05 Januari 2014

Kisah Pertunjukan Bunga Api Seluruh Dunia Menjelang 2014


PERTUNJUKAN bunga api kelihatan di kepulauan buatan manusia, The Palm Jumeirah, Dubai

Rekod Baru Persembahan Bunga Api

DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu, yang terkenal dengan pembangunan mewah dan menakjubkan di dunia, memulakan lembaran baharu dengan pertunjukan bunga api yang berjaya mencipta rekod dunia.

Dubai mencipta rekod baharu apabila lebih 500,000 bunga api digunakan bagi menyambut ketibaan tahun baru, kata pihak Guinness World Records.

"Selama sepuluh bulan dirancang, lebih 500,000 bunga api digunakan pada persembahan yang berlanjutan selama enam minit," lapor laman web Guinness World Records.


Persembahan bunga api itu dibuat di sepanjang 94 kilometer pantai Dubai termasuk di kepulauan buatan manusia dan di bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa. Kos untuk pertunjukan bunga api itu ialah AS$6 juta (RM19.66 juta).

Sebuah syarikat Amerika Syarikat, Fireworks by Gucci merangka persembahan bunga api itu dengan menggunakan 100 buah komputer dan 200 juruteknik.

Rekod lama dipegang Kuwait apabila 77,282 bunga api digunakan pada pertunjukan yang diadakan dalam tahun 2011.

Sumber: Kosmo

Persembahan Bunga Api Di Sambutan Tahun Baru

KEDATANGAN Tahun Baru 2014 tentunya tidak lengkap tanpa pertunjukan bunga api pelbagai corak dan warna yang mengagumkan.

Laporan berita di atas menunjukkan antara pertunjukan bunga api yang menjadi tumpuan. Pertunjukan bunga api di Dubai, Emiriah Arab Bersatu ini memecahkan rekod dunia apabila lebih 500,000 bunga api digunakan pada persembahan yang berlangsung selama enam minit.

Meliputi kawasan seluas melebihi 100 kilometer di bandar raya pinggir laut itu, paparan tersebut melibatkan beberapa mercu tanda terkemuka Dubai termasuk gugusan kepulauan buatan manusia, Palm Jumeirah; pencakar langit tertinggi dunia, Burj Khalifa dan hotel mewah, Burj Al Arab.

Pertunjukan bunga api yang direka oleh firma dari Amerika Syarikat, Fireworks by Grucci itu menggunakan 100 buah komputer untuk menyelaraskan bunga api bersama runut bunyi yang telah direka khas.

Sementara itu, pertunjukan bunga api juga berjaya menarik perhatian pelancong mengunjungi Las Vegas, Amerika Syarikat yang telah berjaya menarik lebih 335,000 pelancong pada malam perayaan tahun baharu.

Berbeza pula kisah pertunjukan bunga api di Abidjan, Ivory Coast.

Kerajaan negara tersebut terpaksa melaksanakan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya rempuhan seperti yang berlaku pada sambutan tahun 2013 yang mengakibatkan 60 orang maut dan 48 orang lain cedera.


DATARAN Katedral yang terletak di ibu negara Lithuania, Vilnius, menjadi tumpuan ribuan pengunjung yang meraikan kedatangan tahun 2014.

Rakyat Jerman menyambut lembaran baharu dengan paparan bunga api mempesonakan di ibu negaranya, Berlin. Dengan Gerbang Brandenburg sebagai latar belakang, sambutan itu berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung.

Tarikan

Pertunjukan bunga api di Pelabuhan Vieux di Marseille, selatan Perancis, pada malam 31 Disember 2013, merupakan sebahagian daripada sambutan hari terakhir Pertunjukan Budaya Eropah Marseille-Provence 2013.

Sementara itu, lebih dua juta pengunjung berhimpun di Sydney Harbour pada malam musim panas untuk menyaksikan persembahan bunga api tahunan terkemuka dan paling mewah di Sydney, Australia.

Persembahan penuh warna-warni itu berlangsung selama 11 minit dengan mercun dilancarkan daripada keempat-empat bumbung Sydney Opera House buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad. Mencuri perhatian juga paparan bak air terjun api dari Jambatan Harbour.

Di ibu negara Brazil, Rio de Janeiro, lebih dua juta pengunjung telah berkumpulan di sepanjang Pantai Copacabana bagi menyaksikan pertunjukan bunga api yang berlangsung selama 20 minit.

Walaupun pertunjukan bunga api pada kebiasaannya menyempurnakan lagi sambutan tahun baru, namun terdapat insiden-insiden yang menyebabkan kecederaan, contohnya di Manila, Filipina apabila seorang disahkan mati dan kira-kira 600 orang lagi cedera akibat terkena bunga api dan mercun sesat.

Sumber: Kosmo

0 comments: