Guna BB1M beli buku akademik
Berkuat kuasa 1 Mei 2014, baki pembelian buku menerusi Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang bernilai RM250 tidak boleh dibelanjakan untuk membeli barangan lain selain daripada buku.
Dengan ini, kelonggaran untuk mahasiswa menggunakan 20 peratus daripada nilai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku, dimansuhkan berkuat kuasa 1 Mei 2014.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, garis panduan terbaharu itu turut menyebut penebusan BB1M hanya dibenarkan untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah yang berdasarkan keperluan institusi pengajian masing-masing.
Garis panduan BB1M yang diperkemas dan diperketatkan oleh Kementerian Pendidikan adalah bagi memastikan pemberiannya mencapai matlamat. Garis panduan itu juga dapat memudahkan pekedai buku dan mahasiswa serta penggunaan BB1M dengan sebaik-baiknya selaras dengan objektif insentif terbabit.
Hukuman
Garis panduan yang diperkemaskan itu turut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku. Mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.
Hal itu ekoran peraturan BB1M yang tidak boleh dipindah milik, ditukarkan dalam bentuk wang tunai dan dijual kepada pihak ketiga.
Ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada, iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M. Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini.
Kenyataan itu menyebut peruntukan undang-undang berkenaan turut terpakai kepada pemilik kedai buku memandangkan kementerian memandang serius terhadap isu penyalahgunaan dan penyelewengan BB1M yang terjadi sebelum ini.
Kementerian amat memandang serius sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkaitan perkara itu.
Tujuan BB1M
Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa tujuan pihaknya mengemas kini garis panduan BB1M tersebut bertujuan memastikan pemberian baucar itu mencapai matlamatnya.
Tujuan utama kerajaan memperkenalkan insentif BB1M adalah untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Budget
Sejak diperkenalkan pada 2012, lebih 3.9 juta mahasiswa pra-universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) warga Malaysia menerima manfaat menerusi pelaksanaan program itu dengan peruntukan RM890 juta.
Bagi tahun 2014, peruntukan sebanyak RM325 juta telah diluluskan kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa melalui Bajet 2014 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober 2013.
Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan tersebut boleh didapati melalui portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urusetia BB1M menerusi e-mel bb1m@moe.gov.my.
Sumber: Utusan [Artikel Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR], BERNAMA, BHarian [30042014]
1 comments:
bagus bagus patut dah buat lama dah :)
Catat Ulasan