27 Jun 2014

Peranan Waqaf Dalam Pembangunan Masyarakat



Masyarakat Islam secara umumnya lebih menghayati zakat dan sedekah. Sementara zakat adalah ibadat wajib, sedekah pula, ibadat sunat.

Pun apabila disebut waqaf, persepsi lebih kepada waqaf tanah semata-mata untuk pembinaan surau atau tanah perkuburan.

Hakikatnya, waqaf mempunyai peranan yang lebih penting iaitu sebagai mekanisme atau instrumen untuk menyusun dan memajukan sesebuah masyarakat.

Pandangan ini dikongsi Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan yang menekankan bahawa waqaf, walaupun satu ibadat sunat tetapi perlu dibudayakan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya.


"Usaha perlu ditingkatkan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat Islam negara ini terutama supaya ibadat waqaf ini boleh menjadi satu budaya.

"Langkah ini bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira agama tetapi kalau digemblengkan secara teratur, boleh menyokong usaha pembangunan kerajaan," katanya.

ERTI WAQAF

Secara mudah, waqaf bermaksud sesuatu atau harta yang diberi oleh individu yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

Walaupun hanya ibadat sunat tetapi pahalanya adalah besar dan berterusan walaupun apabila pemberi waqafnya sudah meninggal dunia.

Dalam hal ini, Nik Mustapha memetik sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang sememangnya amat diketahui oleh orang Islam iaitu "apabila matinya anak Adam, kesemua amalannya berakhir kecuali tiga iaitu sedekah (amal jariah), ilmu yang boleh dimanfaatkan manusia dan doa anak yang soleh."

Beliau menjelaskan, waqaf telah diamalkan sejak zaman Rasulullah dan contoh awal ialah pembinaan Masjid Quba dan Masjid Nabawi di Madinah.

Baginda mahu setiap orang melibatkan diri dalam pembinaan masjid itu sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pengurusan dan pentadbiran masyarakat.

Nik Mustapha turut memberi dua contoh lain iaitu Universiti Al-Azhar di Mesir dan universiti tersohor dunia, Oxford University di England yang dibangunkan melalui pendekatan waqaf.

HARTA WAQAF

Di Malaysia, harta yang diwakafkan disalur kepada agensi pengamanah yang mentadbir harta waqaf iaitu Majlis Agama dan Adat Istiadat Negeri. Contohnya di Selangor, agensi pengamanah ialah Majlis Agama Islam Selangor.

Menurut Nik Mustapha, harta yang hendak diwaqaf terbahagi kepada dua iaitu waqaf am dan waqaf khas.

Waqaf am ialah harta yang diwaqafkan untuk agensi pengamanah membangunkannya bagi kegunaan umat Islam setempat.

Waqaf khas pula apabila pihak yang mahu membuat waqaf menentukan harta mereka untuk suatu projek khusus.

Antaranya untuk pembinaan tanah perkuburan, masjid, surau, sekolah, universiti, pusat latihan, rumah tumpangan untuk orang miskin atau untuk pekerja wanita di samping asrama untuk pelajar.

GALAK PENGLIBATAN

Amalan waqaf secara tidak langsung bukan sahaja membantu golongan yang kurang bernasib tetapi juga mempunyai unsur mendidik.

Setiap individu Islam mempunyai tanggungjawab sosial untuk sama-sama membangun masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.

Mereka yang berada dan berharta terutamanya dapat mengikis sifat kedekut dan membantu menyumbang kepada golongan yang memerlukan di samping melunaskan kewajipan membayar zakat.

Seperti yang dijelaskan Nik Mustapha, setiap ahli masyarakat perlu melibatkan diri dalam pembangunan ekonomi dan tidak hanya mengharapkan kerajaan semata-mata.

"Kesedaran ini bukan terhad kepada sektor awam dan sektor peniaga tetapi orang perseorangan atau institusi yang mempunyai kemampuan.

"Tidak kisah berapa banyak sumbangan. Tak ada paksaan. Ikut kemampuan. Yang penting kita hendak bina semangat sedia berkorban di samping memupuk budaya muafakat dan kerjasama. Semangat ini perlu difahami untuk memudahkannya menjadi budaya dalam kehidupan kita.

"Kerjasama seperti ini adalah asas kestabilan dan kemantapan ekonomi negara serta pembangunan ekonomi secara berterusan," kata Nik Mustapha yang telah banyak kali membentangkan kertas kerja mengenai waqaf.

KEMPEN PENERANGAN

Meskipun pada hari ini konsep waqaf sudah dikembangkan bukan sahaja dalam bentuk tanah, wang tunai dan saham namun ia masih belum meluas.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Ikim ini menyarankan kempen yang lebih agresif diperlukan untuk memberi penerangan dan menyakinkan lebih ramai orang tampil melaksanakan ibadah ini.

Ada pihak mahu berwaqaf tetapi mungkin mengambil jalan melakukan sendiri projek waqaf secara perseorangan atau kelompok kerana kurang yakin dengan organisasi yang ada.

"Mereka boleh buat begitu tetapi masalahnya kalau buat sendiri, ia tak boleh berkembang cepat.

"Untuk itu, perlu ada kempen penerangan, bina kefahaman dan institusi waqaf tunjukkan ketelusan, melaksanakan fungsi mereka dengan betul dan tepat.

"Kita mahu seluruh masyarakat dibudayakan dengan waqaf. Menerusi budaya waqaf ini banyak projek berasaskan masyarakat boleh dibuat tanpa menunggu bantuan kerajaan. Kerajaan ada hadnya", katanya.

URUSAN PENTADBIRAN

Dalam hal ini, Nik Mustapha turut menyentuh soal pentadbiran harta waqaf yang dianggapnya perlu dimantapkan lagi.

Menurut beliau, kajian menunjukkan banyak harta waqaf mempunyai potensi untuk dibangunkan tetapi sehingga kini masih belum dapat dimajukan.

Beliau memberi contoh tanah yang diwaqafkan yang mungkin bersaiz kecil dan terletak di lokasi yang berjauhan.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan supaya tanah waqaf itu dikumpul di bawah satu bank tanah dengan maklumat terperinci mengenainya.

"Daripada tanah terbiar dan pewaqaf tidak dapat apa-apa, tanah yang kecil dijual dan wang yang diperoleh digunakan untuk membeli tanah yang lebih besar.

"Dapatkan khidmat pakar kalau tak tahu apa nak buat," jelasnya, sambil menambah perlunya harta waqaf diurus secara profesional, komersial dan berkesan.

ORANG YANG LAYAK

Bagi beliau, untuk membangunkan institusi waqaf, ia memerlukan juga orang yang berkelayakan, berpengalaman dan kebolehpercayaan (kredibiliti) tanpa ada campur tangan mana-mana pihak.

Pada zaman Rasululllah pun, kata beliau, Nabi melantik orang berasaskan meritokrasi. Baginda hanya melantik orang yang bijak, sesuai dengan keperluan jawatan.

Contoh, baginda melantik Khalid al-Walid sebagai panglima perang, meskipun baru memeluk agama Islam, kerana beliau bijak dalam strategi perang.

"Ini perkara asas untuk sesebuah organisasi. Kita memerlukan orang yang mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk mengangkat institusi waqaf ke mercu kegemilangan.

"Saya bercakap daripada hati kecil saya. Saya tengok kehebatan Islam dan bagi saya, kita perlu jujur dan ikhlas dengan agama.

"Jika semua pihak bersikap seperti ini dan mempunyai semangat untuk membudayakan waqaf, sudah pasti seluruh masyarakat dapat menyokong usaha kerajaan dalam pembinaan negara," tegas Nik Mustapha.

Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian

0 comments: