29 Ogos 2014

Islam di Asia Selatan


Islam di Asia Selatan telah melahirkan banyak pemikir dan gerakan yang kemudiannya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam di tempat lain.

KAWASAN tumpuan umat Islam yang terbesar di dunia adalah di Asia Selatan. Umat Islam di wilayah ini berjumlah sekitar 300 juta orang. Mereka mendiami wilayah India Selatan dan Utara, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Sekalipun terikat oleh agama yang sama, iaitu Islam, mereka terdiri daripada pelbagai masyarakat yang bertutur dalam bahasa yang berbeza, hidup dalam wilayah yang saling terpisah dan menghadapi bermacam- macam masalah sosial, ekonomi dan budaya yang berlainan.

Di wilayah ini, Kesultanan Moghul pernah berkuasa (1526-1858), iaitu salah satu kerajaan Islam terbesar pada Abad Pertengahan. Kesultanan Moghul melambangkan kemuncak kehadiran Islam di benua kecil India.


Seperti di kawasan lain secara amnya, penyebaran Islam di India Selatan dicirikan oleh proses penerapan yang berjalan lancar. Pada umumnya masjid yang didirikan di India, misalnya, mempunyai bumbung berbentuk kon seperti bangunan candi. Namun sejak dua dekad terakhir, banyak masjid baharu didirikan berdasarkan model masjid di Timur Tengah dan atas pembiayaan dana daripada pemerintah Arab Saudi.

Penyebaran Islam yang begitu pesat di benua kecil India, yang kebanyakan penduduknya beragama Hindu, disebabkan khususnya oleh daya tarikan ajaran Islam atau tasawuf yang penuh misteri, seperti yang diperkenalkan melalui tarekat sufi.

Kecenderungan kepada aspek batin ajaran agama ini amat sesuai dengan persekitaran India yang terkenal dengan hal kebatinan.

Keadaan umat Islam di benua kecil India amat sukar ketika penjajah Inggeris. Mereka tidak hanya berhadapan dengan penjajah tetapi juga kaum Hindu yang merupakan golongan majoriti di situ.

Berhadapan dengan situasi tersebut, pandangan dan sikap orang Islam berbeza-beza. Ada yang menyarankan agar mereka bekerjasama dengan penjajah Inggeris. Seperti Ahmad Khan tetapi sebahagian besar pemimpin Islam menolaknya.

Sebahagian daripada tokoh Islam menyarankan agar didirikan negara mereka sendiri.

Pada 1947, tertubuhlah Republik Islam Pakistan. Namun pada 1971, penduduk di wilayah timur Pakistan memisahkan diri dan membentuk negara sendiri dengan nama Bangladesh. Perkara ini berpunca daripada hakikat bahawa Pakistan terpisah dua disebabkan wilayah India dan kedua-duanya menggunakan bahasa yang berbeza.

Kebanyakan penduduk Pakistan Timur bertutur bahasa Bengali, manakala majoriti penduduk Pakistan Barat bertutur bahasa Urdu. Bangladesh merupakan salah satu negara terpadat di dunia. Sebahagian penduduknya hidup dalam kemiskinan. Bencana alam seperti taufan dan banjir sering melanda negara ini.

Ketika India merebut kemerdekaannya pada 1947, umat Islam di wilayah tersebut berpecah dua, sebahagiannya terus tinggal di India dan sebahagian yang lain memasuki Republik Islam Pakistan yang baru didirikan. Setelah menjadi sebuah republik, perlembagaan India menjamin hak setiap warganegara, seperti persamaan, kebebasan beragama serta budaya dan pendidikan, juga terpakai untuk umat Islam minoriti. Mereka hidup bersama-sama penganut agama lain.

Islam di Asia Selatan telah melahirkan banyak pemikir dan gerakan yang kemudiannya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam di tempat lain. Antara yang terserlah ialah Sir Muhammad Iqbal, Abu A’la al- Maududi, Fazur Rahman, Shah Waliyullah dan Sir Sayyid Ahmad Khan. Di sini juga muncul beberapa gerakan yang pengaruhnya tersebar ke seluruh dunia seperti Jamaah Islami dan Jamaah Tabligh.

Umat Islam juga terdapat di Sri Lanka, negara di bahagian selatan benua kecil India. Corak keislaman masyarakat Muslim di negara itu banyak dipengaruhi oleh kemasukan orang Kerala Muslim, termasuk penyebaran ajaran sufi pada abad ke-18.

Di Sri Lanka, tarekat sufi yang paling berpengaruh ialah Tarekat Qadiriyah. Bahasa ibunda mereka ialah bahasa Tamil, sehingga banyak karya keagamaan ditulis dalam bahasa tersebut.

Al-Quran pertama kali diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil pada abad ke-19 oleh ilmuwan Sri Lanka bernama Syeikh Mustafa. Di Sri Lanka terdapat lebih kurang 1.2 juta umat Islam. Pada umumnya, mereka ialah orang Islam Sunnah pengikut Mazhab Syafie.

Keturunan umat Islam yang pertama tiba di India Selatan banyak ditemui di wilayah Kerala, khususnya dalam kalangan masyarakat Mappila. Kehidupan mereka banyak dipengaruhi tradisi perdagangan yang menunjukkan ciri-ciri pekerjaan orang Arab yang datang menyebarkan Islam ke wilayah ini pada peringkat awal agama Islam.

Bahasa asal mereka ialah Malaylam. Dalam amalan keagamaan dan pengajaran agama, bahasa itu kemudian bercampur dengan bahasa Arab. Hingga kini, orang Kerala berketurunan Arab, pada umumnya mempunyai reputasi tersendiri di mata masyarakat. Pada awal 1990-an, jumlah kaum Mappila Muslim mencapai kira- kira 7.5 juta orang.

Meskipun umat Islam di Kerala berkait rapat dengan umat Islam di Semenanjung Tanah Arab, mereka tetap mempunyai ciri khas yang berbeza. Mereka misalnya berpegang pada mazhab Syafie, manakala mazhab yang dominan di Arab Saudi ialah Mazhab Hanbali.

Selain itu, amalan tawassul, iaitu berdoa kepada Allah SWT, melalui perantara ulama agar doanya dikabulkan Allah SWT, sering ditemui di Kerala. Ada pun amalan seperti ini amat ditentang di Arab Saudi.

Sumber: Utusan

0 comments: