Nuff Atas

16 Jun 2014

PT3 Ganti PMR Mulai 2014



Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac, 2014 telah mengumumkan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun 2014 ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan PT3 merupakan sebahagian langkah penambahbaikan yang dilakukan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, berikutan itu, peperiksaan berpusat untuk pelajar tingkatan 3 di peringkat sekolah tidak lagi dijalankan.

"PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk sekolah menengah teknik (SMT) dan kolej vokasional.


"Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," katanya.

Muhyiddin menambah, PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis serta ujian lisan.

Menurut beliau, mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan bahasa-bahasa lain seperti Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.

"Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen serta panduan peraturan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

"LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum laporan dikeluarkan," jelasnya.

Muhyiddin memberitahu, pihak sekolah seterusnya akan mengeluarkan slip keputusan PT3 bagi setiap pelajar dan tidak mengeluarkan sijil seperti yang dilaksanakan menerusi PMR sebelum ini.

Sumber: Utusan

Ujian PT3 ganti PMR bermula 1 Julai, 2014

Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula 1 Julai 2014.

Pada 14 Jun, 2014, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian akan dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi bermula 1 hingga 18 Julai 2014.

Menurutnya, ujian bertulis bagi 11 mata pelajaran lain pula akan diadakan pada 12 hingga 17 Oktober 2014.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, ujian lisan (mendengar dan bertutur) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dijalankan dalam tempoh 6 hingga 29 Ogos 2014.

“Kita sudah buat keputusan bahawa PMR tidak diteruskan bermula tahun 2014 ini dan dalam tempoh beberapa minggu lagi akan diadakan ujian menggantikan peperiksaan awam berpusat iaitu PT3 bertujuan melihat pencapaian prestasi pelajar mengikut penilaian band 1 (paling lemah) hingga band 6 (paling baik).

“Dengan pentaksiran ini kita tahu bagaimana pencapaian pelajar-pelajar bukan di akhir tahun tetapi di peringkat awal tahun lagi dan guru akan mengetahui kekuatan dan kelemahan pelajar dan mereka yang mundur dapat kita baiki sejak awal dan apabila di hujung tahun mereka akan lebih cemerlang,’’ katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta semua pihak termasuk ibu bapa untuk memberi peluang kepada pelaksanaan sistem penarafan baharu itu selaras dengan perkembangan sistem pendidikan peringkat global yang menuntut pelajar berfikir aras tinggi iaitu bukan semata-mata menghafal.

Menurutnya, walaupun corak penilaian agak berbeza, beliau percaya sistem berkenaan mampu diadaptasi oleh para pelajar dan guru sekali gus semua pihak dapat menerima kebaikan sistem tersebut apabila tahap pencapaian pelajar akan dinilai secara lebih telus.

“Saya minta ibu bapa menerima usaha sebegini, ibu bapa boleh datang ke sekolah pada bila-bila masa untuk melihat prestasi pentaksiran yang dibuat lebih telus,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, seramai 63,000 guru tingkatan tiga telah pun diberi latihan sewajarnya dan pihak sekolah akan diberi bantuan daripada Lembaga Peperiksaan yang akan menyediakan ‘tabung soalan’ untuk dipilih oleh guru sekolah bagi menguji kecekapan pelajar.

Muhyiddin berkata, pihak lembaga seterusnya akan mengumpul maklumat serta membuat analisis pencapaian pelajar secara keseluruhan dan perkara itu akan dijadikan penanda aras baharu penilaian tingkatan tiga.

“Sesetengah pihak juga ada menyatakan apabila penilaian di buat di sekolah maka berlaku ketidakadilan kerana pihak sekolah akan memberi penilaian tinggi walaupun pelajar mereka tidak cemerlang, namun perkara itu akan diatasi dengan bentuk penilaian dibuat oleh pemeriksa daripada sekolah lain supaya keputusannya selaras.

“Sijil yang akan dikeluarkan pula mengikut format baharu iaitu dengan diletakkan gred band kerana peperiksaan dibuat di sekolah dan tidak lagi secara berpusat,’’ katanya.

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
Sumber: Utusan

PT3: Penerangan berterusan pastikan semua pihak faham

Kementerian Pendidikan akan memastikan semua pihak memahami pelaksanaan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi mengelakkan salah faham terhadap sistem pentaksiran baharu itu.

Pada 18 Jun, 2014, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi tujuan itu kerajaan antaranya telah mengeluarkan surat pekeliling Lembaga Pe­periksaan berkaitan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PT3.

Katanya, kedua-dua surat pekeliling itu turut dimuat naik dalam portal rasmi Lembaga Peperiksaan dan diedarkan ke semua sekolah menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Bagi menjelaskan mengenai PT3 ini, surat pekeliling mengandungi tiga perkara iaitu takwim PT3 2014, jadual kerja PT3 2014 dan peraturan pentadbiran PT3 2014," katanya.

Menurut Idris, pelaksanaan program Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara juga merupakan platform kepada kementerian itu menyebarluaskan maklumat mengenai PBS dan PT3.

Sumber: Utusan

1 comments:

Harith Iskandar berkata...

nampak mcm bagus ttp sy harap anak2 kita tidak terus menjadi mangsa kepada beberapa siri ujian dan uji kaji terhadap sistem pendidikan lagi selepas ini