25 Oktober 2014

Hari Mencuci Tangan Sedunia

Hari Mencuci Tangan Sedunia
15 Oktober, Hari Mencuci Tangan Sedunia

SUDAH sinonim dalam dunia kanak-kanak dengan watak wira atau 'super hero' yang ditonjolkan akan memberi kesan dan boleh mempengaruhi fikiran mereka, termasuk untuk menggalakkan diri memupuk tabiat yang sihat.

Bagi menjayakan matlamat dalam sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia pada 15 Oktober, Kementerian Kesihatan dan pengeluar barangan pengguna Unilever Malaysia mengundang BoBoiBoy, watak utama daalam siri animasi televisyen popular, serta rakan-rakannya Yaya, Ying dan Gopal ke Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Bangsar, di sini.

Ia bertujuan bukan sahaja untuk berkongsi keseronokan dengan telatah mereka yang mencuit hati, tetapi juga menunjukkan kepada mereka betapa pentingnya mengamalkan kebersihan diri.


Menceria dan menghidupkan acara, yang dianjurkan oleh Unilever Malaysia itu, lagu popular 'Gwiyomi' yang menjadi siulan anak remaja digubah dan dipersembahkan dalam versi Bahasa Melayu untuk memeriahkan lagi acara.

Lagu yang dipopularkan seorang penyanyi wanita dari Korea Selatan, Jeong Sung-kyung itu diubah suai menjadi lagu latar acara dengan liriknya mudah diingati kanak-kanak dengan antara bait seperti "cuci tangan kita sebelum
makan".

Jelas sekali ia adalah satu cara yang menyeronokkan untuk menyampaikan mesej pentingnya "mencuci tangan" kepada para murid yang hadir pada acara itu.

Namun, di sebalik kegembiraan itu sebenarnya masih ramai yang tidak tahu atau mengambil mudah aspek kebersihan mencuci tangan dengan cara yang betul.

Lebih-lebih lagi tanggapan segelintir masyarakat melihat amalan mencuci tangan adalah perkara biasa dan hanya sebahagian daripada rutin harian, tanpa peduli sama ada mereka telah melakukannya dengan betul.

Budaya mencuci tangan

Meraikan Hari Mencuci Tangan Sedunia di sebuah sekolah rendah ini adalah selari dengan objektif Kementerian Kesihatan untuk mendidik dan memupuk tabiat membasuh tangan di kalangan generasi muda, khususnya peringkat kanak-kanak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Abdul Jabar Ahmad menyifatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mencuci tangan secara betul semakin meningkat.

"Mencuci tangan adalah cara paling terbaik untuk mencegah penyakit seperti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dengan mencuci tangan melalui cara yang betul kuman atau virus tidak akan merebak.

"Oleh sebab itu kita sentiasa mengalakkan orang ramai supaya (mencuci tangan dengan betul) sebagai satu budaya atau amalan harian pada setiap masa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Mencuci Tangan Sedunia anjuran Lifebuoy baru-baru ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 15 Okt sebagai hari Mencuci Tangan Sedunia pada 2008 sempena dengan tahun Saintasi Antarabangsa 2008.

Hari Mencuci Tangan menjadi satu kempen sedunia untuk mengukuhkan amalan kebersihan diri dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan diri.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesedaran itu perlu diterjemahkan kepada tindakan kerana tidak menjadi alasan bagi seseorang individu itu untuk tidak membasuh tangan dengan cara yang betul.

Abdul Jabar berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga kebersihan diri sebagai budaya yang perlu dicontohi oleh semua pihak.

"Walaupun kita mengadakan pelbagai program kesihatan di sekolah namun kerjasama daripada pelbagai pihak amat penting kerana sekiranya ada yang tidak menyokong atau gagal melaksanakannya ia memberi kesan negatif kepada individu lain," katanya.

Didik kanak-kanak

Pengarah Penjagaan Diri Unilever Malaysia Ashlee Ng berkata kempen ini merupakan tanggungjawab sosial untuk memberi sokongan kepada negara dalam mencapai kehidupan dan persekitaran hidup lebih sihat serta mengamalkan tabiat kebersihan diri dengan betul.

"Kita meraikan Hari Mencuci Tangan bersama lebih 200 juta orang dari lebih 100 buah negara dan ini berupaya menjana masyarakat agar lebih sihat dan berupaya menyelamatkan nyawa melalui kaedah mudah iaitu dengan mengamalkan tabiat mencuci tangan menggunakan cecair pencuci tangan," katanya.

Bagi mendidik kanak-kanak mencuci tangan dengan betul, Ashlee berkata kad catatan akan diagihkan kepada para pelajar untuk merekodkan tabiat membasuh tangan yang akan dimulakan dengan rejim 21/5 yang bermaksud lima waktu berlainan setiap hari selama 21 hari.

"Insiatif ini juga akan dibuka kepada orang ramai melalui pusat pembelajaran kami bersama Kidzania yang memberi peluang kepada untuk mengalami pengalaman bersama Lifebuoy secara menyeluruh dan menerapkan budaya sihat dalam kehidupan mereka," katanya.

Pengalaman sendiri

Seorang pelajar Tahun Lima Raditul Rashika Izuan, 11, berkata dia akan membasuh tangan tiga kali sehari terutamanya selepas menggunakan tandas atau sebelum makan.

Murid, yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, berkata keluarganya amat mementingkan soal kebersihan diri terutamanya ketika dan selepas bermain di luar rumah.

"Emak saya selalu pesan kalau nak badan sihat kita perlu menjaga kesihatan kalau tidak kita mudah jatuh sakit," katanya.

S. Ruthra, 10, pula kelihatan gembira apabila berpeluang mencuci tangan bersama-sama rakan sekelasnya pada majlis yang julung kali diadakan di sekolah tersebut.

Ketika ditanya bagaimanakah cara untuk mencuci tangan dengan amalan betul dia berkata: "Basuh kedua-dua tangan menggunakan sabun pencuci tangan dan air bersih, gosok tapak tangan, gosok setiap jari dan gosok kuku serta belakang tangan, cuci tangan dengan air yang bersih dan keringkan tangan dengan tuala yang bersih dan kering," kata pelajar berasal dari Kuala Lumpur itu.

Berbeza dengan pelajar Tahun Empat Izat Hidayat Halim, 10, yang sebelum ini amat jarang mencuci tangan malah lebih selasa membasahkan tangannya dengan air tanpa menggunakan sabun.

"Saya kadang-kadang cuci tangan tak guna sabun sebab nak cepat tapi bila dengar abang-abang Lifebuoy ini beritahu bahaya kalau tidak cuci tangan guna sabun saya jadi takut sebab kuman mudah merebak," katanya sambil tersenyum.

Platform terbaik

Sementara itu, guru Bahasa Arab Siti Hasmah Ramli menyambut baik usaha yang dijalankan oleh syarikat swasta ini dan menyifatkannya sebagai satu platform untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak khususnya di kalangan para pelajar agar sentiasa menitikberatkan kebersihan diri.

"Jika sebelum ini mereka (pelajar) hanya melihat iklan-iklan di televisyen sahaja kali ini mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman mencuci tangan dengan cara yang betul.

"Adalah lebih baik sekiranya setiap sekolah dapat dibekalkan dengan kualiti sabun atau cecair pencuci tangan yang mengandungi bahan antiseptik supaya tahap kesihatan para pelajar lebih terjaga," katanya.

Beliau berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bukan hanya melibatkan peringkat sekolah sahaja tetapi juga menggabungkan kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) - Bernama

Sumber: Sinar Harian

0 comments: