29 Mei 2014
DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (1928 - 2014)
DULI Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat tengah hari 28 Mei, 2014, di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Almarhum yang juga Sultan Perak Darul Ridzuan yang ke-34 dan telah menjadi Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.30 tengah hari. Almarhum berusia 86 tahun.
Jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan bersebelahan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada jam 6.25 petang, 29 Mei, 2014. Al-Fatihah ......
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Siti Bainun Mohd Ali, seorang putera iaitu Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Berikutan dengan itu, Raja Dr Nazrin Shah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35, menggantikan Almarhum Sultan Azlan Shah. Istiadat Pelantikan Raja Dr Nazrin Shah sebagai Raja Pemerintah Perak yang baharu itu berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah pada jam 3.15 petang, 29 Mei, 2014.
..........................................................................................................................................................
BIOGRAFI ALMARHUM SULTAN AZLAN SHAH:
Sultan Azlan Shah Arif Dalam Bidang Kehakiman
Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah, dikenali sebagai seorang yang bijak dan arif selain merupakan satu-satunya raja yang pernah menyandang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.
Walaupun pernah memegang jawatan Ketua Hakim Negara dari 1982 hingga 1984, baginda adalah seorang raja yang penuh sifat belas kasihan, rendah hati dan mudah memaafkan kesalahan orang.
Diputerakan pada 19 April, 1928 di Kampung Manggis, Batu Gajah, Perak, Sultan Azlan Shah juga dikenali sebagai seorang yang mementingkan soal disiplin, kebersihan dan ketepatan masa.
Berpendidikan awal di Sekolah Kerajaan Inggeris Batu Gajah, yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf, dan menyambung pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom sebelum dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1953.
Sekembalinya ke tanah air, baginda memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 1954.
Baginda menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu setahun kemudian dan dilantik sebagai Majistret Kelas Pertama pada 1956.
Berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan undang-undang, baginda pernah bertugas sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Penasihat Undang-undang negeri, Timbalan Pendakwaraya, Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Pada 1965, baginda menjadi hakim termuda di negara Komanwel apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada usia 37 dan pada 1979 dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.
Sultan Azlan Shah berada di kemuncak bidang kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1982.
Baginda kemudian meletakkan jawatan pada 1984 setelah berkhidmat selama 30 tahun bagi menaiki takhta negeri Perak.
Sultan Azlan Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-34 selepas kemangkatan ayahanda saudaranya Sultan Idris Shah pada 3 Feb 1984.
Enam hari selepas itu, baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun, dan pada 26 April 1989, baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-Sembilan.
Baginda merupakan seorang ahli sukan yang aktif dan telah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan bola sepak, kriket, olahraga, hoki dan golf serta pernah mengetuai kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Montreal di Kanada pada 1976.
Sultan Azlan Shah juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa dan juga Presiden Persekutuan Hoki Asia.
Dalam bidang pendidikan pula, baginda merupakan Canselor Univeriti Malaya sejak 1986 dan telah menerima pelbagai anugerah kehormat daripada universiti dalam dan luar negara.
Antaranya ialah 'Honorary Bencher' dari Lincoln's Inn, doktor kehormat undang-undang dari University Nottingham serta 'Honorary Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh'.
Sumber: BERNAMA
Sultan Azlan Shah bergambar bersama keluarga semasa istiadat mengangkat sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34 pada 9 Disember 1985.
Belangsungkawa
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah:
- Almarhum baginda dilahirkan pada tahun 1928 di Batu Gajah, Perak
- Anak kepada Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah
- Yang di-Pertuan Agong Malaysia kesembilan
- 1 Julai 1983 Dewan Negara Perak memahkotakan Almarhum baginda sebagai Raja Muda Perak
- 3 Februari 1984 dimahsyurkan sebagai Sultan Perak ke-34
- 9 Disember 1985 ditabal sebagai Sultan Perak secara rasmi
Pendidikan
- Government English School, Batu Gajah (kini SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah)
- Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
- Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom pada tahun 1953
- 23 November 1954 sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln’s lnn
Kerjaya
- Memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
- Menyertai Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen
- Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang
- Penasihat Undang-Undang Negeri Johor
- Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu
- Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
- 1965 Almarhum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sekali gus menjadi hakim termuda dalam sejarah kehakiman Komanwel pada usia 37 tahun.
- 1973 Hakim Mahkamah Persekutuan
- 1979 Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya
- 12 November 1982 menjadi Ketua Hakim Negara kelima menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara
Sumbangan
- Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (4 Oktober 1971 hingga Februari 1984).
- Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 November 1974 hingga 31 Oktober 1976)
- Canselor Universiti Malaya sejak 8 Februari 1986 hingga Mei 2014
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979
- Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang pada 28 Jun 1980
- Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh University of Nottingham pada 11 Julai1986
- Dianugerah ‘Kerusi Kehormat’ oleh Lincoln’s lnn, London pada 1988
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, lndonesia pada 28 September 1990
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30 Oktober 1990
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Chulalongkon, Bangkok, Thailand pada 19 Disember 1990
- Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Physician of lreland pada 2 Oktober 1991
- Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada 1999
Sukan
- Almarhun baginda Sultan Azlan aktif dalam sukan hoki sejak zaman persekolahan di Batu Gajah dan Kuala Kangsar.
- Presiden Persekutuan Hoki Malaysia
- Presiden Hoki Asia
- Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa.
- Membina Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di lpoh pada 1983.
- Penaung Diraja bagi Persatuan Undang-undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Golf Diraja Perak, Kelab Polo lskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.
Sumber: BHarian [28052014]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan