30 Julai 2014

Marah Si Pembuli Jalan Raya Bawa Padah



ELAK pertengkaran dan pastikan anda tidak menjadi 'road bully' jika terlibat dengan kemalangan jalan raya untuk mengelak perlakuan amarah anda dirakam serta disebarkan dalam media sosial, sekali gus menjadi viral.

Kejadian 'road bully' atau pembuli jalan raya atau samseng jalan raya bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia. Sejak 1995, ia telah mula diperkatakan dan turut mendapat perhatian dalam kalangan wakil-wakil rakyat sehingga diperdebatkan dalam sidang Parlimen.

Polis Kuala Lumpur pada 1996 pernah mengemukakan kertas cadangan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Rahim Noor agar tindakan tegas dikenakan termasuk membatal atau menarik balik lesen pemandu yang bersalah dalam gejala samseng jalan raya.


Ini kerana golongan berkenaan lazimnya mengeluarkan senjata seperti pisau, kayu hoki, kayu besbol, kayu golf dan besi pengunci stereng kereta sebagai senjata, dan mereka tidak teragak-agak bertindak ganas jika tidak berpuas hati dengan pengguna kenderaan lain.

Kejadian terbaharu di Kuantan melibatkan seorang wanita muda yang mengamuk menggunakan besi pengunci stereng setelah kereta Peugeot 208 yang baharu dibelinya sebulan lalu dilanggar oleh seorang warga emas lelaki hanyalah picisan daripada 1,001 kisah pembuli jalan raya di negara ini.

Golongan yang tidak pernah pupus ini ternyata tidak mampu mengawal amarah dan bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan rasional perbuatan yang dilakukan walaupun kemalangan yang berlaku hanya melibatkan kerosakan kecil.

Tanpa mereka sedari, natijah yang terpaksa ditanggung akibat perlakuan 'kurang siuman' seketika itu lebih besar kesannya daripada kerosakan kenderaan yang mereka alami kerana negara ini mempunyai undang-undang yang tidak pernah melepaskan sesiapa sahaja yang gemar mengambil tindakan sendiri.

Perkara itu juga terpaksa ditanggung oleh Kiki atau nama sebenarnya, Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30, apabila dia telah dikenakan denda RM5,000 dan diperintah melakukan khidmat sosial selama 240 jam dalam tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan.

Dia terlebih dahulu telahpun menerima hukuman di 'mahkamah awam' apabila dilemparkan dengan pelbagai cacian dan kutukan setelah video sikap biadapnya terhadap lelaki tua terbabit yang secara tidak sengaja melanggar keretanya tersebar di media sosial sehingga turut mendapat perhatian KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Walaupun dia telah meminta maaf dan warga emas terbabit juga telah memaafkannya, namun segalanya telah terlambat, ibarat 'nasi telah menjadi bubur', Kiki terpaksa menanggung akibat daripada perbuatannya itu.

Sebelum ini, beberapa kes pembuli jalan raya turut mendapat liputan media massa dengan ada di antara mangsa di dalam kes tersebut bukan sahaja mengalami kecacatan kekal, malah ada yang maut. Berikut paparan kes-kes berkenaan yang dilaporkan berlaku di dalam dan di luar negara:

MALAYSIA

* 30 September 2013 - Pemandu teksi warga emas, Hiew Chen Guang, 66, mati setelah koma selama seminggu ekoran dibelasah teruk oleh seorang samseng jalan raya di Jalan Klang Lama selepas dikatakan terlanggar seorang penunggang motosikal di hadapan keretanya.

* 29 Jun 2012 - Hanya kerana membunyikan hon ke arah sebuah kereta yang menghalang laluan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, seorang nenek, Yap Kim Fatt, 55, ditumbuk bertubi-tubi oleh pemandu kenderaan terbabit.

* 26 Januari 2005 - Pembantu jurutera komputer, Mohd. Nazri Ismail, 28, maut setelah bertarung nyawa hampir 17 jam di Hospital Kuala Lumpur, dipercayai akibat dipukul dengan objek keras oleh tiga samseng jalan raya setelah dikatakan kenderaannya terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan kereta suspek di Jalan Kewajipan, Subang Jaya, awal pagi, sehari sebelum itu.

* 22 November 2004 - Seorang anak tauke kedai ubat, Teo Kai Siang, 22, mati ditikam seorang lelaki selepas cuba mendapatkan penjelasan kenapa kenderaannya dihimpit dan dilanggar di kilometer 20 Jalan Johor Bahru-Pontian.

* 6 Julai 2004 - Seorang pemandu kereta mengugut seorang pengguna jalan raya dengan parang selepas mangsa enggan memberikan laluan di persimpangan lampu isyarat di Serdang, Selangor.

* 28 April 2004 - Seorang wanita, Young Chew Ha, 61, maut manakala anaknya, Chew Saw Bee, 26, parah selepas kereta mereka terbabas lalu terhumban ke dalam Sungai Kapar di Klang dipercayai ketika melarikan diri daripada samseng jalan raya.

* 15 Oktober 2003 - Seorang lelaki, Selva Kumar Alagesu, 27, diserang empat lelaki bersenjatakan parang selepas berlaku perlanggaran kecil di Jalan Bukit, Kajang. Mangsa dikatakan hilang dipercayai dibunuh dengan mayatnya tidak dijumpai.

* 26 September 2003 - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) nyaris maut apabila seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya menikam lehernya dengan pisau di Seksyen 14, Shah Alam.

* 24 Januari 1995 - Pasangan kelamin dari Singapura, Mohd. Rafi Mohd. Ibrahim, hilang mata kanan akibat dipukul, manakala isterinya, Khatijah Idoo yang ketika itu hamil empat minggu ditolak kasar oleh seorang pemandu bas ekspres serta pembantunya kerana berang apabila Mohd. Rafi memberi isyarat supaya memandu lebih berhati-hati.

BRUNEI

* 19 Mei 2014 - Kerana marah kereta dipintas, seorang lelaki tempatan yang bertindak ganas, dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada tarikh berkenaan. Tertuduh, Mohammad Hassanalhamizan Mohd. Ibrahim, 22, dikatakan merempuh kereta mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kerosakan teruk di Jalan Jerudong pada 1 September 2011.

AMERIKA SYARIKAT

* 5 Disember 2005 - Dua waran dikeluarkan kepada bekas juara gusti dunia 16 kali, Ric Flair atau nama sebenar Richard Morgan Fliehr, 56, atas kesalahan ringan menyerang dan merosakkan harta peribadi seorang lelaki selepas keretanya kemalangan di Jalan I-485, Charlotte, North Carolina, pada 30 November 2005. Flair atau gelarannya 'The Dirtiest Player In The Game' dituduh melakukan jenayah itu setelah geram dengan sikap lelaki terbabit yang melengah-lengahkan pergerakan keretanya di jalan raya yang penuh sesak ketika itu.

Oleh RAJMAH HASAN
Sumber: Utusan

0 comments: