27 Januari 2014

Cuaca Sejuk Melampau Di Amerika Syarikat


CUACA sejuk ekstrem menyebabkan sebahagian besar AS dilitupi salji tebal.

SETIAP kali musim sejuk tiba, sudah menjadi kelaziman buat Craig untuk mencari semula pakaian sejuk yang disimpannya di dalam almari. Kebiasaannya, selapis baju dengan baju sejuk sudah memadai baginya untuk keluar dari rumah.

Namun, cuaca yang melanda kawasan rumahnya yang terletak di sebuah bandar kecil di Waukesha, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), pada Isnin, 6 Januari, 2014, sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Biarpun sudah mengenakan sehelai baju-T dengan baju tebal, angin sejuk yang bertiup sebaik pintu rumahnya dibuka bagaikan menikam masuk sehingga ke tulang. Craig kemudian masuk semula untuk memakai baju yang lebih tebal lagi.


"Saya memakai empat lapis baju dan menyarung dua pasang stokin di kaki," katanya yang memberitahu cuaca pada Isnin tersebut membuatkan dirinya seperti sedang membeku.

Apa yang dialami Craig sebenarnya turut dirasai 187 juta orang atau separuh daripada penduduk di negara Uncle Sam tersebut.

Fenomena perubahan angin sejuk itu dikenali sebagai Pusaran Polar iaitu kejadian pusaran angin kuat yang berlaku di bahagian kutub utara sehingga menyebabkan ia turun ke AS.


Cuaca sejuk melampau di wilayah Midwest dan timur AS mengakibatkan permukaan jalan dipenuhi salji tebal dan menjadi licin

Darurat

Akibat daripada cuaca sejuk ekstrem itu, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk.

"Memandangkan ribut salji melanda dengan angin bertiup kencang, saya menasihatkan agar semua penduduk mengambil langkah berhati-hati, elakkan berada di luar rumah," ujar Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam satu kenyataannya seperti yang dilaporkan laman portal berita Dailymail.

Lebih teruk, Gabenor negeri Illinois, Pat Quinn dan Gabenor negeri Indiana, Mike Pence turut mengumumkan perintah darurat. Dalam pada itu, lebih 4,000 penerbangan terpaksa dibatalkan akibat cuaca melampau itu.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago, mencatatkan suhu -16 darjah Celsius, sekali gus melangkaui catatan terendah sebelum ini yang direkodkan pada tahun 1988 iaitu -14 darjah Celsius.

Di Minnesota pula, kesemua sekolah awam terpaksa ditutup buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun. Malah, sekolah di sekitar Chicago, Milwaukee dan St. Louis juga diarah tutup.

Dengan tiupan angin sejuk melampau yang dirasai di wilayah Montana sehingga ke Alabama, rata-rata kawasan di AS mengalami suhu paling sejuk dalam tempoh 20 tahun. Keadaan litupan salji dilaporkan menebal antara 15-30 sentimeter.

Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan kemuiannya turut menjangkakan suhu cuaca bakal menurun antara -30 sehingga ke -50 darjah celsius pada keesokannya.

Di wilayah Great Lakes, suhu menurun sehingga mencecah -50 darjah Celsius ketika tiupan angin sejuk melepasi kawasan tersebut sehingga penduduk diberi amaran supaya tidak keluar daripada rumah.

"Darah dalam badan boleh membeku dalam tempoh lima minit sahaja jika terdedah kepada cuaca sejuk tersebut," kata ahli meteorologi HLN, Bob Van Dillen sebaik bahagian utara Minnesota mencatatkan paras suhu -60 darjah Celsius.


TASIK Michigan beku akibat suhu sejuk melampau di Chicago, Illinois pada 7 Januari 2014.

Dalam pada itu, agensi berita Associated Press melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan mati akibat cuaca sejuk melampau tersebut.

"Saya berasa sangat sakit di bahagian kaki sehingga ke bahagian tulang belakang," ujar Garcia Salvaje yang baru tiga bulan selepas melakukan pembedahan tulang belakangnya.

Salvaje yang berumur 55 tahun itu antara gelandangan yang dibawa oleh sukarelawan di New Life Evangelistic Center, St. Louis.

"Hidung saya seperti mahu beku. Saya berasa seolah-olah terjun ke dalam Tasik Michigan tempoh hari," ujar Renee Heling dari Wisconsin.

Sementara itu, ahli meteorologi turut memberi amaran bahawa suhu dan angin sejuk itu 'agak berbahaya dan boleh mengancam nyawa', manakala kulit boleh membeku dalam tempoh 10 minit sekiranya angin sejuk bertiup mencapai paras negatif 50.

Tasik Michigan yang merupakan antara tarikan di wilayah utara AS dilaporkan berhenti mengalir akibat air membeku pada Isnin tersebut.

Bagaimanapun, selepas tiga hari, cuaca sejuk ekstrem tersebut kini beransur pulih apabila keadaan air tasik yang membeku sudah mula mencair.

Sumber: Kosmo [12/1/2014], Utusan [9/1/2014]

Air Terjun Niagara beku


KAWASAN Air Terjun Niagara di sempadan Amerika Syarikat kelihatan beku di Ontario, Kanada.

Beberapa keping gambar berjaya dirakamkan yang menunjukkan Air Terjun Niagara beku di sini akibat cuaca sejuk melampau paa 9 Januari, 2014. Air Terjun itu terletak di sempadan Kanada dan AS.

Pada Selasa 7 Januari, 2014, suhu di kawasan air terjun tersebut ialah bawah 18 darjah Celcius. Namun, kawasan air terjun itu juga pernah menjadi beku pada tahun 1936.

Cuaca sejuk yang melampau itu telah menjejaskan kehidupan 240 juta penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan selatan Kanada.

Sumber: Kosmo [10/1/2014]


Niagara Membeku, Januari, 2014.


Gambar Arkib: Niagara membeku pada 1936

0 comments: