16 Julai 2014
Pemain Muslim Piala Dunia 2014 Berpuasa Ketika Beraksi
PIALA DUNIA 2014 yang telah berlangsung di Brazil merupakan Piala Dunia yang kedua diadakan dalam bulan Ramadan sepanjang 20 kali penganjuran pertandingan bola sepak paling berprestij itu. Piala Dunia 2014 bermula 29 Jun 2014 lalu iaitu 16 hari sebelum Ramadan.
Bagi pemain beragama Islam, beraksi selama 90 minit di atas padang pada bulan puasa bukanlah mudah. Di sebalik harapan rakyat negara masing-masing yang memerlukan mereka mengerah segala kudrat, mereka pula dituntut untuk tidak makan dan minum sejak terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Lima negara yang mempunyai majoriti pemain beragama Islam ialah Iran, Algeria, Bosnia, Jerman serta Perancis turut membariskan bintang bola sepak Muslim.
Antaranya, Mesut Ozil dan Sami Khedira yang bermain untuk Jerman; Karim Benzema (Perancis); dan Yaya Toure (Ivory Coast).
Melihatkan pertembungan bulan Ramadan dan Piala Dunia 2014, ada pemain yang meminta pengecualian berpuasa, namun bagi yang cekal, mereka tetap berusaha menyempurnakan ibadah ini.
PASUKAN Piala Dunia Algeria mempunyai majoriti pemain beragama Islam dan mereka memilih untuk tidak menangguhkan puasa seperti yang dilakukan pemain Islam dari negara lain.
Tidak berpuasa
Bagi pemain Jerman, Mesut Ozil, demi kesihatan dan kecergasannya, dia mengambil keputusan untuk tidak berpuasa sepanjang Piala Dunia 2014 ini.
Bagaimanapun, dalam setiap kejohanan yang disertai, Ozil akan bermula dengan memanjatkan doa. Dia juga rajin membaca al-Quran.
Malah, ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Ozil mengaku kerap membaca al-Quran setiap kali hendak turun bertanding di padang.
Menurutnya, tindakan itu membantunya untuk lebih fokus semasa beraksi. Begitupun, di Brazil, Ozil mahu dikecualikan daripada berpuasa.
"Saya tidak dapat berpuasa kerana bekerja. Saya akan menunaikannya apabila tidak ada perlawanan.
"Kalau dalam perlawanan dan saya perlu bermain, sangat sukar untuk menunaikannya dengan sempurna memandangkan saya harus makan dan minum bagi mengekalkan tenaga.
"Saya perlu pastikan cukup stamina dan kecergasan," kata pemain berketurunan Turki itu.
Ujarnya, dia pernah cuba berpuasa semasa beraksi pada satu kejohanan peringkat junior tetapi dia nyaris pengsan di padang.
Rakan sepasukan Ozil, Sami Khedira, turut tidak berpuasa disebabkan tuntutan kerja sama seperti Ozil.
"Seorang Muslim seharusnya berpuasa selama 30 hari sejak matahari terbit hingga terbenam. Tetapi saya seorang atlet yang kompetitif, saya memerlukan tenaga yang tidak mungkin saya miliki tanpa makanan," ujar Khedira.
Pemain penyerang skuad Perancis, Karim Benzema pula sentiasa diberi pilihan oleh pengurusan pasukannya sama ada di kelabnya, Real Madrid atau negaranya untuk berpuasa atau tidak.
PEMAIN perlu minum banyak air bagi menggantikan air yang hilang semasa bermain.
Jika dia berpuasa, doktor pasukannya akan menyediakan program pemakanan khas untuk memastikan Benzema kekal cergas dan tidak mengalami hidrasi.
Sementara itu, seorang pemain Ivory Coast, Yaya Toure sewaktu ditemui bual akhbar Kanada, The National, tanpa teragak-agak memberitahu, dia tidak boleh berpuasa.
"Puasa dalam keadaan cuaca panas begini? Saya mungkin mati," katanya.
Seorang lagi yang tidak berpuasa ialah pemain pertahanan Perancis, Bacary Sagna.
Sagna menegaskan bahawa Islam memberi kelonggaran kepada umatnya untuk tidak berpuasa dalam keadaan tertentu.
"Saya tidak berpuasa tetapi saya menghormati mereka yang menunaikan ibadat ini," kata pemain yang berasal dari Senegal ini.
Walaupun terdapat beberapa pemain yang memilih untuk tidak berpuasa pada Piala Dunia ini, sesetengah pemain beragama Islam lain nekad untuk terus berpuasa, antaranya pemain Ivory Coast, Kolo Toure.
Ujar Toure, lima hari pertama Ramadan merupakan cabaran buat dirinya tetapi selepas tempoh itu, tubuh akan mulai terbiasa dengan keadaan itu.
"Anda akan berasa lebih aktif apabila tibanya Ramadan.
"Apa yang penting ialah makan dengan baik serta makan makanan yang betul," jelasnya.
Bagi kapten pasukan Algeria, Madjid Bouguerra, bulan Ramadan menjadi cabaran bagi pemain Muslim di kelab-kelab bola sepak Eropah.
Dia sendiri pernah mengalaminya ketika bermain untuk Glasgow Rangers di Scotland, di mana dia berpuasa, tetapi masih mampu mengekalkan prestasi di atas padang.
"Hal yang paling sukar ialah dehidrasi, tapi itu tidak memberikan masalah kerana cuaca agak baik di sini. Beberapa pemain akan menggantikan puasa mereka kemudian," ujarnya.
Ketua Persatuan Ulama Algeria, Mohammed Mekerkab, berpendapat puasa merupakan hal yang penting dan wajib dilaksanakan walaupun terpaksa beraksi untuk Piala Dunia.
"Pemain Algeria tidak boleh menangguhkan puasa mereka hanya kerana perlawanan bola sepak, mereka harus berpuasa kerana Allah," katanya.
Carlos Alberto Parreira dari Brazil yang menjadi jurulatih pasukan Kuwait pada tahun 1982, pernah berkata, pemain tidak dipaksa berpuasa namun mereka tetap tidak mahu makan.
"Mereka dibenarkan tidak berpuasa ketika perlawanan tetapi pemain mengambil keputusan untuk berpuasa.
Pemain Jerman mahu ganti puasa
Dehidrasi
"Ia bukan prosedur biasa perlawanan namun kita perlu menerimanya sebagai sebahagian tanggungjawab yang perlu mereka lakukan. Jangan sesekali menidakkan hal itu," katanya.
Jurulatih Iran, Carlos Queiroz berkata, prospek bermain dalam intensiti tinggi ketika Ramadan bukan perkara baharu bagi pemainnya.
Baik dia mahupun pasukan teknikal berazam melengkapkan setiap cabaran.
"Pemain Iran mempunyai cukup pengalaman memenuhi tuntutan agama. Ketika pusingan kelayakan Piala Dunia dahulu pun, kami sudah berhadapan dengan pelbagai isu perbezaan budaya," katanya.
Sementara itu, pakar perubatan sukan, Dr. Hakim Chalabi memberitahu, sememangnya terdapat risiko pemain mengalami dehidrasi serta cedera terutamanya di bahagian belakang, sendi dan otot semasa beraksi di atas padang.
Namun, berdasarkan pengalamannya, pemain tetap menunjukkan prestasi yang baik walaupun mereka berpuasa.
"Kecederaan selalunya disebabkan oleh dehidrasi dan bukannya kerana kurang makan. Pemain boleh kehilangan sehingga 6 liter air ketika perlawanan.
"Kami sering diminta memujuk pemain supaya tidak berpuasa, tetapi dalam beberapa kes, ada pemain yang memberikan hasil yang lebih baik semasa Ramadan kerana puasa itu memberi kesan ke atas spiritual dan psikologi mereka," ujar Chalabi yang merupakan bekas ketua perubatan di kelab bola sepak gergasi Perancis, Paris St Germain.
"Kami juga menasihati mereka supaya tidur waktu siang memandangkan waktu tidur yang berkurangan pada waktu malam. Umat Islam kurang tidur pada waktu malam kerana mereka perlu bersahur dan melakukan solat tertentu," tambahnya.
Pengarah Perubatan Kelab Al Jazira di Abu Dhabi, Nick Worth, yang berpengalaman membantu pemain bola sepak Muslim menjalani ibadah puasa berkongsi rahsia dengan laman web Goal.Com.
"Pemain dinasihatkan menyediakan perancangan sebelum Ramadan. Seelok-eloknya mereka berbincang dengan tokoh agama sebelum membuat keputusan.
"Adakah anda mengharapkan pemain yang perlu menahan lapar dan dahaga selama separuh hari itu untuk menunjukkan mutu persembahan yang baik?
"Jika ya, mungkin anda patut mempertimbangkan untuk tidak menurunkan mereka dari awal permainan atau mencari jalan memanfaatkan bakat mereka di tempat sewajarnya," katanya.
Menurut kajian perubatan yang diterbitkan hospital ortopedik dan perubatan sukan Qatar, Aspetar, pemain yang berpuasa memerlukan jurulatih kecergasan khas bagi memantau isu kesihatan. Ini termasuk masalah dehidrasi serta peningkatan risiko kekurangan tenaga.
Sumber: Kosmo
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan