15 Julai 2014
Iftar Di Padang Berhampiran Masjid Negeri Kuantan
Bawa juadah untuk berbuka di padang
SETIAP kali Ramadan menjelma, suasana petang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di Jalan Mahkota, Kuantan, Pahang, tidak lagi seperti hari-hari biasa.
Apabila selesai azan solat Asar di masjid tersebut, orang ramai bersama keluarga masing-masing mula membanjiri Padang MPK1 membawa tikar dan bakul berisi pelbagai juadah berbuka puasa yang dimasak di rumah. Malah, ada juga pengunjung yang membeli juadah di bazar Ramadan yang berhampiran sebelum mengambil ruang di padang itu untuk sama-sama menunggu waktu berbuka puasa.
Sekitar pukul 6.30 petang sehingga menjelang solat Maghrib, orang ramai yang berada di sekitar padang tersebut diperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran oleh beberapa qari jemputan dari Jabatan Agama Islam Pahang.
Padang MPK1 bukan menjadi tumpuan penduduk Kuantan sahaja pada setiap Ramadan, malah para pengunjung dari daerah lain juga sanggup memandu jauh untuk merasai kelainan berbuka puasa di situ.
Menurut peniaga dari Rompin, Mohd. Saad Ismail, 33, beliau tidak pernah melepaskan peluang berbuka puasa bersama umat Islam lain di Padang MPK1 pada setiap Ramadan sejak tahun 2009.
BERBUKA puasa di tempat tumpuan awam memeriahkan lagi Ramadan di Kuantan, Pahang.
“Berbuka puasa di Padang MPK1 sudah menjadi identiti bandar Kuantan setiap kali Ramadan. Ia bermula kira-kira lima tahun lalu apabila orang ramai yang bekerja di pusat bandar tidak sempat pulang kerana jalan raya sesak. Disebabkan itu, mereka terpaksa membeli juadah di bazar berhampiran masjid dan berbuka di atas padang sebaik masuk waktu,” katanya yang kerap berulang alik dari Kuantan ke Rompin atas urusan perniagaan.
Pertumbuhan penduduk
Tambah Mohd. Saad, memasuki minggu kedua Ramadan tahun tersebut, amalan tersebut mula menjadi ikutan ramai dan Padang MPK1 terus popular sebagai tempat berbuka puasa.
Mengikut data bancian Jabatan Perangkaan sejak 2010 hingga tahun 2013 lalu, pertumbuhan penduduk di Kuantan terutama di pusat bandar dan kawasan sekitarnya meningkat daripada 460,000 hingga 500,000 orang.
Pertambahan kepadatan penduduk itu turut mempengaruhi kesesakan trafik di Kuantan ekoran peningkatan bilangan kenderaan yang pesat.
Keadaan tersebut juga menyebabkan kesesakan sepanjang Ramadan apabila pengguna memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi-tepi jalan berhampiran bazar Ramadan untuk membeli juadah.
JIKA tidak membawa bekal, orang ramai membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang terletak bersebelahan Padang MPK1.
Padang MPK1 yang terletak di tengah laluan antara Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi dan Jalan Masjid mempunyai keluasan bersamaan dua buah padang bola. Keluasan tersebut boleh menampung antara 15,000 hingga 30,000 orang pada satu-satu masa.
Selain menjadi tumpuan sepanjang Ramadan, padang tersebut juga kerap dijadikan lokasi acara sukan seperti bola sepak, futsal dan boling padang anjuran persatuan-persatuan sukan sekitar Pahang. Malah, ia juga pernah menjadi lokasi acara saringan bola sepak sempena penganjuran Sukan Malaysia ke-15 di negeri itu pada 3 Julai hingga 14 Julai 2012.
Selain Padang MPK1 , Teluk Chempedak dan Taman Esplanade Sungai Kuantan turut menjadi tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan. Bagaimana pun, jumlahnya tidak seramai di MPK 1.
Kemeriahan
Ujar Mohd. Saad, kedudukan Padang MPK1 yang berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 juga mendorong orang ramai termasuk beliau untuk berbuka puasa di padang tersebut berbanding lokasi-lokasi lain di pusat bandar.
“Lokasi padang dan masjid yang dekat ini secara tidak langsung turut menggalakkan orang ramai bersolat secara berjemaah,” katanya yang gemar berbuka di padang itu bersama kawan-kawan.
ORANG ramai yang berbuka di Padang MPK1 turut mengambil peluang membeli-belah di bazar-bazar berdekatan. - Gambar hiasan.
Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 yang berwarna putih kebiruan yang merupakan mercu tanda Kuantan mampu memuatkan sehingga 8,000 jemaah pada satu-satu masa.
Kemeriahan suasana berbuka puasa beramai-ramai turut menjadi daya penarik pelancong asing untuk datang ke Kuantan memandangkan ia suatu keunikan yang tersendiri.
“Ada juga rakan-rakan dari negeri lain yang sanggup datang untuk merasai pengalaman berbuka puasa bersama orang ramai di situ selepas ia jadi popular di laman-laman sosial seperti Facebook.
“Keadaan ini menjadikan ibu negeri ini sebagai satu destinasi popular setiap kali Ramadan,” katanya.
Kuantan merupakan daerah pantai yang menghadap Laut China Selatan dan menjadi laluan alternatif menuju Kelantan melalui Terengganu menggunakan Jalan Kuantan-Kemaman serta Lebuh Raya Pantai Timur. Antara tarikan pesisir laut di sana adalah Teluk Chempedak, Pantai Balok, Pantai Batu Hitam dan Pantai Cherating yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar.
Selain itu, turut terdapat tempat rekreasi seperti Hutan Simpan Berkelah dan Hutan Lipur Jerangkang serta Sungai Lembing yang pernah dijadikan kawasan melombong bijih timah sejak tahun 1920-an sebelum ditutup pada tahun 1986.
Tumpuan
Dalam pada itu, pembantu kedai, Aliza Alias, 36, berkata, kebiasaanya beliau memilih berbuka bersama keluarga di Padang MPK 1 pada hujung minggu.
Katanya, mereka akan keluar selepas waktu Asar untuk mengelak kesesakan. Saya memasak lauk-pauk sendiri manakala kuih-muih di beli di bazar Ramadan.
“Kami akan bersantai di atas tikar sambil menunggu waktu berbuka. Suasananya cukup mendamaikan seolah-olah berbuka di taman.
“Trend berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan di tempat terbuka menjadikan suasana Ramadan di Kuantan bertambah meriah berbanding hari-hari biasa,” kata beliau.
Bagi suri rumah, Zaitun Zainol, 39, pula, beliau gemar berbuka di padang tersebut pada hari Sabtu setiap minggu sambil mengambil peluang membeli barang-barang keperluan Aidilfitri di bazar-bazar berdekatan selepas berbuka puasa.
“Saya sekeluarga lebih gemar membeli juadah di bazar Ramadan berhampiran untuk berbuka kerana terdapat pelbagai pilihan mengikut citarasa masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, kemeriahan berbuka di Padang MPK 1 berlarutan sehingga hari terakhir berpuasa apabila kepulangan anak-anak perantau.
“Sanak-saudara dari luar juga tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman tersebut dan keadaan ini menambahkan lagi kemeriahan serta kesibukan bandar Kuantan,” katanya.
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
kemeriahan terasa ^_^
Catat Ulasan