26 April 2014
Pemilu Indonesia 'Ringkas' Tapi Menarik
Kesempatan meninjau proses Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia memberi satu pengalaman baharu kepada sesiapa sahaja yang berada di negara ketiga terbesar di dunia mengamalkan sistem demokrasi itu.
Berbanding di Malaysia, pilihan raya umum di Indonesia bagi memilih anggota Parlimen dan majlis tempatan berbeza sama sekali baik dari segi pengendalian, tempat pengundian, hatta suasana proses pemilihan.
Pada 9 April 2014 semasa hari Pemilu, tinjauan di beberapa pusat pengundian sekitar kota Jakarta didapati proses pengundian di Indonesia bagi memilih pemimpin bagi tempoh 2014-2019 begitu 'ringkas' dan berlangsung dalam suasana ceria dan mesra kekeluargaan.
Di Indonesia, kertas undi "dicoblos" ataupun ditebuk lubang menggunakan sebatang paku yang disediakan di ruang mengundi, berbeza di Malaysia yang menyediakan pensil untuk memangkah kertas undi.
Manakala, seperti yang dilakukan di Malaysia pada pilihan raya umum ke-13 pada 2013, bagi memastikan tidak berlaku pengundian dua kali, jari pemilih yang sudah mengundi ditanda dengan dakwat biru tua. Mereka akan mencelupkan jari kelingking dan bukannya dicalit di jari telunjuk seperti di Malaysia.
TUGAS YANG BESAR
Pemilu kali ini adalah yang ke-11 sejak republik ini mencapai kemerdekaan dan adalah pilihan raya keempat selepas reformasi menyebabkan jatuhnya kepimpinan autokrasi Presiden Suharto pada 1998.
Kira-kira 186 juta pemilih terlibat dalam Pemilu kali ini bagi memilih 560 anggota Dewan Perwakilan Rakyat dan lebih 18,000 anggota majlis tempatan. Mereka mengundi di 545,791 pusat mengundi di seluruh Indonesia.
Berdasarkan undian awal Lembaga Lingkaran Survei Indonesia (LSI) baru-baru ini, meletakkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) di kedudukan teratas selepas memperoleh 19.77 peratus undi diikuti Parti Golkar (14.61 peratus), Gerakan Indonesia Raya (Gerindra-11.80 peratus) manakala parti pemerintah, Demokrat di tempat keempat dengan 9.73 peratus.
Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) berada di kedudukan kelima dengan memperoleh 9.07 peratus undi diikuti Parti Amanat Nasional (PAN-7.47 peratus) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP-7.08 peratus), Parti Nasional Demokrat (Nasdem-6.93 peratus), Parti Keadilan Sejahtera (PKS-6.84 peratus) dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura-6.72 peratus).
Dua parti yang meraih undi paling sedikit ialah Parti Bulan Bintang (PBB), yang mendapat 1.36 peratus undi dan Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI-0.97 peratus).
PROSES PILIHAN RAYA BERJALAN LANCAR
Keputusan rasmi Pemilu Parlimen 2014 akan diumumkan antara 7 dan 9 Mei 2014 ini.
Dari segi kempen, Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) Indonesia memberi tempoh 21 hari kepada semua calon dan parti menjalankan aktiviti masing-masing dan menjadi amalan demokrasi di Indonesia, menjelang tiga hari pemilihan, semua logistik dan kempen dihentikan.
Tempoh bertenang itu membolehkan rakyat membuat pertimbangan calon atau parti mana untuk diundi selepas mereka dihujani pelbagai janji, harapan dan permintaan daripada 12 parti politik nasional yang bertanding pada Pemilu 2014.
Daripada tinjauan semasa pemilihan itu, tidak ada ketegangan manakala mereka yang berada di pusat pengundian tidak menunjukkan situasi tertekan atau pun serius.
Pemilihan berjalan dalam suasana penuh keceriaan dan mereka seolah-olah berada dalam satu 'pesta'. Tiada aksi merayu dan memujuk pengundi dan tiada juga barung atau bangsal panas disediakan oleh parti-parti bertanding di luar tempat mengundi.
BANYAK KEBEBASAN BAGI PENGUNDI
Apa lagi jeritan dan cacian provokasi juga tidak kedengaran. Tidak ada yang membawa simbol mana-mana parti semasa hari pengundian. Sebaliknya, kertas senarai calon dan lambang parti hanya ditampal di pusat pengundian untuk dijadikan rujukan pengundi membuat pilihan.
Pelbagai tempat seperti taman, rumah persendirian atau rumah kedai diubahsuai menjadi pusat pengundian dan di sekitar kawasan berkenaan turut dimeriahkan dengan 'konsert mini' dan gerai menjual makanan.
Kotak atau peti undi pula tidak seragam, ada yang diperbuat daripada besi serta kotak barangan dan keadaan itu dilihat seolah-olah seperti pilihan raya 'olok-olok' sahaja.
Begitu juga pasukan keselamatan seperti polis, tentera atau 'samseng parti' tidak ada yang mengawal pusat pengundian dan semuanya mereka urus sesama sendiri dengan penuh kepercayaan.
Dan yang menarik perhatian adalah sesiapa pun boleh memasuki pusat pengundian tanpa sebarang permit atau surat kebenaran khas.
SPR PUJI PESTA DEMOKRASI INDONESIA
Malah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memuji perjalanan pilihan raya umum di Indonesia yang disifatkannya seperti 'pesta demokrasi'.
Beliau yang diundang oleh Indonesia sebagai pemerhati pada Pemilu 2014, berkata bukan mudah untuk melaksanakan pilihan raya umum di negara yang mempunyai lebih 230 juta penduduk itu.
"Ada perkara yang kita boleh belajar daripada pengalaman mereka menguruskan pilihan raya umum ini," katanya.
Misalnya, Abdul Aziz berkata tempoh bertenang selama tiga hari yang diamalkan di Indonesia berjaya mendisiplinkan parti bertanding dan penyokong sehingga mewujudkan tempoh bertenang dalam erti kata sebenar.
"Di Malaysia juga ada peraturan sepanjang tempoh bertenang (bermula dari tengah malam sehingga keputusan diumumkan). Namun ada yang tidak mematuhi peraturan. Kalau semua ikut peraturan, saya rasa kekecohan boleh dielakkan," katanya.
Mungkin dari satu segi, proses pengundian di Indonesia tidak sistematik tetapi ada ciri-ciri yang lebih baik daripada apa yang berlaku di Malaysia.
Paling tidak mereka mesra sesama sendiri, tidak emosi dan menjadikan pilihan raya sebagai kewajiban kepada negara bukan kepada perkara lain.
Pemilu Presiden pada 9 Julai 2014 pastinya lebih menarik kerana mereka akan memilih tokoh yang boleh memimpin mereka bagi tempoh lima tahun akan datang dan melaung agar 'Indonesia Lebih Hebat'.
Bukan mahu mempersoal sistem pilihan raya di Malaysia, namun ada perkara yang boleh dipelajari dan diperbaiki agar sistem pemilihan berjalan lancar tanpa mencacatkan sistem demokrasi yang selama ini didukung oleh rakyat Malaysia.
MASALAH GOLPUT PADA PEMILU 2014
Walaupun Pemilu Parlimen Indonesia, pada 9 April 2014 berjalan lancar, wujud pula golongan yang tidak menggunakan hak mereka untuk mengundi dan golongan ini dikenali sebagai Golput (golongan putih).
Angka Golput terus meningkat pada setiap pilihan raya umum. Pada Pemilu 1999 jumlah Golput adalah 10.21 peratus, Pemilu 2004 (23.34peratus) dan Pemilu 2009 (29.01 peratus). Berbanding angka Golput pada Pemilu era Orde Lama dan Orde Baru (1955, 1971, 1977, 1982, 1987, 1992, dan 1997) yang tidak pernah melebihi 10 peratus.
Meskipun ramai pemerhati politik menjangka jumlah Golput akan menurun kali ini berikutan kemunculan Joko Widodo sebagai calon presiden dari PDI-P dan fatwa yang dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) bahawa adalah haram jika masyarakat tidak menggunakan hak suara mereka pada Pemilu, namun angka Golput masih tinggi.
Tinjauan awal yang dilakukan Cyrus Network dengan kerjasama Center for Strategic and International Studies (CSIS) menunjukkan jumlah rakyat yang tidak memilih pada Pemilu 2014 adalah sebanyak 24.8 peratus (kira-kira 45 juta orang) daripada 185 juta pemilih berdaftar di seluruh Indonesia.
PUNCA GOLPUT MASIH TINGGI
Tidak adanya kepercayaan rakyat kepada elit politik dan pemimpin, baik di peringkat parlimen dan majlis tempatan, menyebabkan jumlah Golput masih tinggi di Indonesia.
Golongan berkenaan merasakan wakil rakyat tidak mahu atau kurang menyelami kesusahan rakyat, malah rakyat menganggap mereka ini seperti 'boneka' kerajaan sedangkan tanggungjawab mereka adalah membela nasib rakyat.
Tingkah laku wakil rakyat juga sangat mengecewakan, misalnya terlibat dengan rasuah dan bermewah-mewahan sedangkan banyak rakyat hidup dalam keadaan kemiskinan.
Masyarakat sudah tidak lagi mempercayai dengan demokrasi dan Pemilu kerana pilihan rakyat itu tidak mampu melahirkan pemimpin yang memiliki karakter sebagai negarawan, jujur, amanah, adil dan sangat mengambil berat hal rakyat.
ALASAN TIDAK MENGUNDI
Penyelidik LSI, Rully Akbar berkata terdapat beberapa alasan mengapa angka Golput masih tinggi walaupun kesedaran rakyat juga semakin meningkat bagi memilih pemimpin mereka.
"Pertama, disebabkan masalah pentadbiran. Mereka yang tidak memiliki kad pemilih tidak dapat menyalurkan undi mereka. Kedua, disebabkan masalah teknikal... tidak ada waktu atau waktu bertepatan dengan waktu kerja dan sebagainya.
"Ketiga, alasan politik. Ini masalah keperibadian seseorang dalam bentuk ketidakpercayaan kepada Pemilu dan penyelenggara Pemilu. Terakhir, mereka tidak tahu siapa yang harus dipilih dan akhirnya memutuskan untuk tidak mengundi," katanya.
Pada pemilu 2009, Golput bukan sahaja tidak hadir di tempat pengundian, malah antara lain mereka menggunakan hak mereka dengan memilih secara tidak sah. Mereka dikatakan berbuat demikian kerana bimbang undi mereka akan digunakan pihak tertentu untuk dimanipulasi.
Bagi seorang pemerhati yang hanya mahu dikenali sebagai Nabieh, Golput dijangka menurun pada Pemilu Presiden, 9 Julai ini, kerana pemilihan itu adalah lebih kepada individu berbanding parti politik seperti sebelum ini.
Saat ini, banyak parti politik sedang mengadakan rundingan bagi mewujudkan pakatan sebelum mengetengahkan gandingan calon presiden dan wakil presiden (naib presiden) pada Pemilu Presiden akan datang.
Jika gandingan calon presiden dan wakil presiden mantap, tidak mustahil jumlah Golput akan menurun.
Oleh Elmi Rizal Alias
Sumber: BERNAMA
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan