Nuff Atas

01 Jun 2014

KLOBS 2014 ~ Warna-Warni Bonzai Dan Orkid



Bagi peminat orkid dan bonsai, Pameran Kuala Lumpur Orkid Bonsai (KLOBS) 2014 yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Botani Perdana, bermula Jumaat 23 Mei, 2014 dan yang akan berakhir pada 1 Jun, 2014 tentunya amat dinanti-nantikan.

Selain mampu men­dekatkan mereka dengan keindahan alam fauna, ia turut menggalakkan orang ramai mengunjungi taman awam untuk melakukan aktiviti sihat bersama keluarga.

Pameran kali kedua selepas tahun lalu itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat orkid dan bonsai menyaksikan kira-kira 2,000 spesies bonsai dan 800 orkid, tetapi turut menyertai pelbagai acara menarik yang diadakan di tapak seluas hampir 40 hektar itu.

Selain pameran pelbagai aktiviti menarik disusun penganjur, antaranya, Pertandingan Melukis dan Mewarna, Pertandingan Garden Hunt, Pertandingan Larian (Fun Run), Pertandingan Fotografi, Persembahan Hiburan dan Kebudayaan dan Perkampungan Kraftangan.

Sumber: Utusan


Lokasi Ideal Pengumpul Bonsai

DERETAN pokok-pokok bonsai yang dipamerkan pada Pameran Kuala Lumpur Orkid dan Bonsai 2014 (KLOBS 2014) di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur begitu memikat hati RahimYaso, 46.

Guru yang berasal dari Gua Musang, Kelantan ini sememangnya teruja untuk ke sana melihat kreativiti peminat pokok bonsai dari seluruh negara. Sebagai seorang peminat dan penggiat tanaman bonsai sejak 10 tahun lalu, KLOBS 2014 merupakan satu pameran yang wajib dikunjungi beliau.

Dengan membawa sebuah kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) jenama Nikon, Rahim mengambil gambar pokok-pokok bonsai yang menarik perhatiannya.

“Kebanyakan pokok-pokok yang menyertai pertandingan bonsai di KLOBS 2014 ini memberi inspirasi kepada saya. Secara tidak langsung, ia juga memberi idea kepada setiap peminat bonsai tempatan untuk mendekorasi pokok mereka,” ujarnya yang merupakan salah seorang penggiat bonsai kumpulan 'This Is Gua Musang'.

Rahim yang berkunjung bersama empat orang lagi rakannya dari daerah tersebut beranggapan bahawa Taman Botani Perdana merupakan lokasi ideal untuk mengumpulkan peminat bonsai.

Baginya, bonsai mempunyai elemen seni yang berbeza dengan tanaman lain. Kebanyakan peserta yang menyertai pertandingan bonsai KLOBS mempamerkan hasil terbaik mereka. Keunikan dan kecantikan sebatang pokok bonsai bergantung kepada batang, reka bentuk dan olahan ranting yang dilakukan oleh pemilik.

Pengetahuan

“Saya belajar menanam dan mengolah bonsai sejak lima tahun lalu. Tetapi masih tidak mendapat hasil seperti pokok-pokok yang dipamerkan di KLOBS 2014. Aneka pokok yang dipamerkan juga menggambarkan idea kreatif yang ditonjolkan oleh penggiat tanaman bonsai tempatan,” ujar Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Kegiatan Guru Gua Musang itu.

Selain itu, Rahim juga berpeluang bertemu dan bertukar-tukar pendapat dengan peminat bonsai tempatan.

KLOBS merupakan kesinambungan daripada Pameran Orkid dan Bonsai yang dianjurkan pada bulan Mac 2012. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan pameran berskala besar itu sekali lagi pada tahun 2014 ini.


KEUNIKAN bentuk dahan pokok bonsai cucur atap yang dipertandingkan dalam KLOBS 2014 mencuri tumpuan Lisa (kiri) dan Matt.

Antara spesies bonsai tempatan dan luar negara yang menyertai pertandingan ialah cucur atap, bebuas, jennifer, limau rawit, jeliti dan panjing.

Tidak hanya tertumpu kepada bonsai, pengunjung juga boleh menyaksikan keindahan warna-warni kira-kira 400 batang pokok orkid yang dipertandingkan dalam 13 kategori.

Seorang pelancong dari Manchester, England, Lisa Mathar,28, memberitahu, dia menggemari konsep pameran KLOBS 2014 kerana memaparkan sisi berbeza ibu negara.

“Sepanjang pengembaraan di Kuala Lumpur bersama rakan, Matt Hargreaveas, kami hanya menikmati pemandangan bangunan. Namun, kunjungan kami ke Taman Botani Perdana ternyata memberi satu perspektif berbeza lebih-lebih lagi dengan penganjuran pameran KLOBS 2014 ini.

“Bonsai yang dipamerkan juga mempunyai bentuk yang unik. Kami tidak banyak terdedah mengenai penanaman bonsai. Pengunjung dan peserta pertandingan bonsai juga banyak memberi maklumat mengenai tanaman itu kepada pelancong seperti kami,” ujarnya.

Tarikan

Selain peserta pertandingan bonsai dan orkid, beberapa agensi turut terlibat memeriahkan pameran tersebut. Antaranya ialah Persatuan Anggerik Selangor dan Wilayah Persekutan, Akademi Bonsai N Stone, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Pengunjung juga tidak perlu bimbang mengenai perihal pengangkutan untuk ke tapak Taman Botani Perdana. DBKL menyediakan pengangkutan trem, kereta bugi dan van untuk mengambil pengunjung dari kawasan parkir Taman Burung Kuala Lumpur, Masjid Negara serta persekitaran Taman Botani Perdana.

Kanopi Taman Botani Perdana yang berkonsepkan unsur alam semula jadi berteraskan alunan air dan teduhan rimbunan daun turut dibuka kepada pengunjung di KLOBS 2014. Bukan sekadar menjadi tempat berteduh, ia juga merupakan ikon baharu Taman Botani Perdana.


BUNGA orkid yang dipamerkan dijaga rapi agar sentiasa dalam keadaan segar untuk tatapan pengunjung.

Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi DBKL, Mustafa Mohd. Nor, memberitahu, Laman Perdana menjadi lokasi pertandingan dan pameran bonsai KLOBS 2014 dan ia merupakan sebuah kawasan yang paling berprestij di Taman Botani Perdana.

Jelasnya, konsep dan dekorasi dalam pertandingan bonsai menampilkan ciri-ciri segar yang berteraskan alam semula jadi.

Penyertaan

“Setiap pokok bonsai yang dipertandingkan diletakkan di atas keratan batang kayu tembusu dan mahogani. Dekorasi itu merupakan idea terbaharu dengan elemen malar hijau sekali gus menonjolkan dekorasi tanaman bonsai.

“Dalam tempoh 10 hari pameran, pengunjung dapat melihat pohon-pohon bonsai dan orkid yang berkualiti daripada penggiat kedua-dua tanaman itu,” ujarnya.

Penganjuran KLOBS 2014 merupakan salah satu strategi utama untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia melalui program 'We are host...' dan penganjuran acara-acara lain di ibu negara.

Sementara itu, Pengarah Kelab Bonsai Antarabangsa, Ng Ing Suan memberitahu, pertandingan dan pameran bonsai merupakan salah satu cara untuk mengajar masyarakat menilai kehidupan lebih sihat.

Jelasnya, KLOBS 2014 merupakan platform terbaik bagi penggiat dan peminat tanaman bonsai untuk mempamerkan hasil dekorasi mereka yang ternyata sukar untuk dihasilkan.

“Saya juga merupakan individu yang sering menganjurkan pertandingan bonsai di negara ini sejak 20 tahun lalu. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kaum Cina menyertai pertandingan bonsai. Namun, sejak 10 tahun lalu, bangsa Melayu juga mula menceburkan diri dalam kegiatan sihat ini.

“Berdasarkan pemerhatian saya, 40 peratus orang Melayu menyertai pertandingan bonsai yang melibatkan seramai 200 peserta. Selebihnya ialah kaum Cina. Purata penyertaan itu sama seperti di KLOBS 2014 ini. Ia merupakan satu perkembangan yang baik,” ujarnya.


KLOBS 2014 merupakan medan utama bagi peminat bonsai dan orkid tempatan.

Pertandingan memanjat pokok juga merupakan antara salah satu tarikan lain sepanjang pameran KLOBS 2014 anjuran Jabatan Landskap dan Rekreasi BDKL.

Melalui pertandingan itu, peserta akan memanjat pokok tembusu dan kedondong. Setiap peserta dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan seperti tali dan abah-abah. Pemenang dikira berdasarkan kepantasan masa peserta memanjat pokok sehingga ke puncak.

Menurut Penolong Pengarah Kanan bahagian hortikultur DBKL, Norazam Mohamed Nor, pihaknya menunjukkan demonstrasi kepada 30 orang peserta pertandingan memanjat pokok sebagai persediaan awal.

Jelasnya, pertandingan itu dianjurkan sempena memperkenalkan peralatan keselamatan yang digunakan oleh kontraktor pembersihan DBKL untuk memotong pokok-pokok di sekitar ibu negara.

Selain itu, pertandingan gubahan bunga, pertandingan memburu di taman, pertandingan memancing, acara larian, aktiviti sukan dan bazar merupakan antara tarikan lain kepada pengunjung di KLOBS.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sumber: Kosmo

1 comments:

zahrenn na berkata...

wah....cantik...huhu