31 Mei 2014

Isu DNA Babi Dalam Coklat Cadbury



Kewajipan Memakan Makanan Yang Halal.

PERSOALAN halal haram adalah perkara yang asas dalam Islam dan mencari yang halal itu adalah fardu bagi setiap Muslim, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan jangan mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata. (al-Baqarah: 168)

Justeru, timbullah persoalan iaitu apakah makanan yang terbaik atau mengapakah agama Islam mewajibkan umatnya supaya mencari yang halal atau apakah konsep halal dan haram menurut perspektif Islam?

Islam menegaskan bahawa tujuan pengambilan makanan bukan sahaja untuk kepentingan fisiologi tetapi apa yang lebih utama adalah bagi mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ini kerana makanan dan minuman halal adalah perintah Allah SWT yang bertujuan mengekalkan kesempurnaan kejadian manusia itu sendiri.

Sumber: Utusan


Kementerian Kesihatan sahkan dua produk coklat mengandungi DNA babi

Kementerian Kesihatan pada 24 Mei, 2014, mengesahkan keputusan analisis sampel dua produk coklat - Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk dan Coklat Susu dengan Buah Badam dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

Bagaimanapun, satu lagi sampel Coklat Susu - Cadbury Dairy Milk Chocolate dikesan tidak mengandungi porcine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan dilakukan ke atas tiga sampel coklat Cadbury berkenaan bagi tujuan pemantauan selepas timbul dakwaan dalam media sosial adanya DNA babi dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas dalam rangkaian media sosial, pada 23 Mei, 2014.

"Media sosial itu telah memaparkan keputusan analisis DNA khinzir (babi)(porcine) dikesan di dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk.

Dua sampel yang disahkan mengandungi DNA Khinzir itu babi ialah Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan satu lagi Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

"Tindakan berkenaan diambil mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang antara lain bertujuan melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya,” katanya.

Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, boleh mengemukakan kepada kementerian melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq

Berikutan dengan itu, Dr Noor Hisham berkata pihak pengeluar produk berkenaan, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta.

Sumber: BHarian

JAKIM gantung sijil halal dua produk coklat keluaran Cadbury

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 24 Mei, 2014 telah menggantung serta merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine).

DNA babi itu dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, tindakan itu diambil berikutan analisis yang dijalankan KKM dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca pencemaran.

"JAKIM ingin menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan yang ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Tambahnya, selepas sijil halal dikeluarkan, pemegang sijil adalah tertakluk kepada pemeriksaan berkala Jakim terhadap syarikat pengeluar produk.

Beliau berkata, Jakim telah menjalankan pemeriksaan berkala terhadap syarikat pengeluar coklat terbabit pada 20 Februari 2014 dan mendapati syarikat tersebut ketika itu mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

Sumber: BERNAMA, Kosmo, BHarian



Hukum produk Cadbury tercemar DNA babi 'halal dimakan' - Fatwa Majlis Kebangsaan

Hukum produk Cadbury yang disahkann halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu 'halal dimakan', demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.

Pada 29 Mei, 2014, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, ia termasuk dalam kategori keadaan 'Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

"Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai 'Umum al-Balwa'.

"Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.

DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.

Tidak Perlu Gusar Kesucian Tubuh

Abdul Shukor berkata, umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.

"Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan,'' katanya.

Beliau berkata, pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap pengguna.

Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang Islam.

``Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf di peringkat dunia,'' katanya.

Sementara itu, beliau berkata, isu pencemaran DNA babi sebenarnya telah kerap kali berlaku dan kes membabitkan produk Cadbury berkenaan bukanlah kali pertama.

Katanya, kesan daripada kejadian itu menyebabkan pengguna Islam meragui status halal produk makanan di pasaran sehingga menimbulkan keresahan serta menyebabkan kerugian besar kepada pengilang dan negara.

Abdul Shukor berkata, hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal.

Pengukuran Kontaminasi DNA Babi

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian saintifik selama setahun dengan menggunakan kaedah analisis berkredibiliti supaya hukum tepat dapat diputuskan berhubung isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal, katanya.

"Hasil kajian ini telah pun dibentangkan dan dipersetujui pada 3 hingga 5 Februari 2014 baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika berlaku melalui sentuhan secara fizikal.

Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku, katanya.

``Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal,'' katanya.

Abdul Shukor juga berkata, keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya,'' katanya.

Sumber: BERNAMA Utusan

Cadbury komited patuhi peruntukan sijil halal

Cadbury Malaysia kekal komited dalam mematuhi garis panduan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Pada 30 Mei, 2014, Ketua Hal Ehwal Korporatnya, Raja Zalina Raja Safran berkata, syarikat itu juga percaya semua produk coklatnya tidak mengandungi bahan berkaitan khinzir.

"Kami berpegang teguh pada sijil halal kami dan kami juga mempunyai standard pelabelan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Cadbury Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa sementara menunggu hasil analisis terhadap dua produk yang dikesan mengandungi DNA khinzir.

"Kami faham betapa pentingnya isu halal bagi pelanggan kami dan kepentingan kepercayaan berterusan terhadap produk kami. Semua produk kami kekal berstatus halal,” katanya.

Sumber: BERNAMA, Kosmo

Keputusan analisis coklat Jabatan Kimia diketahui Rabu

Keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel coklat Cadbury, yang didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam ujian makmal Kementerian Kesihatan, akan diketahui pada Rabu 4 Jun, 2014, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha pada 30 Mei, 2014.

"Kami (Jakim) perlu siasat secara keseluruhan dan teliti, bukan sahaja sampel coklat, tetapi juga seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat itu merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain di kilang itu.

"Ujian awal KKM (Kementerian Kesihatan) adalah berdasarkan persampelan di pasaran sahaja... kami (Jakim) perlu mengikut prosedur ketat iaitu sampel mesti diambil di kilang iaitu bermula daripada ia diproses untuk memastikan adakah DNA porcine (babi) itu datang dari kilang atau berlaku pencemaran di luar," katanya.

Beliau berkata makmal Jabatan Kimia diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk pengujian produk makanan diproses.

Beliau berkata makmal KKM pula diakreditasi untuk membuat ujian terhadap produk berasaskan daging serta ikan dan bukan makanan yang telah diproses.

"Ujian penemuan yang dibuat KKM itu juga tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menetapkan bahawa ujian Jabatan Kimia sahaja yang diterima, malah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, hanya keputusan Jabatan Kimia sahaja yang diiktiraf," katanya.

Sumber: BERNAMA, BHarian

Dua coklat Cadbury sah tiada DNA babi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2 Jun 2014 akhirnya mengesahkan tiada DNA babi dikesan dalam dua sampel coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang produk tenusu berkenaan.

Sebelum itu, pada 26 Mei 2014, JAKIM mengambil dua sampel produk terbabit iaitu coklat Dairy Milk dengan kacang hazel dan Dairy Milk dengan kacang badam untuk dianalisis Jabatan Kimia selepas ujian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati dua priduk itu mengandungi DNA babi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sampel yang dianalisis oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini sudah tercemar kerana ia tidak diambil terus dari kilang berkenaan.

Jamil Khir berkata, tiada sebarang hasrat kerajaan untuk melindungi syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd kerana ia adalah tanggungjawab JAKIM untuk meyakinkan umat Islam.

"Untuk tindakan susulan, kita akan buat pemantauan sekali lagi secara menyeluruh di kilang berkenaan supaya produk yang dikeluarkan benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia," katanya.

"Keputusan yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini berbeza kerana mungkin berlaku pencemaran semasa proses penghantaran dan penyimpanan produk itu atau makmal tiada akreditasi untuk mengesan DNA babi dengan tepat," katanya.

Sumber: BHarian, Kosmo [02062014]

Siasat pegawai sebar laporan

Makmal diakui tiada akreditasi tentukan status halal produk

Isu status halal coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond selesai apabila Kementerian Kesihatan mengakui kesilapan seorang pegawainya menyebarkan hasil ujian yang belum disahkan.

Kementerian itu juga mengakui semua 15 makmalnya tiada akreditasi menentukan status halal produk makanan, sebaliknya terhad kepada kandungan bahan makanan seperti ikan dan daging, bebas daripada pencemaran kimia dan racun.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata hasil ujian dua sampel coklat yang dikesan mempunyai DNA babi pada Februari 2014, disebarkan seorang pegawai kementerian dalam laman sosial sebelum ujian makmal kedua sempat dijalankan untuk pengesahan.

“Laporan awal yang dibocorkan tidak tepat dan penyebarannya mengakibatkan kekecohan umat Islam di negara ini,” katanya.

“Kementerian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), iaitu jika sesuatu produk dikesan tercemar DNA babi, perlu rujuk kepada JAKIM. Mulai sekarang, keputusan berhubung status halal produk makanan ditentukan oleh JAKIM bagi mengelak kekeliruan,” katanya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha yang menegaskan, ujian oleh Jabatan Kimia tidak menemui sebarang DNA babi dalam sampel produk diambil dari kilang pengeluar coklat itu di Shah Alam, sekali gus memberi jaminan dua produk itu halal untuk dimakan oleh umat Islam tanpa sebarang keraguan.

Periksa ikut prosedur 

“Pihak kami memeriksa produk terbabit mengikut prosedur tanpa prejudis bagi memastikan umat Islam mendapat produk yang benar-benar halal. Walaupun berbeza dengan hasil ujian Kementerian Kesihatan, keputusan halal haram sesuatu produk di negara ini hanya ditentukan oleh JAKIM.

“Apabila JAKIM menggantung pengesahan halal dua produk berkenaan, bukan bermakna kita mengesahkan ia haram, sebaliknya untuk ujian. JAKIM ambil sampel produk dari kilang, ambil bahan digunakan untuk menghasilkannya bagi memastikan halal atau sebaliknya. Kita tak ambil produk dari luar yang mungkin tercemar atau produk tiruan,” katanya.

Sumber: BHarian [4/6/2014]

Ujian makmal Jakim penuhi piawaian antarabangsa

Piawaian antarabangsa ISO 17025 menetapkan proses ujian terhadap asid deoksiribonukliek (DNA) hanya boleh dilakukan di dalam makmal khas yang diakreditasikan oleh agensi-agensi seperti Standard Malaysia atau SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Pakar Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Zainudin Arifin berkata, mahkamah juga hanya menerima hasil ujian DNA yang dilakukan di makmal yang mendapat akreditasi seumpama itu untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam sebarang kes.

Dalam hubungan ini, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menggunakan khidmat makmal di Jabatan Kimia Malaysia yang mempunyai piawai ISO 17025 bagi melakukan ujian DNA ke atas dua jenis coklat yang menimbulkan konflik ekoran status halal iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

"Ujian DNA hanya boleh dilakukan didalam makmal khas yang mempunyai bilik bersih dan udaranya ditapis bagi menghindari pencemaran selain hanya pegawai yang berkelayakan dibenarkan menjalani ujian tersebut.

"Namun bagi sampel yang tidak disimpan dengan baik atau didalam keadaan lembab, sampel boleh dicemari oleh mikroorganisme dan ini menyebabkan keputusan ujian tidak boleh dibuat dengan sempurna," katanya.

Sumber: Utusan [05062014]

0 comments: