan, yang diwakili Anna Arnelle, terus menyiasat kes dakwaan Shalwati Norshal memukul tangan anak lelakinya.

Proses memindahkan hak penjagaan mereka kepada keluarga angkat Islam itu dilakukan hasil usaha diplomasi kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra dengan pihak berkuasa Sweden.

Majlis penyerahan anak-anak Azizul Raheem dan Shalwati itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin yang mengetuai misi rundingan memindahkan hak penjagaan kanak-kanak tersebut kepada keluarga angkat baharu beragama Islam.

Sebelum majlis tersebut, Hamzah turut melawat Azizul Raheem dan Shalwati di pusat tahanan mereka. Ketika itu, pasangan tersebut menyatakan persetujuan untuk menyerahkan keempat-empat anak mereka kepada keluarga angkat baharu tersebut.

Pengerusi Biro Pengaduan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, empat anak pasangan itu diserahkan kepada keluarga Islam yang dipilih mengikut kriteria tertentu.

"Kriteria ini tertakluk kepada undang-undang dan syarat-syarat daripada Jabatan Sosial Masyarakat sendiri. Pemilihan dibuat secara konsensus antara pihak berkuasa Sweden, ibu bapa kanak-kanak dan kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra.

Sementara itu Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, susulan penahanan pasangan terbabit, barisan peguam mereka akan tetap mempertahankan hujah bagi pembelaan suami isteri itu.

Menurut beliau, terdapat perbezaan jelas antara dakwaan penderaan kanak-kanak dengan kaedah mendidik akhlak anak bagi seorang Muslim.

"Kita yakin bahawa mahkamah Sweden akan mempertimbangkan elemen perbezaan agama dan budaya sebagai alasan kukuh untuk membebaskan pasangan ini.

"Kita percaya kes ini merupakan satu jihad besar untuk membuka mata masyarakat dunia supaya dapat mengiktiraf perbezaan agama dan budaya," katanya.

Empat orang anak tersebut berlepas pulang ke Malaysia dari Stockholm pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, pada Jumaat 31 Januari, 2014 bersama-sama Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin.


IBU saudara, Norshaleena Norshal (belakang) bergambar bersama empat beradik (dari kiri) Ammar Azizul Raheem, 12; Adam, 11; Arif, 7; dan Aishah, 14.

Keempat-empat anak tersebut selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 1 Februari, 2014. Ketibaan empat beradik itu, Aishah, 14; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7, disambut dengan linangan air mata oleh datuk mereka, Norshal Nordin serta kira-kira 12 ahli keluarga terdekat yang lain.

Turut mengiringi ialah adik kepada ibu mereka, Shaleena, 42, yang diberi tanggungjawab menjaga keempat-empat beradik itu.

Sementara itu, suami Shaleena, Nik Farid Nik Abdullah memberitahu, dia dan isterinya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjaga Aishah dan adik-adiknya sementara ibu bapa mereka berada di dalam tahanan.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan pematuhan tiga syarat ditetapkan kerajaan Sweden sehingga membolehkan empat anak pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa di negara itu, dibawa pulang ke tanah air.

Malaysia menggunakan Perkara 3 dan Perkara 20 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang dimeterai pada 17 Februari 1995 bagi membawa pulang anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden itu.

Berdasarkan Perkara 3 Konvensyen itu segala tindakan berkenaan kanak-kanak hendaklah mengambil kira sepenuhnya kepentingan terbaik kanak-kanak itu. Perkara 20 turut menetapkan bahawa kerajaan diwajibkan untuk memperuntukkan perlindungan khas kepada seseorang kanak-kanak yang dilucuthakkan persekitaran kekeluargaanya dan juga memastikan bahawa jagaan keluarga alternatif menghormati kumpulan etnik, agama, budaya dan bahasa mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Tiga syarat dikenakan Jabatan Perkhidmatan Masyarakat Sweden iaitu kerajaan Malaysia menerusi JKM perlu menghantar laporan berkala, mengadakan sesi kaunseling kepada anak-anak tersebut dan memastikan `social assurance' atau jaminan sosial yang terkandung dalam Perkara 3 dan 20 CRC dipatuhi.

Sumber: Utusan [30/1/2014], Utusan Artkel1 [01/02/2014], Utusan Artikel2 [01/02/2014],  BHarian [01/2/2014]

'Belajar dari persekitaran untuk didik anak' di Sweden

Kata-kata hikmat “Sayang anak ditangan-tangankan” bukan lagi menjadi sesuatu pegangan yang baik kalau berada di negara orang, terutama di Sweden. Ini kerana sebarang sentuhan yang dianggap sebagai pukulan atau memberi tekanan emosi, akan membawa padah bagi kedua-dua ibu bapa dan kanak-kanak.

Sweden negara pertama memperkenalkan pengharaman secara rasmi terhadap hukuman kor-poral pada 1979, diikuti beberapa negara lain di rantau ini.

“Kanak-kanak adalah tanggungjawab masyarakat di sini,” kata seorang pemandu teksi.

“Kami tidak dibenarkan menampar mereka, malah tidak dibenarkan mengangkat tangan pun. Kalau kanak-kanak itu ada masalah, kami akan cuba membincangkan masalah terbabit untuk menyelesaikannya. Jiran dan guru juga bertanggungjawab untuk membuat laporan, jika mengesyaki kanak-kanak dipukul atau didera secara emosional,” katanya.

Betul seperti kata pepatah ‘masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek.’

Sejak datang bekerja dan menetap di Stockholm, Pengurus Projek Electrolux, Zainal Abu Khair dan isterinya, Aryati Anuar, banyak belajar dengan mendengar dan melihat persekitaran mereka. Zainal menceritakan pengalaman menyaksikan peristiwa di sebuah kedai permainan.

“Seorang kanak-kanak menjerit-jerit dan berguling di atas lantai kerana mahukan permainan. Semua orang di kedai itu memerhatikannya. Bapanya dengan tenang memberitahu mengapa permainan itu tidak boleh dibeli.

“Walaupun kanak-kanak itu berusia tiga tahun, bapanya bercakap seperti dengan orang dewasa,” katanya.

Sumber: BHarian

No Spanking Law

Sweden mengamalkan no spanking law iaitu undang-undang melarang ibu bapa menghukum anak dengan cara memukul. Meskipun tidak meninggalkan kesan namun ia menyalahi undang-undang Sweden, malah, menengking pun tidak dibenarkan. Undang-undang itu diperkenalkan bagi membendung kes penderaan.

Bagaimanapun, sesetengah pakar di Sweden berpendapat, semenjak undangundang itu dilaksanakan, kanak-kanak Sweden menjadi degil dan biadab.

Menurut laporan South China Morning Post, seorang ahli psikiatri iaitu David Eberhard berkata, undang-undang tersebut menyebabkan kanak-kanak Sweden mula menuntut hak sama rata dengan orang dewasa.

"Ia menyebabkan kanak-kanak menjadi penentu keputusan keluarga seperti bila hendak makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya," katanya.

Takrif memukul

Hukuman memukul lebih sinonim dengan corporal punishment atau hukuman sebat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Kanak-kanak mentafsirkan, corporal punishment ialah memukul secara perlahan di mana-mana bahagian fizikal bertujuan memberi sedikit kesakitan atau ketidakselesaan.

Sebelum 2012, di Amerika Syarikat (AS), hukuman sebat sah dilaksanakan ke atas individu bawah umur di 49 negeri. Bagaimanapun, pertengahan tahun sama, Delaware muncul sebagai bandar pertama mengharamkan perbuatan itu sama ada di rumah atau sekolah dan mengkategorikannya sebagai penderaan.

Tuntutan itu mendapat sokongan daripada hasil kajian terhadap 2,000 ibu bapa. Kesimpulannya, hukuman itu diharamkan secara rasmi di 34 negara di seluruh dunia pada tahun lalu.

Kategori hukuman di rumah

Hukuman ini bisanya dilakukan ibu bapa atau penjaga. Ia lazimnya merujuk kepada tata cara memukul dengan membaringkan anak di pangkuan secara terbalik dan memukul punggung mereka dengan tangan.

Di Kanada, ibu bapa boleh melaksanakan hukuman itu kecuali bagi kanak-kanak di bawah 2 tahun. Mereka boleh memukul dengan tangan. Tetapi sekiranya menggunakan tali pinggang atau alat pemukul maka ia adalah dianggap kesalahan. Selain itu, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan hukuman sekatan dalam negara atau dipenjarakan.

Di Britain, hukuman boleh dibuat terhadap kanak-kanak tetapi tidak boleh meninggalkan kesan pada badan. Di Pakistan, ibu bapa atau penjaga dibolehkan memukul anak seperti terkandung Seksyen 89 di Kanun Keseksaan.

Disekolah Sebat terhadap pelajar atau murid sekolah diharamkan di banyak negara. Tetapi, ia masih boleh dibuat di bahagian punggung atau tapak tangan dengan menggunakan rotan atau pembaris dan memukul dalam keadaan tapak tangan terbuka.

Berbeza di Singapura, hukuman rotan hanya boleh dikenakan kepada pelajar atau murid lelaki sahaja. Namun, hukuman itu kini semakin berkurangan kerana guru lebih menggunakan pendekatan psikologi berbanding menghukum.

Dibawah arahan hakim Sebanyak 33 negara masih melaksanakan hukuman sebat tetapi tidak dilakukan terhadap kanak-kanak. Ia dilakukan mengikut akta kesalahan.

Antara negara masih melaksanakan hukuman ini adalah Botswana, Malaysia, Singapura, Tanzania, Arab Saudi, Iran, Sudan, utara Nigeria dan Pakistan.

Sumber: Sinar Harian [28/1/2014]

0 comments: