Nuff Atas

01 Mac 2014

Hidup Lebih Tenang Tanpa Internet



SEPANJANG dua jam yang pertama ini (tidak kiralah hendak dikira dari jam berapa), sudah berapa kali anda membuka dan menutup laman sosial atau mengemas kini status di Facebook, Twitter dan lain-lain?

Sebenarnya soalan yang lebih penting, setakat ini apakah kerja-kerja yang anda sudah lakukan atau bereskan selain membuka dan melihat semula laman sosial berkenaan?

Cuba fahami hakikat kebenaran berdasarkan contoh daripada kes berikut ini ...

Seorang rakan memberitahu memaklumkan bahawa dia sudah memadam semua aplikasi laman sosial di telefon bimbit dan komputer ribanya apabila saya ‘bising’ terpaksa menghantar mesej yang panjang lebar kepadanya tentang hal kerja menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sebenarnya lebih mudah dihantar melalui WhatsApp.


Katanya, semua itu hanya membawa masalah dan gangguan. Hidupnya kini lebih tenang tanpa Internet.

"Cubalah you tidak buka benda-benda ni dalam satu hari. Fikiran, perasaan dan hidup you akan jadi lebih tenang.

"Pedulilah apa berita atau cerita yang you dah terlepas di dalam sana. Bukan semua betul pun," katanya.

Menurutnya, fikirannya lebih fokus pada kerja di pejabat atau kerja rumah. Semuanya boleh cepat diselesaikan dan hubungannya dengan keluarga menjadi lebih rapat.

Saya juga pernah diberitahu oleh seorang rakan lelaki lain yang dia turut memadam aplikasi laman sosial dalam telefon bimbitnya kerana mahu isterinya juga berbuat demikian.

Katanya, disebabkan terlalu asyik melayan laman sosial itu, sudah tidak banyak komunikasi antara dia dan isterinya di rumah.

Ini kerana masing-masing apabila balik ke rumah leka menilik telefon bimbit dan banyak kerja rumah yang boleh diselesaikan segera jadi tertangguh. Makan malam jadi lambat, baju di dalam mesin basuh tidak bersidai, keadaan rumah jadi serabut dan tiada masa lagi untuk menonton program-program kesukaannya di televisyen.

Telefon bimbit mereka tidak henti-henti menerima mesej kerana mereka ada banyak group atau kumpulan dalam WhatsApp. Maka sampai ke tengah malam sesekejap mereka akan melihat telefon.

Dia juga pernah beberapa kali ‘menangkap’ anaknya meniru homework sekolah daripada rakan-rakan sekelasnya dengan cara screenshots di telefon bimbit anaknya.

Anaknya juga tidak banyak bercakap dengannya. Anaknya lebih suka menghabiskan masa berborak dengan kawan-kawannya dalam group WhatsApp atau menonton filem, drama dan nyanyian kumpulan-kumpulan dari Korea dalam YouTube.

Kemudahan Internet ini, katanya membuatkan hidupnya sekeluarga jadi ‘sunyi’ semacam. Penyudahnya, dia padam semuanya.

Sememangnya, kita tidak dapat menafikan kemudahan Internet ini jika tidak digunakan secara berhemat, akan menguasai sebahagian besar daripada kehidupan kita.

Apabila terlalu obses dengan kemudahan ini, ia sedikit demi sedikit mengikis kualiti hidup kita tanpa kita sedari.

Dan ada juga mudah terpengaruh dan percaya apa saja cerita atau gambar yang disiarkan di Internet. Ini pula boleh membuka satu lagi cerita lain, iaitu memfitnah, berdebat dan bergaduh di laman-laman sosial.

Disebabkan terlalu banyak masa dan tumpuan diberikan pada apa yang ada dalam Internet, pada alam maya, ada yang mengabaikan apa yang ada dan berlaku dalam alam realiti.

Terutamanya apabila terlalu banyak bersembang tidak mengira waktu dan tempat. Sedangkan sebenarnya bila jumpa dengan kawan-kawan yang berborak dalam laman sosial secara berdepan, tidak ada banyak perkara pun hendak dicakapkan, tapi bila di alam maya, tidak berhenti-henti membalas perbualan sehingga mengganggu waktu kerja, makan dan tidur.

Oleh Fauziah Arof
Sumber: Utusan

0 comments: