28 Ogos 2014

Bermula Dengan Gaji RM10 Kini Bergelar Usahawan Berjaya



Bermula dengan gaji RM10 sehari, kini Suhaimi Embong, 44, bergelar usahawan berjaya dan memegang jawatan Pengarah Urusan di dua buah syarikat kain terkenal di Terengganu iaitu Desa Murni Batik Sdn Bhd dan Desa Murni Batik Holding.

Suhaimi dari Pulau Rusa, Kuala Terengganu, mula berkecimpung dalam bidang perniagaan tekstil sejak berumur 18 tahun setelah selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Semasa Desa Murni ditubuhkan pada 1974 oleh ayah saya Embong Su, 70, di Pulau Rusa bermodalkan hanya RM4,000, beliau menjalankan perniagaan kain batik dengan 30 pekerja termasuk saya bergaji RM10 sehari.

"Namun setelah saya mengambil alih Desa Murni pada tahun 2005, perniagaan mula berkembang selepas membuka sebuah pusat membeli-belah di Pekan Kuala Berang pada 2006", katanya.




PERNIAGAAN TERUS BERKEMBANG MAJU

Suhaimi berkata setelah beliau menerajui Desa Murni, pembekal kain batik dan sutera terbesar di Terengganu itu kini mempunyai 12 cawangan selain di Kuala Terengganu. Antara cawangan itu ialah di Kemaman, Kota Baharu di Kelantan, Temerloh di Pahang, Shah Alam dan Wangsa Walk di Lembah Kelang.

Apa yang menarik adalah Desa Murni juga memiliki kilang memproses kain batik digital terbesar di Asia Tenggara.

"Kilang kain kami memang besar dengan peralatan dibeli dari Itali. Ini kerana kita mahu modenkan batik, dengan corak yang canggih," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Suhaimi berkata Desa Murni mendapatkan rekaan dan corak baru batik dan sutera daripada pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pereka terkenal yang lain.

Ketika ditanya mengenai promosi Desa Murni yang selalu menggemparkan pelanggan apabila menawarkan harga serendah lima sen, Suhaimi berkata itu adalah strategi perniagaan.

"Kedai-kedai Desa Murni di Pengadang Baru, Pekan Batu Enam dan gedung kain terbarunya di Gong Kapas di sini mengadakan jualan barangan seperti talam, set mangkuk dan selendang dengan harga hanya lima sen.

Gambar hiasan

SEMANGAT USAHAWAN TERUS MEMBARA

"Orang ramai datang berebut-rebut untuk mendapatkan barangan berkenaan yang kita hadkan tempoh promosi dan kuantitinya", katanya.

Mengenai cabaran dan persaingan dalam perniagaan, Suhaimi berkata Desa Murni menghadapi cabaran daripada kain-kain yang datang dari China, India dan Indonesia. Namun Desa Murni menghadapi segala cabaran itu dengan semangat yang kental dan lagipun ia mempunyai pelanggan setianya sendiri.

Sejak beliau mengambil alih perniagaan bapanya, syarikat itu terus berkembang maju dan ketika ini terdapat seramai 300 pekerja di kedai-kedai Desa Murni seluruh Terengganu.

Pada Disember 2013, Suhaimi dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2013.

Mengenai anugerah yang dimenanginya itu beliau berkata, anugerah daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu YPU sangat bermakna dan memberi dorongan kepada beliau untuk meningkatkan lagi perniagaan.

Oleh Tuan Azam Tuan Johan
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian, NST

0 comments: