18 Februari 2014

Keperluan Telefon Awam Serta Sejarahnya



Masih penting walaupun ada gajet

TIDAK dinafikan peningkatan pengaruh telefon pintar yang dilengkapi pelbagai aplikasi moden menyebabkan penggunaan telefon awam kian berkurangan.

Bagaimanapun, perlu diingat kemudahan itu tidak boleh dihapuskan terus memandangkan terdapat golongan yang masih menggunakannya seperti pelajar, pelancong asing, penduduk di kawasan pedalaman, warga emas mahupun individu tidak berkemampuan.

Namun, sangat mendukacitakan apabila tinjauan dibuat di beberapa lokasi di ibu negara mendapati beberapa telefon awam tidak boleh berfungsi dengan baik akibat vandalisme. Ada yang rosak akibat peti dipecahkan, wayar ganggang diputuskan, punat butang dicabut dan paling teruk hanya tinggal bumbung sahaja.


Selain itu, telefon awam turut menjadi mangsa tampalan pelekat dan iklan-iklan haram yang secara tidak langsung mencacatkan pemandangan serta menjatuhkan imej Kuala Lumpur.

Menurut seorang kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM), Muhammad Nur Syahrifudin Abd. Latif, 25, kegagalan telefon awam berfungsi dengan baik menyusahkan mereka yang amat memerlukan kemudahan tersebut di saat kecemasan.

Sumber: Utusan

Pemasangan Telefon Awam Bukan Kerja Mudah

PEMASANGAN telefon awam secara umum melibatkan beberapa proses dari segi permohonan dan kerja-kerja teknikal.

Kontraktor Pendawaian Telefon Bumi Service, Raja Saifulnizam Raja Jaafar, berkata, pada peringkat permulaan, sesebuah syarikat yang hendak memasang telefon awam di satu lokasi terlebih dahulu perlu mengemukakan permohonan.

"Permohonan perlu dikemukakan kepada Telekom Malaysia Berhad (TM). Setelah itu, TM menerusi satu sistem akan mengeluarkan satu nombor sebelum kerja-kerja teknikal dilakukan.

"Beberapa digit di dalam nombor berkenaan mewakili kod tertentu. Dua digit pertama melambangkan negeri dan dua digit seterusnya mewakili kawasan tertentu.

"Sebagai contoh pelan nombor untuk Selangor ialah 03, diikuti kod kawasan misalnya Kajang 87, Bangi (89) dan Keramat (42). Dua digit terakhir telefon awam selalunya berakhir dengan 83, iaitu apabila dicampur menjadi 11" katanya yang pernah bertugas di TM sebagai Pembantu Pegawai Teknik.

Sebelum kerja-kerja teknikal dimulakan menurutnya, sekumpulan petugas TM akan melakukan kajian dari segi penentuan tiang telefon dan kabinet yang sesuai untuk penyambungan kabel ke lokasi berkenaan.

"Sekiranya pemasangan hendak di lakukan di satu lokasi, petugas berkenaan akan mengenal pasti terlebih dahulu kawasan tersebut, tiang telefon yang berhampiran dan nombor tiang berkenaan.

"Di bahagian atas tiang ada ditulis nombor tiang itu, di bahagian bawah pula ditulis nombor kabinet yang terletak di tepi jalan. Mereka akan catat dan masukkan segala butiran berkaitan ke dalam satu borang sebelum dimasukkan di dalam sebuah sistem bagi membolehkan kerja-kerja teknikal seterusnya dilakukan," katanya.

Permohonan untuk pemasangan telefon awam akan diluluskan selepas hasil kajian itu menunjukkan tidak terdapat sebarang masalah dan bahaya.

Katanya, proses seterusnya akan melibatkan kerja-kerja menyambungkan rangkaian telefon dari ibu sawat tempatan ke lokasi telefon awam yang hendak dipasang.

Katanya, jika membabitkan telefon awam, bacaan 'pair' ditanda secara spesifikasi dengan menyatakan daripada syarikat mana yang memasang telefon awam tersebut.

"Hal ini memandangkan di dalam kabinet, terdapat banyak kabel yang terdiri daripada bacaan 'pair' mewakili pelbagai premis seperti bank, balai polis, hospital dan pejabat kerajaan.

"Dengan ini, proses penyelenggaraan dan pembaikan dapat dilakukan dengan mudah sekiranya berlaku masalah teknikal," katanya.

Menurutnya, juruteknik akan melakukan proses penyambungan 'jumper' kabel dari bacaan 'pair' pada ibu sawat ke bacaan 'pair' yang terdapat pada lokasi tiang setiap premis mengikut senarai yang ditetapkan dalam borang.

"Setelah bacaan 'pair' ditandakan, juruteknik akan melakukan pemeriksaan di atas tiang dengan menggunakan telefon bagi memastikan nombor tersebut telah sampai atau tidak," katanya.

"Setelah selesai, barulah pemasangan telefon awam boleh dilakukan. Biasanya syarikat yang memohon untuk menyediakan telefon awam akan menyediakan peralatan berkenaan," katanya.

Tambahnya, duit syiling yang diperolehi daripada hasil pengguna membuat panggilan menggunakan telefon awam akan dikutip oleh kakitangan syarikat berkenaan pada setiap bulan.

"Syarikat itu kemudian akan membayar sewa talian kepada TM mengikut kadar yang ditetapkan dalam tempoh tertentu," katanya.

Kini, tidak banyak syarikat menyediakan kemudahan telefon awam memandangkan perniagaan tersebut berdepan dengan pelbagai risiko khususnya vandalisme.

Sumber: Utusan

Vandalisme ancam telefon awam



KESEDARAN sivik dan penekanan terhadap nilai-nilai murni sangat penting dalam membentuk budaya masyarakat yang menghargai telefon awam. Jika tidak, perbuatan vandalisme akan terus berleluasa lantas menimbulkan kesukaran dan mungkin memudaratkan pengguna lain yang memerlukan khidmat telefon awam di saat genting.

Melihat kepada statistik vandalisme yang dikeluarkan Muzium Telekom pada tahun 2001 hingga 2007, ternyata begitu banyak kes vandalisme.

Bermula pada 2001, jumlah keseluruhan vandalisme yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 9,631 kes, 9,745 (2002), 7,404 (2003), 10,898 (2004), 7,851 (2005), 2,002 (2006) dan 241 (2007).

Walaupun terdapat penurunan masalah tersebut pada 2004 hingga 2007, namun tiada petunjuk bahawa kesedaran kepentingan menjaga telefon awam sudah meningkat.

Ini berikutan banyak aduan dan rungutan dipaparkan di dalam media mengenai kerosakan telefon awam dan kemungkinan penurunan berlaku disebabkan faktor peralihan kepada gajet yang lebih canggih.

Menurut Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya, kes vandalisme merupakan isu utama yang sering kali dikaitkan dengan telefon awam.

"Sikap segelintir pengguna yang suka memecahkan telefon, putuskan wayar dan mencabut ganggang menyebabkan banyak telefon awam tidak boleh digunakan. Bahkan, ada juga yang mencuri duit syiling.

"Sebab itu, perubahan sikap amat penting dan menjadi perkara utama yang perlu ditekankan bagi memastikan kemudahan telefon awam dapat digunakan secara berterusan," katanya.

Katanya, setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran, jika tidak telefon awam yang kian berkurangan akan hilang dari pandangan umum.

"Walaupun orang ramai sudah beralih kepada penggunaan telefon bimbit, namun kemudahan telefon awam juga amat penting.

"Manalah tahu tiba-tiba berlaku kecemasan dan pada masa sama telefon bimbit pula kehabisan bateri atau tidak ada kredit, bukankah telefon awam boleh menyelamatkan keadaan," katanya.

Saharuddin berkata, kadang-kadang kerosakan telefon awam disebabkan vandalisme ini berlaku kerana kegagalan kemudahan itu berfungsi.

"Kita tidak menolak kemungkinan rasa marah yang timbul akibat tidak dapat membuat panggilan walaupun duit telah dimasukkan atau 'ditelan' mendorong seseorang untuk melakukan vandalisme.

"Justeru, kualiti perkhidmatan juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk sistem dan mekanikal telefon itu sendiri," katanya.

Beliau pada masa sama menyarankan agar kemudahan telefon awam mengutamakan penggunaan kad berbanding duit syiling kerana langkah itu dapat mengurangkan vandalisme.

"Menerusi langkah itu, risiko kecurian duit syiling secara tidak langsung dapat ditangani sekali gus mengelakkan syarikat telekomunikasi menanggung kerugian yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan tidak menafikan perbuatan vandalisme berlaku akibat kurang didikan dan penerapan nilai-nilai murni dari segi kesedaran menjaga kemudahan awam.

"Sesetengah pengguna mempunyai satu penyakit 'gatal' tangan nak buat vandalisme. Pantang nampak telefon awam, mulalah rosakkan semua benda, dengan telefon sekali dicabutnya.

"Itu adalah salah satu tabiat buruk yang perlu diperbetulkan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang bijak berfikir," katanya.

Sumber: Utusan

Sejarah Telefon Awam ~ Perlu bantuan operator


SEBUAH patung menunjukkan peranan operator yang merupakan sebahagian penting dalam perkembangan telekomunikasi.

A/B Black merupakan telefon awam buatan British yang dilengkapi dengan sebuah telefon lengkap dail bagi memberi kemudahan kepada sesiapa yang hendak menggunakannya.

Sebelum membuat sesuatu panggilan, pemanggil terlebih dahulu dikehendaki mendail '0' bagi mendapatkan khidmat bantuan operator yang dahulunya dikenali sebagai telefonis.

Menurut Penyelaras Bahagian Pengurusan Artifak Muzium Telekom, Jorimi Saib, operator berkenaan akan memberi arahan kepada pemanggil supaya memasukkan jumlah duit syiling mengikut kadar yang ditentukan berdasarkan destinasi yang hendak dihubungi.

"Duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen sahaja boleh digunakan. Terdapat tiga lubang mengikut nilai duit syiling disediakan di atas telefon awam berkenaan.

"Untuk membuat panggilan, pemanggil perlu memasukkan duit mengikut nilai yang ditentukan ke dalam lubang berkenaan. Semakin jauh lokasi panggilan, semakin tinggi jumlah duit syiling yang diperlukan," katanya.

Tambahnya, apabila duit yang dimasukkan sudah mencukupi, operator akan bertanyakan kepada pemanggil sekiranya mahu mendail sendiri nombor yang hendak dihubungi atau meminta bantuan operator tersebut.

"Sebelum itu, operator akan memaklumkan terlebih dahulu sama ada duit yang dimasukkan telah mencukupi atau tidak. Kemasukan duit syiling akan dipantau oleh operator.

"Operator mempunyai kemahiran dalam mengesan berapa jumlah duit syiling yang dimasukkan berdasarkan nada atau bunyi duit tersebut, jadi pemanggil tidak boleh melakukan penipuan," ujarnya.

Katanya, setelah pemanggil berjaya mendapat jawapan daripada individu yang dihubungi, pemanggil perlu menekan butang 'A' supaya perbualan boleh diteruskan di antara dua pihak.

"Suara daripada individu yang dihubungi tidak akan dapat didengari selagi pemanggil tidak menekan butang 'A'.

"Namun, sekiranya panggilan yang dibuat tidak dijawab setelah beberapa kali bunyi deringan, pemanggil boleh menekan butang 'B' untuk membatalkan panggilan.

"Duit yang dimasukkan sebelum itu akan dikeluarkan semula menandakan panggilan tidak berjaya," katanya,

Sumber: Utusan

Sejarah ~ Perjalanan panjang telefon awam


JORIMI Saib menunjukkan ibu sawat telefon yang pernah digunakan suatu ketika dahulu dan kini dipamerkan di Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

SEJARAH dan perkembangan telefon awam di negara ini bermula ketika zaman pemerintahan British sekitar tahun 1930-an.

Menurut Ketua Muzium Telekom, Mohd. Hasnan Abd Jalil (gambar), pada masa itu A/B Black merupakan telefon awam pertama yang dibawa masuk oleh British ke Tanah Melayu.

"Tiada catatan menunjukkan di mana lokasi pertama pemasangan telefon awam bermula, namun difahamkan Selangor merupakan kawasan paling awal menggunakan kemudahan tersebut," katanya.

Beliau berkata, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Telekom Malaysia (JTM) sebelum diperbadankan dan diswastakan merupakan agensi pertama mengendalikan kemudahan telefon awam.

"JTM merupakan sebuah jabatan kerajaan (ditubuhkan pada 1 April 1946) yang bertanggungjawab dalam pembentukan dan pembangunan prasarana telekomunikasi termasuk kemudahan telefon awam di negara ini.

"Jabatan kerajaan itu kemudian diswastakan pada 1987 (dikenali sebagai Syarikat Telekom Malaysia Berhad) seterusnya ditukar menjadi TM setelah diperbadankan dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)," katanya.

Tambahnya, terdapat satu bahagian yang dinamakan sebagai 'payphone' berperanan mengendalikan operasi dan kemudahan telefon awam.

Katanya, menerusi penswastaan itu, kualiti perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi di negara ini berkembang pesat termasuk dari segi kemudahan telefon awam.

Transformasi itu menyaksikan pelbagai perubahan dari segi reka bentuk mahupun kaedah penggunaannya.

"Pada mulanya, semua telefon awam menggunakan duit syiling. Kaedah penggunaannya kemudian berubah apabila kad telefon diperkenalkan sekitar tahun 1990-an.

"Selepas itu, penggunaan telefon awam dipelbagaikan sama ada menggunakan duit syiling atau kad sahaja atau kombinasi kedua-duanya," katanya.

Tambahnya, perubahan turut berlaku dari segi kaedah mendail.

"Telefon awam pada mulanya menggunakan sistem dail putar sebelum bertukar kepada butang tekan," katanya.

Reka bentuk telefon awam pula menurutnya, ada jenis yang berpondok, berbumbung (tanpa pintu), tergantung, 'melekat' di dinding atau dipasang di tiang.

"Ada juga yang berbentuk seperti 'kotak' yang diletakkan di atas meja. Pemilik kedai atau restoran dahulu selalu menggunakan telefon jenis itu.

"Biasanya, mereka ini menjadi ejen yang menyewa telefon dan kemudian menyediakan kemudahan itu untuk kegunaan orang awam.

"Duit syiling akan dikutip oleh ejen berkenaan dan mereka turut membayar sejumlah duit kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan telefon awam mengikut kadar ditetapkan," katanya.

Katanya, sebagaimana pengangkutan awam, telefon awam pada suatu ketika dahulu menjadi keperluan yang sangat penting kepada masyarakat.

"Ketika itu, orang ramai belum mampu memiliki telefon rumah atau telefon bimbit sendiri.

"Jadi, telefon awam menjadi keperluan utama penduduk sama ada yang tinggal di bandar mahupun di luar bandar untuk saling berhubung di antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, kos pemasangan telefon awam bergantung kepada jarak ibu sawat dengan lokasi kemudahan itu hendak dipasang.

"Kos turut mengambil kira dari segi reka bentuk serta berapa jumlah bilangan yang hendak dipasang dalam satu tempat. Selain itu, ia turut bergantung kepada saiz ibu sawat.

"Namun, kos akan menjadi lebih murah sekiranya di kawasan perumahan itu sudah ada penyambungan telefon rumah.

"Penentuan bilangan telefon awam pula bergantung kepada populasi penduduk di satu kawasan," katanya.

Tambah beliau, dahulu pemasangan telefon awam di lokasi terpilih dilakukan sama ada menerusi inisiatif TM mahupun berdasarkan permohonan daripada pemimpin di sesuatu tempat.

"Ketika itu, ketua kampung atau wakil rakyat di sesuatu kawasan turut membuat permohonan supaya telefon awam didirikan di kawasan mereka berdasarkan permintaan penduduk," katanya.

Tambahnya, panggilan menggunakan telefon awam sebelum ini boleh diketahui dengan melihat dua digit terakhir yang jika dicampur menjadi 11.

Menurut Mohd. Hasnan, TM pada masa itu menetapkan pelan nombor telefon dan kod kawasan sebagai rujukan mereka.

"Nak kenal nombor telefon awam, kena lihat hasil campur dua digit nombor di belakangnya menjadi 11 contohnya 74, 65 atau 83.

"TM mengindekskan nombor tersebut bagi memudahkan mereka mengenal pasti sesuatu panggilan sekiranya pemanggil bertanyakan kepada operator," katanya.

Menurut beliau, secara lazimnya dalam pelan nombor telefon di negara ini, dua digit terawal sesuatu nombor mewakili kod kawasan dan digit seterusnya pula merupakan daerah.

"Sebagai contoh Selangor menggunakan kod 03, digit seterusnya misalnya 7 pula mewakili daerah seperti Kelana Jaya, Petaling Jaya dan Subang," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama dua digit terakhir bagi telefon awam masih sama seperti dahulu atau sudah berubah.

Sumber: Utusan

0 comments: