12 Januari 2014

Ramai Individu Muflis 'Takut' Tampil Ke Hadapan

MdI Logo Small


Malaysia Department of Insolvency atau Jabatan Insolvensi Malaysia, kerap kali dilihat lebih memihak kepada pemiutang serta bersifat tidak mesra pelanggan. Adakah in benar?

Dilaporkan hanya 29 peratus daripada 116,488 individu muflis sepanjang tahun 2007 sehingga September 2013, hadir untuk mendaftarkan diri dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Kadar peratusannya agak kecil, dan ini memperlihatkan masih ramai lagi golongan muflis di luar sana yang lebih gemar mendiamkan diri berbanding tampil mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan berkenaan.

Entah di mana silapnya, tetapi dikatakan antara punca mereka enggan merujuk ke jabatan itu adalah disebabkan sikap segelintir pegawai yang tidak 'mesra' selain dibelenggu rasa rendah diri dan malu.


Dikatakan bersikap kasar, kenyataan ini mungkin ada kebenarannya berdasarkan kepada perjumpaan penulis dengan seorang individu muflis baru-baru ini yang menyentuh perihal itu.

"Saya berasa marah apabila segelintir pegawai menggelar atau memanggil kami dengan gelaran 'bankrap' sewaktu berurusan dengan mereka," kata Mohd Halim Hadi (bukan nama sebenar).

Sama ada benar atau tidak dakwaan itu, jabatan itu juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan pandangan negatif apabila dilabelkan sebagai ejen pengutip hutang serta bersikap zalim terhadap individu muflis.

RAMAI ORANG MUDA

"Tidak sepatutnya kita memanggil orang itu bankrap. Seharusnya, kita memanggil mereka dengan penuh sopan seperti encik, puan dan mungkin senario tidak menyenangkan itu adalah satu kes terpencil.

"Ini kerana, Jabatan Insolvensi adalah sebuah agensi kerajaan yang diberi peranan untuk mentadbir kes-kes kebankrapan serta hal ehwal seseorang bankrap. Jadi, individu muflis merupakan pelanggan kami," kata Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia Lim Kui Lee.

Situasi tidak ramai hadir ke jabatan ini tidak boleh dipandang sambil lewa kerana sebanyak 64,686 orang yang diisytiharkan muflis dari tahun 2007 sehingga September 2013 adalah individu yang berusia 44 tahun ke bawah.

Perangkaan itu membimbangkan kerana dalam lingkungan usia berkenaan ramai yang sudah berkeluarga dan ketidakhadiran mereka untuk membawa kes kebankrapan ditadbir dengan Jabatan Insolvensi, akan menyukarkan kehidupan.

Maka tidak menghairankanlah apabila terdapat tanggapan bankrap merupakan penamat kehidupan sedangkan ia tidak benar sama sekali, jelas Lim.

TIDAK TAHU JALAN KELUAR

Apa yang berlaku, adalah mereka tidak tahu jalan keluar dan akhirnya terpaksa menghabiskan separuh usia mereka hidup dalam ketakutan walhal semua itu dapat diatasi apabila individu muflis itu bekerjasama dengan jabatan itu.

Melalui kerjasama, ia membolehkan Jabatan Insolvensi membantu golongan ini khususnya orang muda supaya mendapatkan kembali hak mereka serta bebas daripada belenggu bankrap.

Dan, biarpun terdapat pandangan menyatakan Akta Kebankrapan 1967 dilihat agak ketat dan kini dalam proses membuat peraturan baharu berkaitan undang-undang kebankrapan, menghilangkan diri bukanlah jalan terbaik.

Ini kerana akta sedia ada juga mempunyai ruang untuk mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Yang penting, adalah jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak kerana melalui itu jugalah akan dapat menghapuskan segala persepsi buruk mengenai jabatan itu seperti bersikap zalim kepada golongan berkenaan.

Selain itu, mereka berpeluang mengetahui hak-hak seorang individu muflis.

KAMI TIDAK ZALIM

Ini kerana, tanpa kerjasamalah yang menyebabkan mereka jahil pengetahuan sehingga ada antaranya berpandangan individu muflis tidak boleh bekerja, tidak boleh mengerjakan haji atau ke luar negara.

Walhal itu sebenarnya boleh diatasi dengan merujuk kepada Jabatan Insolvensi, katanya.

"Mereka boleh bekerja apa-apa sahaja. Cuma, kalau hendak bekerja sebagai pengarah syarikat, berniaga ataupun bekerja di syarikat milik pasangan, anak atau saudara-mara, kena mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi.

"Selain itu, ada sesetengah jawatan tidak sesuai dengan individu bankrap seperti yang memerlukannya membuat keputusan melibatkan implikasi kewangan. Mungkin, individu ini boleh ditukar ke bahagian lain. Jangan risau, masih boleh bekerja, kalau tidak bagaimana untuk sara kehidupan dan bayar hutang," jelasnya.

Biarpun demikian, terdapat profesion tertentu yang mana tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang termaktub dalam kontrak kerja dan undang-undang berkaitan.

Lim juga pada masa sama berkata terdapat sesetengah keadaan yang mana seseorang itu tidak mengetahui bahawa dirinya telah bankrap disebabkan notis kebankrapan tidak sampai ke tangannya.

Ini mungkin berpunca apabila mereka berpindah ke tempat lain dan pihak pemiutang atau bank gagal dalam proses pencarian dan mengambil keputusan memohon kepada mahkamah supaya perintah kebankrapan itu dibuat melalui iklan akhbar.

EJEN PENGUTIP HUTANG

Paling menyedihkan, apabila ada antara mereka beranggapan peranan jabatan itu tidak lebih seperti ejen pengutip hutang. Bagi mereka, lebih baik menghilangkan diri kerana tidak mahu segala harta dimiliki dirampas jabatan itu.

Tidak dinafikan, apabila seseorang individu yang diisytiharkan muflis segala hartanya akan diletakkan hak di bawah Ketua Pengarah Insolvensi namun ia bertujuan untuk membantu mereka.

"Kami bukan rampas, tetapi adalah menjadi tanggungjawab jabatan itu untuk mengewangkan harta itu supaya wang diperolehi boleh dimasukkan ke dalam estet untuk bayar pemiutang.

"Estet adalah satu akaun yang jabatan itu simpan untuk mereka yang bankrap, apa-apa duit yang individu muflis itu bayar kepada kita akan disimpan dalam akaun itu. Duit itu nanti akan kita agihkan kepada pemiutang mengikut bukti hutang yang difailkan kepada jabatan itu," katanya.

Biarpun segala harta akan terletak hak pada Ketua Pengarah Insolvensi manakala semua akaun simpanan akan ditutup dan segala transaksi akan disekat, namun pelepasan boleh dipertimbangkan sekiranya mereka bekerjasama dengan jabatan.

Beliau memberi contoh, seorang usahawan muflis yang ingin meneruskan perniagaannya boleh mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi, begitu juga sekiranya ingin menggunakan kenderaannya untuk perniagaan itu.

"Memang selepas bankrap, kenderaan yang telah habis dibayar akan terletak di bawah hak Ketua Pengarah Insolvensi. Tetapi kalau beliau datang dan beritahu amat memerlukan kenderaan untuk perniagaannya bagi menampung keluarga dan bayar hutang, jabatan boleh pertimbangkannya.

"Tetapi, mereka tidak datang dan timbul masalah apabila bank membekukan akaun mereka. Sedangkan modal (akaun bank) yang mereka perlukan, kita akan biarkan mereka terus pegang sekiranya tampil bekerjasama. Sebab itulah, jabatan akan tanya berapa modal dan apakah kenderaan diperlukan untuk perniagaan mereka," jelasnya.

Bagaimanapun, mereka perlu menyerahkan penyata akaun bank setiap bulan kepada jabatan kerana tidak mahu berlakunya penyalahgunaan terhadap kebenaran yang diberikan.

MANGSA KEADAAN

Biarpun demikian, jabatan itu tetap menjadi 'mangsa keadaan' apabila jabatan ini dikatakan lebih memihak kepada pemiutang berbanding individu muflis.

Walhal, jabatan sebenarnya tersepit antara kedua-dua pihak ini, ujar Lim.

"Banyak kes yang kita hendak lepaskan bankrap selepas cukup lima tahun, pemiutang marah. Baru bayar satu peratus, jabatan hendak lepaskan keluh mereka," katanya.

"Mereka kata kita hendak tolong bankrap begitu juga dengan individu muflis. Apabila pemiutang tidak setuju dan bantah, kena bawa ke mahkamah dan kami berhujah untuk individu muflis.

"Semua ini, tidak ada orang nampak bagaimana kita berhujah di mahkamah supaya individu muflis itu boleh dilepaskan. Yang mereka nampak, adalah jabatan suruh mereka bayar," katanya.

Hakikatnya, langkah yang diambil oleh jabatan itu adalah bertujuan membantu mereka di mahkamah supaya boleh dilepaskan daripada status kebankrapan.

Akan tetapi, semuanya itu hanya dapat direalisasikan apabila individu muflis itu bersedia untuk menjalin kerjasama dengan Jabatan Insolvensi dan tidak takut tampil ke hadapan.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA

Fungsi Jabatan Insolvensi Malaysia

1. Mentadbir hal ehwal siberhutang dan sibankrap mengikut Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969;

2. Melaksanakan fungsi sebagai Pelikuidasi Sementara atau Pelikuidasi yang dilantik bagi syarikat-syarikat yang digulungkan mengikut peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Kaedah-Kaedah Syarikat (Penggulungan) 1972;

3. Mentadbir hal ehwal pertubuhan yang dibatalkan mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984;

4. Mentadbir hal ehwal kesatuan sekerja mengikut Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Peraturan-Peraturan Kesatuan Sekerja 1959;

5. Menjalankan penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan apa-apa kesalahan yang disyaki yang dilakukan oleh sibankrap atau pengarah syarikat di bawah Akta Kebankrapan 1967, Akta Syarikat 1965, Akta Pertubuhan 1984, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan di bawah mana-mana perundangan lain yang berkaitan dengan kebankrapan atau penggulungan syarikat;

6. Menjalankan pendakwaan semua jenis kes jenayah dan kuasi jenayah di bawah Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Syarikat 1965;

7. Menjadi sumber rujukan kepada Jabatan dan Kerajaan mengenai apa-apa masalah perundangan mengenai kebankrapan atau penggulungan syarikat yang timbul;

8. Mewakili Kerajaan, Jabatan, sibankrap dan syarikat yang digulungkan dalam semua perbicaraan sivil di mahkamah;

9. Menyediakan khidmat carian status kebankrapan individu dan status syarikat;

10. Menguruskan hal ehwal kewangan Jabatan dan perakaunan insolvensi serta menjalankan aktiviti penghasilan bagi pihak Kerajaan melalui sumber-sumber di bawah kawalan yang dibenarkan di bawah Akta Kebankrapan 1967, Akta Syarikat 1965, Akta Acara Kewangan 1957 atau Arahan Perbendaharaan; dan

11. Mengurus dan mengawalselia pentadbiran Ibu Pejabat dan semua pejabat cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia seluruh Malaysia.

Sumber: insolvensi.gov.my

Tindakan Jabatan Insolvensi Terhadap Si Berhutang

Seseorang itu akan diisytiharkan bankrap apabila mendapat perintah mahkamah di atas kegagalan membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.

Segala transaksi kewangan mereka disekat dan aset akan diserahkan kepada Jabatan Insolvensi untuk ditadbir urus bagi agihan bayaran kepada pemiutang.

Si bankrap turut hilang kelayakan dari segi kedudukan sama ada dalam politik, persatuan dan syarikat kerana status kebankrapan mereka menyentuh isu integriti.

Jabatan Insolvensi mentadbir hal ehwal si berhutang atau si bankrap mengikut Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969.

Perilaku si berhutang turut dipantau terutama membabitkan gaya hidup bagi mengelakkan dari terjebak dengan bankrap kali seterusnya.

Kebaikan seseorang penghutang itu diisytiharkan bankrap ialah mana-mana pemiutang tidak dibenarkan membuat tuntutan secara persendirian. Si bankrap dilindungi daripada tekanan dan desakan pemiutang dan pembayaran hutang hanya boleh dibuat menerusi Jabatan Insolvensi.

Si bankrap akan ditadbir urus pembayaran hutangnya oleh Jabatan Insolvensi tidak kurang daripada lima tahun dan tempoh bergantung kepada kerjasama mereka.

Peranan Jabatan Insolvensi perlu adil kerana perlu menjaga kepentingan pemiutang selain melindungi si bankrap. Kecekapan jabatan sentiasa akan dipertingkatkan bagi mengenal pasti aset dan hutang si bankrap, cara penyelesaian hutang dan agihannya kepada pemiutang.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
Sumber: MStar [Julai 26, 2010]

0 comments: