10 Januari 2014

Medium Dakwah Terbuka Luas



DAKWAH berasal daripada perkataan bahasa Arab Da'a yang bermaksud menyeru atau mengajak. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, dakwah bermaksud kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Dakwah di sisi Islam menurut Syaikh Abdul Karim Zaidan, bermaksud menyeru kepada Allah SWT dan agama-Nya.

Tugas dakwah merupakan perkara yang penting agar ajaran Islam dapat terus-menerus berkembang. Para pendakwah di jalan Allah SWT merupakan penyambung tugasan para nabi-nabi terdahulu, iaitu menyampaikan Islam dan isi kandungannya.

Allah SWT memerintahkan agar sebahagian umat Islam menyeru kepada Islam secara khusus sebagaimana firman-Nya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan. (ali Imran: 104)


Ayat ini bukanlah bermaksud tugas dakwah itu hanya untuk orang-orang tertentu sahaja. Banyak hadis-hadis yang menyebut kepentingan berdakwah bagi setiap Muslim. Menurut Ad-Dahhak ayat ini bermaksud para sahabat, orang yang berjihad dan para ulama yang bergiat secara khusus dalam mengembangkan ajaran Islam.

Secara asasnya, setiap Muslim bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dakwah bukanlah semestinya seseorang itu belajar hingga menjadi ustaz dan ustazah, tetapi setiap seruan ke arah kebaikan dan mencegah keburukan telah dianggap sebagai berdakwah.

Allah SWT berfirman: Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik. (an-Nahl: 125) Menurut Tafsir Al-Tabari, ayat ini memerintahkan agar menyeru ke arah mentaati Allah SWT melalui syariat-syariat yang telah diturunkan-Nya dalam al-Quran dan as-sunnah. Kedua-dua ini merupakan hujah yang mengandungi banyak pelajaran buat umat manusia sekalian alam.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Ali r.a ketika perang Khaibar: Maralah dengan penuh waspada hingga engkau masuk ke perkampungan mereka. Seterusnya, serulah mereka untuk memeluk Islam lalu beritahulah kepada mereka tentang hak Allah yang mesti mereka tunaikan. Demi Allah, jika Allah member petunjuk kepada seseorang itu melalui perantaraan dirimu, itu lebih baik bagimu daripada kekayaan yang sangat berharga. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tujuan hidup

Tujuan dakwah dilakukan supaya manusia mengetahui tujuan hidup mereka untuk beriman kepada Allah SWT dan beribadat kepada-Nya sesuai dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Selain itu, dakwah juga menyeru agar manusia kembali ke jalan yang benar, menjadi manusia yang lebih baik dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan ke arah cahaya.

Orang yang menyeru kepada kebaikan akan mendapat ganjaran pahala sebagaimana melakukan kebaikan yang ditunjukinya itu begitu juga dengan keburukan. Semakin banyak seruan ke arah kebaikan dan orang yang mengikutinya, semakin banyak pahala yang diperolehnya. Begitulah tingginya ganjaran mereka yang berdakwah di jalan Allah SWT dengan ikhlas dan benar.

Diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: Dalam Islam, sesiapa yang memberikan tauladan sesuatu kebaikan maka dia akan memperoleh pahala, sama seperti orang yang diperoleh oleh mereka yang mengikutinya tanpa dikurangkan pahala mereka (yang mengikuti itu) sedikit pun. Dan sesiapa yang memberikan tauladan sesuatu keburukan dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa, yang sama seperti orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan dosa mereka (yang mengikuti itu) walaupun sedikit. (riwayat Muslim)

Dakwah memerlukan teknik dan ilmu yang berkaitan dengannya agar ia disampaikan dengan baik, jelas dan benar. Para pendakwah baik yang digelar daie, mubaligh atau apa jua gelarannya hendaklah mengambil pelajaran daripada teknik Rasulullah SAW menyampaikan dakwah kepada manusia. Baginda SAW merupakan sebaik-baik contoh dan model dalam berdakwah.

Medium dakwah di zaman ini terbuka luas. Dakwah di hadapan masyarakat melalui ceramah, kuliah, dakwah jalanan atau aktiviti kemasyarakatan perlu diteruskan dan disokong baik usaha ini. Di samping itu, dakwah melalui penulisan, sama ada buku, akhbar dan alam maya juga penting agar Islam terus tersebar luas seiring dengan perkembangan teknologi dan zaman.

Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab dan medium dakwah tersendiri yang perlu dilakukan agar Islam terus berkembang sepanjang zaman.

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR
Penuntut Pengajian Islam Kontemporari
di Kuliyyah Islamiyyah 'Alamiyyah di UIAM Gombak.
Sumber: Utusan

0 comments: