Menggalas harapan negara di Vietnam
Sambil diperhatikan oleh seorang guru pembimbing, Muhammad Iqbal Ngazuddin dan Muhammad Farhan Roslan sesekali menyeka keringat yang membasahi wajah, bersungguh-sungguh mereka berlatih di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam, Selangor.
Latihan kali ini berbeza berbanding sebelumnya kerana kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu memikul tanggungjawab besar membawa nama negara ke Pertandingan Roket Air Forum Agensi Angkasa Rantau Asia Pasifik (APRSAF) 2013 di Hanoi, Vietnam.
Berlatih
Setelah hampir dua bulan berlatih, mereka ke bandar Hanoi akhir bulan November 2013 lalu bersama harapan negara dan cita-cita peribadi. Debaran hati mereka tidak dapat diukur kerana kegusaran telah bersarang sekian lama.
Di fikiran setiap remaja itu bermain persoalan, “Adakah mampu kita bersaing dengan peserta-peserta dari negara yang jauh lagi maju dari segi teknologi?”.
“Pelbagai halangan kami hadapi sebelum ke Hanoi. Persiapan dilakukan dalam tempoh singkat. Ia tidak dapat dielakkan kerana berdepan beberapa prosedur dalam negara,” ujar guru pembimbing, Mohamed Hadir Badru Zaman, mengimbas kembali perjalanan mereka.
BAGI membuat tujahan roket yang tepat, ia perlu berlandaskan hukum ketiga Newton.
Diuji
Apabila sampai ke lokasi pertandingan yang berlangsung di Akademi Sains dan Teknologi, Hanoi, pasukan dari Malaysia ini sekali lagi diuji.
“Tanpa pemberitahuan awal daripada pihak penganjur, kami dimaklumkan terdapat beberapa perubahan dalam pertandingan tersebut. Malah, perubahan itu tidak sama seperti prosedur pertandingan di peringkat kebangsaan,” kata Muhammad Iqbal.
Antaranya, setiap peserta tidak dibenarkan membuat muncung tajam pada bahagian hadapan roket air.
“Selain itu, kriteria penilaian juri dibuat secara individu bukan berkumpulan seperti yang biasa dilakukan di Malaysia,” katanya.
Namun demikian, segala kesukaran yang dihadapi tidak menjadi penghalang kepada pasukan tersebut memandangkan mereka sentiasa bersedia dan mempunyai pengetahuan luas dalam bidang sains.
“Untuk membuat tujahan roket yang tepat, ia perlu berlandaskan hukum ketiga Newton. Disebabkan itu, sebarang perubahan tidak menjadi masalah jika peserta memahami dengan jelas prinsip tersebut,” jelas Muhammad Farhan.
Katanya, menerusi Hukum Ketiga Newton, botol menolak air ke bawah dan ia bertindak balas dengan melonjakkan botol ke udara. Prinsip berkenaan sama seperti teknologi roket sebenar. Bezanya, roket sebenar menggunakan bahan api dan tenaga untuk melancarkannya.
“Bagi roket air, ia menggunakan dua bahan berasingan sebagai bahan api dan sumber tenaga. Bahan api menggunakan air dan sumber tenaga pula daripada udara mampat.
“Disebabkan air yang diisi pada bahagian bawah, botol perlu diletak pemberat di hadapan sebagai keseimbangan. Selain itu, tiga atau empat sayap disisipkan pada botol,” jelas beliau.
Dia menambah, kemampatan udara yang tepat ketika melancarkan roket juga memainkan peranan yang penting. Selain itu, isipadu air perlu mempunyai sukatan tertentu bagi memudahkan ia bergerak pantas ke atas.
“Muncung yang tajam dapat membantu roket melakukan tujahan tepat pada sasaran tetapi disebabkan perubahan tersebut, kami terpaksa mencari alternatif baharu,” katanya.
Perubahan yang dilakukan Muhammad Farhan ialah dengan meletakkan plastesin di muncung hadapan roketnya, manakala Muhammad Iqbal membuat muncung separuh.
“Kami bereksperimen dengan perubahan yang dibuat berdasarkan pengalaman masing-masing kerana perbincangan antara negara tidak boleh dilakukan memandangkan kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan,” ujar Muhammad Iqbal.
ISIPADU air perlu mempunyai sukatan tertentu bagi memudahkan roket air bergerak pantas ke atas.
Cabaran
Pada hari pertandingan, kesemua peserta dari 15 negara seperti Australia, Indonesia dan Jepun bersiap sedia untuk membuktikan roket air masing-masing menepati hukum fizik yang ditetapkan.
Suasana cabaran itu kelihatan meriah tetapi sengit apabila setiap peserta memperagakan kehebatan roket air masing-masing.
Aksi Muhammad Farhan juga tidak kurang hebatnya apabila turut menjadi tumpuan para penonton. Walaupun berdebar, dia dengan tenang menunjukkan keupayaan roket airnya.
Tiba saat nama pemenang diumumkan, tanpa disangka-sangka nama Muhammad Farhan dilaungkan sebagai pemenang tempat ketiga pertandingan tersebut.
“Memang saya langsung tidak menjangka kerana saingan cukup sengit terutamanya daripada peserta Jepun yang muncul sebagai juara pada pertandingan itu,” kongsi Muhammad Farhan.
Lebih manis, kemenangan remaja itu dilihat sebagai pemberi sinar motivasi kepada pasukan negara setelah hampir 10 tahun tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan seumpama itu.
Kejayaan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada komuniti sains negara.
“Sudah semestinya saya berbangga dengan pencapaian tersebut. Mewakili dan menempah kejayaan untuk negara pada usia muda meninggalkan momen indah dalam hidup saya.
“Segala penat lelah dan pengorbanan saya selama ini terasa berbaloi dan terbalas dengan kejayaan ini. Ia memberi semangat kepada saya untuk terus meneroka bidang sains,” kongsinya.
Oleh HAFIZ AHMAD
Sumber: Kosmo
0 comments:
Catat Ulasan