17 Februari 2014

Subsidi Rumah Melalui Skim MyHome

SUBSIDI RUMAH
Skim MyHome sedia bantuan maksimum RM30,000 untuk beli rumah pertama

Golongan isi rumah berpendapatan rendah dengan jumlah RM3,000 ke bawah bakal menikmati subsidi membeli rumah terpilih pada harga kos rendah dengan kadar maksimum sehingga RM30,000 di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) yang akan dilancarkan kerajaan pada 1 April 2014.

Menerusi skim ini, mereka yang layak hanya perlu membayar harga rumah kos rendah yang ditetapkan di setiap negeri, manakala bakinya dibayar oleh kerajaan terus kepada pemaju.

Langkah yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Majlis Perumahan Negara (MPN) yang dipengerusikan  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Februari, 2014.


Program Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) merupakan sebuah projek khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2014.

MyHome bantu rakyat beli rumah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program tersebut akan melibatkan kira-kira 10,000 unit rumah yang dibina oleh pihak swasta dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta dan jumlah itu mampu menampung subsidi bagi 10,000 unit rumah (yang dibina oleh pihak swasta) kepada rakyat berpendapatan rendah. Dana tersebut akan ditambah jika kerajaan mendapati program tersebut mendapat sambutan daripada pemaju dan pembeli.

"Program MyHome merupakan satu usaha yang mana kerajaan akan memberi insentif kepada sektor swasta untuk membina rumah-rumah kos rendah yang sangat dikehendaki oleh rakyat,

"Jika pemaju mengambil bahagian dalam skim ini, rumah berharga RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000 dan ini bermakna kerajaan akan memberi subsidi kepada pembeli yang layak sebanyak RM30,000,

"Di bawah program ini, pemaju yang mendapati rumah yang hendak dijual tidak mendapat subsidi dan terpaksa dijual melebihi harga kos rendah, maka mereka layak menyertai bagi mendapatkan bantuan," katanya..

Pemaju mesti memohon untuk menyertai skim itu dan pemilihan akan tentukan oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, Najib berkata, satu pangkalan data yang dikenali sebagai Rumahku Exchange akan diwujudkan supaya segala perkara berkaitan dengan perumahan mudah diperoleh.

"Mana-mana pemaju yang ingin menyertai program ini bolehlah memohon kepada pihak kementerian dan seterusnya orang ramai boleh memohon selepas pelancarannya pada 1 April 2014," ujarnya.

Syarat Pembeli Layak

Najib berkata, penentuan jumlah subsidi kepada pembeli yang layak bergantung kepada harga sebuah rumah kos rendah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Mungkin ada yang dapat subsidi RM20,000 dan ada juga yang mendapat subsidi RM10,000. Semuanya ini bergantung kepada harga rumah murah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri," ujarnya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menetapkan syarat-syarat pembeli yang layak menyertai program tersebut iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

"Syarat-syarat lain rumah tersebut mestilah rumah yang pertama dan mereka dilarang menjual rumah itu dalam tempoh 10 tahun," ujarnya.

Najib berkata, subsidi berkenaan akan dibayar terus ke akaun pembeli. Senarai pembeli akan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.

Syarat Pemaju Layak

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata antara syarat ditetapkan untuk melayakkan pembeli membeli rumah berkenaan adalah warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pembelian rumah pertama dan permohonan satu unit rumah kepada setiap isi rumah.

Ia juga terbahagi kepada empat kategori kelayakan pendapatan isi rumah iaitu bagi MyHome1 dan MyHome1 Sabah dan Sarawak adalah RM3,000 hingga RM4,000 manakala MyHome2 dan MyHome2 Sabah dan Sarawak RM4,001 hingga RM6,000.

Pemilihan pemaju yang layak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Projek Skim MyHome di kementerian.

"Antara syaratnya termasuk syarikat yang sah ditubuhkan dan diperbadankan di bawah undang-undang Malaysia, setiap pemaju dihadkan untuk menerima insentif tidak melebihi 1,000 unit dalam satu projek serta keutamaan diberikan kepada pemaju perumahan swasta," katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka yang menepati syarat kelayakan dan berminat boleh membuat permohonan atas talian di http://ehome.kpkt.gov.my, muat turun borang di laman web Jabatan Perumahan Negara (JPN) iaitu http://ehome.kpkt.gov.my, mengambil borang di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagi memastikan pemilikan rumah di bawah skim ini mencapai golongan sasaran, kerajaan menetapkan syarat tempoh moratorium kepada pembeli selama 10 tahun dan tempoh itu dikira apabila surat perjanjian jual beli ditandatangani, katanya.

Sumber: BHarian [14/2/2014], Kosmo, Utusan [14/2/2014], BHarian [28032014]

Perluas Skim MyHome kepada rumah jenis lain

Pelbagai cadangan dikemukakan banyak pihak bagi menambah baik Skim MyHome, termasuk mahu kerajaan memperluaskannya kepada kediaman jenis lain.

Selain itu, mereka juga mahu pemaju disyaratkan memberi subsidi dan ditubuhkan Dana Perumahan Negara bagi membantu kumpulan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 untuk membeli rumah pertama pada harga rumah kos rendah.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berharap subsidi sehingga RM30,000 yang disediakan kepada kumpulan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 tidak dihadkan kepada rumah jenis kos rendah saja.

Sebaliknya, beliau mahu bantuan kewangan itu turut diperluaskan kepada mereka yang layak untuk membeli apa saja jenis kediaman.

“Di Johor, kita terima hakikat, kalau kerajaan saja bantu, kita tidak mungkin dapat melakukannya. Oleh itu, kita memperkenalkan dasar yang mana pemaju turut sama membantu.

“Sebagai contoh, kalau saya orang susah, saya mahu beli rumah kos rendah harga RM40,000 yang sebenarnya berharga RM70,000, pemaju bagi subsidi RM30,000, kerajaan beri RM30,000 lagi (Skim MyHome), saya hanya bayar RM10,000,” katanya.

Dana Perumahan Negara

Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyarankan diwujudkan Dana Perumahan Negara bagi menyokong Skim MyHome bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama.

Presidennya, Khairul Amin Osman, berkata ia berikutan kebanyakan mereka yang layak memohon skim itu adalah yang bekerja sendiri dan tiada slip gaji serta berdepan masalah membuat pinjaman bank.

“Kita cadangkan penubuhan dana itu untuk mempermudahkan pinjaman supaya tidak timbul isu ditawarkan rumah tetapi tidak layak membuat pinjaman,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata melalui skim itu, kerajaan Pusat sendiri yang memasuki pasaran perumahan dan menjadi pembiaya untuk meringankan beban rakyat.

George berkata, berdasarkan kaji selidik di enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur mendapati 97 peratus pengguna menyokong semua skim diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.

Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menyarankan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA) meminta pemaju di negeri itu menyertai Skim MyHome.

Menterinya, Datuk Hajiji Noor, berkata skim itu boleh ditawarkan menerusi projek pembinaan 15,000 rumah mampu milik yang akan dilaksanakan secara usaha sama antara SHAREDA dan kerajaan negeri.

Sumber: BHarian [15/2/2014]

'Konsep siapa cepat dia dapat'

Skim MyHome yang menawarkan subsidi sehingga RM30,000 kepada rakyat berpendapatan rendah untuk membeli rumah, akan dilaksanakan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pembeli dan pemaju yang berminat menyertai skim ini perlu membuat permohonan kepada kementerian bermula 1 April 2014 selepas ia dilancarkan.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebanyak 10,000 unit rumah akan dibina. Sementara lokasi pembinaan rumah akan ditentukan oleh kementerian selepas ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, Skim MyHome itu akan diteruskan pada tahun seterusnya jika mendapat sambutan baik dan pelaksanaannya berjalan dengan licin. Skim tersebut terbuka untuk dimohon kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

Abdul Rahman berkata, portal Rumahku Exchange yang turut diumumkan Perdana Menteri, akan menjadi hab maklumat lengkap yang disediakan kepada bakal pembeli dan pemaju rumah terutama melalui Skim MyHome.

"Melalui portal itu, pembeli boleh mendapatkan pangkalan data yang komprehensif mengenai permintaan dan penawaran perumahan. Rumahku Exchange akan menjadi bursa informasi industri perumahan untuk rakyat, pemaju dan kerajaan. Segala-galanya ada di situ," katanya.

Abdul Rahman berkata, RumahKu Exchange adalah portal pusat sehenti yang memaparkan maklumat lokasi, harga, tawaran dan permintaan perumahan, bagi semua kategori perumahan swasta dan awam.

"Ia juga akan menunjukkan berapa peratus yang telah siap sesebuah projek perumahan di negara kita, serta memaparkan berapa unit lagi yang belum terjual dalam sesebuah projek perumahan," katanya.

Oleh FAIZAH IZZANI
Sumber: Utusan [15/2/2014]

Inisiatif terbaik bantu golongan muda miliki rumah

Program MyHome ini merupakan inisiatif terbaik membantu rakyat khususnya golongan muda memiliki rumah sendiri.

Menurut Pengerusi Biro Hal-Ehwal Bandar dan Perumahan, Nazir Hussin Akhtar Hussin, pihaknya bersedia membantu kerajaan bagi menjayakan program itu khususnya menyalurkan permohonan yang layak kepada kerajaan.

"Kami juga amat berharap agar usaha ini tidak menjadi 'one off' program tetap diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan jumlah yang lebih besar," katanya.

Dalam pada itu, Nazir Hussin menggesa pihak kerajaan membuat penilaian yang teliti bagi memastikan pemohon yang layak sahaja dipilih mendapatkan subsidi tersebut.

"Program ini perlu dilaksanakan dengan telus memandangkan jumlah permohonan dijangka lebih besar berbanding subsidi yang diperuntukkan. Saya juga mengharapkan agar kerajaan tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat dan memberi keutamaan kepada pemohon daripada golongan muda yang telah berkeluarga," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee meminta pihak kerajaan memantau berterusan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan memanipulasi harga rumah berkenaan.

"Saya berharap syarat -syarat khusus diwujudkan bagi menghalang pemilik menjual semula rumah tersebut dalam tempoh tertentu pada harga yang lebih tinggi demi mengaut keuntungan.

"Dengan adanya syarat tersebut, rakyat yang berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri memandangkan harga rumah terkawal," katanya.

Sumber: Utusan [15/2/2014]

0 comments: