30 Mei 2014

Sepuluh Pintu Beri Ruang Syaitan Menguasai Manusia



ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (Surah an-Nisa, ayat 120-121).

Ayat ini jelas menerangkan kepada manusia antara sikap jahat syaitan terhadap manusia iaitu membisik ke dalam hati kita angan-angan kosong seperti menyangka sudah memiliki pahala yang banyak menerusi amalan yang dilakukan lalu manusia pun berfikir ‘aku layak mendiami syurga’ tanpa perlu meningkatkan lagi amalan.

Punca mengapa manusia mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan ini ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.


Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada ketika kita sedar atau tidak, sebenarnya ia menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah menjadi raja di dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa juga perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan merayap menguasai tunjang di dalam badan manusia.

Pada ketika itu, syaitan berlumba-lumba untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati itu dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah.

Namun, beruntunglah manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu iaitu:

Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini mudah tersemai dan subur dalam diri manusia. Ia berpunca sikap ego manusia yang mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah. Ia seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak (benar).

Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan nikmat yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (Surah an-Nahl, ayat 23)

Keempat – sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah selalu menasihati sahabat menjauhkan diri daripada menjadi golongan keempat ini kerana ia dibenci Allah

Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu yang kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua, orang yang berilmu dan imam (pemimpin) yang adil.” (Riwayat Muslim).

Kelapan – melalui sifat ‘ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam agama yang menentang sifat malas. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.

Ke-10 - melalui sifat buruk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Sumber: BHarian

0 comments: