28 Julai 2014
Kerja Sebagai Ladang Pahala
Bermula dengan bacaan al-Fatihah dan diiringi alunan zikir membuatkan jiwa pesakit berasa tenang. Pengalaman ini dirasai seorang guru, Nurul Qalbi Idris tatkala menjalani pembedahan lasik di Klinik Prof. Muhaya.
Setelah lebih 20 tahun menjadi Pakar Perunding Mata, Profesor Dr. Muhaya Mohamad mengakui, masih ramai tidak menyedari pemeriksaan mata yang komprehensif sama pentingnya dengan pemeriksaan kesihatan umum yang lain.
Ini merupakan langkah awal untuk mengesan penyakit mata yang dihidapi pesakit supaya rawatan awal dapat diberikan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, tugas doktor bukan hanya merawat pesakit tetapi juga berperanan untuk memberi semangat serta inspirasi kepada pesakit, dan sebagai doktor Muslim perlu memiliki kebersihan rohani sebelum mampu merawat pesakit.
Setiap orang yang diuji dengan pelbagai penyakit perlu mempunyai sikap reda, tawakal dan ikhlas. Jika pakej ini dapat dipenuhi, setiap cabaran seperti pembedahan dapat dilaksana dengan sempurna.
"Saya menjadi doktor bukan hanya merawat pesakit tetapi dalam masa yang sama memberi mesej, inspirasi dan motivasi kepada masyarakat. Lantaran prinsip itulah saya mahu pesakit saya menjaga kesihatan dari segi fizikal dan membina kerohanian," katanya yang ditemui di Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya, Kajang, Selangor.
Beliau yang juga wanita Melayu pertama menjadi Pengerusi Persatuan Doktor Mata Malaysia, mempunyai prinsip terpuji. Bagi Dr. Muhaya, doktor Muslim perlu memiliki kebersihan rohani sebelum mampu merawat pesakit. Tidak meninggalkan suruhan Allah dan ikhlas membantu insan memerlukan, resipi terbaik bergelar doktor.
Katanya, sekiranya seorang itu bercita-cita menjadi doktor semata-mata mengejar glamor dan wang ringgit, dia sebenarnya tidak sempurna, kerana doktor itu sendiri berperanan membantu dan tidak memikirkan kesenangan mahupun keuntungan diri.
"Sebenarnya menjadi doktor paling mudah untuk kita mendapat pahala kerana menerusinya kita lebih mudah berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada pesakit. Sepanjang pengalaman saya sebagai doktor, selalunya saya akan menyampaikan ingatan dan pesanan kepada pesakit, tidak sekadar merawat semata-mata.
"Saya ada didatangi pesakit yang terlalu sedih kehilangan penglihatan, tetapi selalu saya tekankan, bahawa insan berkenaan perlu bersyukur kerana hilang penglihatan bermakna dosa daripada segi nafsu dan keinginan dunia akan berkurangan," katanya.
Lantaran prinsip itulah maka Dr. Muhaya cukup disayangi di Pusat Perubatan Prince Court. Hasil galakan keluarga dan pesakitnya, maka beliau mengambil keputusan membina pusat kesihatan mata sendiri.
Tidak terhenti di situ, ramai pesakitnya yang tetap mencari dirinya dan inginkan rawatan daripadanya kerana prinsip cantiknya itu.
"Tidak dinafikan saya mempunyai pesakit yang ramai, kalau nak diikutkan, mesti jururawat yang bertugas dengan saya mengeluh kepenatan, tetapi saya selalu ingatkan, kalau lagi banyak kita membantu orang lain, lagi banyak kita mendapat pahala.
Saya juga terapkan rawatan secara holistik. Misalnya sebelum pembedahan dilakukan, jika perlu pesakit mengerjakan solat dahulu. Saya mahu mereka tersenyum selepas keluar dari bilik pembedahan. Selain teknologi canggih, terapi ini sangat penting membantu kejayaan pembedahan," katanya.
Mengimbas kembali kenangan lalu, beliau akui cita-cita menjadi doktor berputik apabila ayahnya membawa beliau melawat Universiti Malaya ketika berumur 10 tahun. Mengingat kata ayah, menjadi doktor saja tidak cukup kerana seseorang Muslim itu perlu menggunakan pendekatan holistik dan menerapkan nilai keislaman dalam rawatan.
Solat
Istimewa tentang Dr. Muhaya, beliau amat menitikberatkan aspek agama yang mana selalu mengingatkan pekerjanya supaya tidak meninggalkan solat lima waktu, malah itulah kriteria utama sekiranya ingin bekerja dengannya.
Bagi dirinya, sama ada anda seorang pekerja atau majikan, sekiranya amanah Allah tidak dilakukan dengan jujur dan amanah, bagaimana pula dengan amanah kepada diri sendiri, majikan atau bagaimana apabila bergelar bos?
"Orang yang tidak meninggalkan solat dan selalu meminta pertolongan daripada Allah, nyata banyak kemudahannya. Saya pernah berhadapan dengan pesakit muda yang selesai menjalani rawatan, mengikut kaedah biasa mampu sembuh dalam seminggu, tetapi pesakit itu tidak sembuh juga walaupun sudah masuk hari ke-10. Saya terus bertanya, adakah anda mengerjakan solat? Dan seperti dijangka jawapannya tidak.
"Begitu juga sekiranya saya melakukan pembedahan terhadap orang yang banyak beramal kepada Allah, kerja pembedahan bagaikan dibantu apabila ia berjalan dengan pantas dan tanpa sebarang masalah. Begitulah besarnya nikmat sekiranya kita beramal ibadat. Saya percaya, kalau kita selalu menolong orang, Allah juga akan sentiasa membantu kita," katanya.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin <3
Jemput datang komen ya :)
http://mynameishafizah.blogspot.com/2014/07/selamat-hari-raya-aidilfitri-2014.html
Catat Ulasan