30 Ogos 2014

A Walk Through Time ~ Konsep Baharu Iklan Merdeka Petronas


STESEN Petronas pertama telah di bina di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada tahun 1981.

PASTI ramai yang mengingati skrip iklan perayaan yang menyentuh perasaan seperti “Burung apa? Burung murai...” atau “Abah dah pakai lampin?” yang telah dibawakan syarikat minyak dan gas, Petroleum Nasional Berhad (Petronas).

Karya Allahyarham Yasmin Ahmad itu ternyata telah terpalit dalam ingatan dan menjadi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tidak melupakan nilai-nilai murni seperti semangat kekeluargaan, persahabatan dan patriotisme dalam kehidupan.

Kini sudah hampir 20 tahun Petronas mendidik rakyat Malaysia secara tidak langsung menerusi babak-babak iklan yang mampu membuatkan mata berkaca dan gelak ketawa kedengaran setiap kali dipaparkan di kaca televisyen menjelang musim perayaan utama.


Bagaimanapun, Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Liz Kamaruddin berkata, sejak pemergian Yasmin, pihaknya berusaha keras dalam menyediakan iklan yang bermutu untuk terus menyampaikan mesej tauladan dalam membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai nilai kehidupan yang tinggi.

“Sukar untuk mencari pengganti Yasmin kerana beliau merupakan seorang pengarah kreatif yang berfikiran di luar kotak. Kebanyakan iklan tauladan yang dipersembahkan beliau adalah dalam bentuk yang menyayat hati.

“Bagaimanapun, pada tahun ini kami membawakan konsep baharu. Kali ini kami menyediakan iklan tauladan yang mampu membuatkan penonton tersenyum bangga dan ketawa sambil mengimbau kenangan lama,” katanya.

Menyusuri zaman

Tambahnya, sempena meraikan Hari Kemerdekaan ke-57, Petronas mengadakan kempen Hari Malaysia yang menampilkan sebuah filem web bertajuk A Walk Through Time arahan pengarah muda, Quek Shio Chuan.

Plot iklan merdeka kali ini membawa penonton mengikuti pengembaraan dua orang sahabat karib yang menyusuri enam era, bermula pada tahun 1950-an, dalam mengingati kembali peristiwa-peristiwa bersejarah negara selama 57 tahun.

Antara yang ditonjolkan adalah gaya hidup masyarakat pada era 50-an, detik pengisytiharan kemerdekaan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman; tayangan filem Laksamana Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, stesen pertama Petronas dan kemenangan pertama negara dalam Kejuaraan Piala Thomas.


PAKAIAN dan suasana membezakan setiap perubahan era.

Penonton juga berupaya melihat perubahan sistem pengangkutan awam daripada zaman bas mini ke transit aliran ringan (LRT).

Ungkapan “Reflect on yesterday. Live for today. Hope for tomorrow” yang dipaparkan pada babak terakhir iklan ini memberi mesej mendalam kepada penonton agar menghayati kisah silam, pada masa sama, mengolah masa hadapan negara.

Liz menjelaskan, pemilihan jalan cerita filem tersebut adalah untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda hari ini mengenai pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang giat membangun.

“Ia sekali gus mendidik barisan pelapis negara untuk lebih menghargai erti kemerdekaan yang datang daripada perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan pengorbanan generasi lampau,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pembikinan filem pendek berdurasi tiga minit itu, Shio Chuan memberitahu, proses menyiapkan klip tersebut mengambil masa tiga minggu.

Beliau memaklumkan, lokasi penggambaran dibuat di beberapa kawasan di Perak dan Kuala Lumpur.

“Kebanyakan seni bina bangunan lama dan tradisi masyarakat di Perak masih dijaga dengan baik.

“Jadi tidak terlalu rumit bagi saya untuk memberikan gambaran kehidupan pada era 50-an sehingga 90-an,” jelasnya.



Ujar pengarah muda ini, sebelum memulakan penggambaran, dia banyak membuat kajian dan meminta pendapat daripada ahli sejarah berkenaan latar belakang masyarakat pada era berkenaan.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah pakaian, gaya rambut dan budaya masyarakat sebelum merdeka.

Orang ramai boleh menonton filem web A Walk Through Time menerusi laman YouTube Petronas di www.youtube.com/PETRONASOfficial.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Sumber: Kosmo

0 comments: