23 Oktober 2014
Waspada Jerat Tawaran Anak Angkat
Kebajikan bayi perlu diambil perhatian oleh semua pihak. - Gambar hiasan
BAGI pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata, mengambil anak angkat antara pilihan yang sering kali difikirkan.
Setelah pelbagai usaha perubatan moden mahupun tradisional mendapatkan zuriat sendiri tidak berhasil, pilihan itu bagaimanapun perlu pertimbangan sewajarnya. Keprihatinan dan perasan kasih sayang yang tidak disusuli dengan kebijaksanaan mungkin membawa padah.
Terkini, sindiket penipuan yang menawarkan urusan pengambilan anak angkat mengambil kesempatan melalui medium media sosial dan WhatsApp untuk melakukan jenayah penipuan.
Modus operandi
Suspek menggunakan medium media sosial dan WhatsApp untuk hebahan pengambilan anak angkat. Hebahan yang dibuat memaklumkan bapa bayi itu baru sahaja meninggal dunia dan merupakan keluarga susah.
Mangsa yang berminat untuk mengambil anak angkat akan menghubungi suspek menggunakan nombor yang disertakan pada mesej yang dihantar.
Suspek akan memberikan nombor telefon kononnya seorang doktor yang boleh dihubungi sekiranya ingin mengetahui maklumat yang lebih lanjut mengenai proses pengambilan anak angkat tersebut.
Mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada ‘doktor’ tersebut dan dimaklumkan mengenai maklumat peribadi bayi serta proses pengambilan anak angkat.
Beberapa hari kemudian, doktor berkenaan menghubungi mangsa sekali lagi untuk meminta mangsa membuat pemindahan duit kononnya sebagai kos rawatan dan kos guaman. Doktor tersebut kemudiannya menghilangkan diri selepas mangsa membuat pemindahan duit.
Nasihat polis
Orang ramai yang ingin mengambil anak angkat dinasihatkan supaya berurusan dengan pihak yang berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Elakkan membuat urusan pemindahan duit kepada orang yang tidak dikenali. Jangan mudah percaya dengan tawaran di alam maya yang belum dikenal pasti kesahihannya.
Laporan media
14 Mei 2014
KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri yang terdesak untuk memiliki zuriat kerana gagal mendapat anak sendiri selepas sembilan tahun berkahwin nyaris terpedaya dengan tawaran satu sindiket yang kononnya menguruskan pengambilan anak angkat.
Apa yang mengujakan pasangan itu ialah tawaran tersebut untuk sepasang bayi kembar berusia dua minggu yang baru kematian ibu menyebabkan mereka tertarik untuk memiliki kedua-dua bayi berkenaan sebagai anak angkat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pengadu yang merupakan guru wanita berusia 36 tahun menerima tawaran tersebut melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada satu nombor tidak dikenali pada 17 April lalu.
15 Februari 2012
KUALA LUMPUR - Harga serta permintaan yang tinggi bagi bayi dikatakan merupakan antara punca kegiatan menjual bayi masih berleluasa.
“Polis percaya sindiket penjualan bayi yang sudah lama wujud ini semakin berleluasa kerana terdapat permintaan yang sangat tinggi terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagia Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan kepada Bernama.
Beliau turut berkata seorang bayi boleh mencapai harga melebihi RM20,000 berdasarkan kesempurnaan dan kecerahan warna kulit.
“Harga menjadi lebih tinggi sekiranya disertakan dengan dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran semasa pembelian,” katanya. Abdul Jalil menjelaskan kebanyakan bayi dijual pada lingkungan umur satu hingga tiga bulan namun ada juga kanakkanak berusia sehingga enam tahun turut dijual.
“Kegiatan terancang ini bermula dengan penjagaan rapi yang diberikan kepada ibu yang mengandung di pusat penjagaan haram, bagi menghasilkan bayi yang sihat demi mendapatkan nilai jualan yang tinggi.
“Wanita yang dihantar ke pusat penjagaan haram ini biasanya terdiri daripada gadis yang mengandung anak luar nikah dan juga wanita warga asing yang tidak mahukan bayi kandungan mereka dan sanggup menjual untuk mendapatkan wang,” katanya.
Statistik D7 mencatat sembilan kes menjual bayi tahun lalu berbanding 20 kes pada tahun sebelum itu.
Misalnya pada Januari 2011, polis berjaya menumpaskan kes penjualan bayi yang berumur antara lima hingga tujuh hari yang dijual dengan harga antara RM15,000 hingga RM20,000.
Polis turut berjaya menyelamatkan tiga orang bayi, seorang ibu kepada salah seorang bayi ini serta dua wanita yang sarat mengandung di Selangor. Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S Ramamurthy juga tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual bayi berlaku di kawasan pedalaman.
“Sindiket pemerdagangan bayi semakin rancak di kawasan pedalaman kerana kebanyakan keluarga amat terdesak untuk mendapatkan duit. Namun ia sukar dikesan,” katanya.
Beliau turut mempertanggungjawabkan kepada segelintir klinik swasta yang sanggup bekerjasama dengan sindiket untuk memalsukan rekod kelahiran bayi, bagi memudahkan bayi dijual. - Bernama
7 April 2012
KLANG- Wanita ini kudung kaki kiri, tetapi dipercayai mendalangi sindiket jual bayi warga tempatan kepada pasangan yang tiada anak untuk dijadikan anak angkat.
Dia yang juga warga Singapura dikesan menghantar gambar bayi berkenaan melalui MMS dan menawarkannya mengikut harga tertentu bergantung kepada kedudukan kewangan pasangan
yang berminat membeli.
Malah, sindiket terbabit yang disyaki bergiat aktif sejak dua bulan lalu itu turut menggaji tiga wanita rakyat tempatan sebagai pengasuh bayi berkenaan sebelum dijual.
Kegiatan sindiket itu dibongkar dalam satu serbuan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sebuah pusat beli-belah, di sini selepas mereka cuba menjual dua bayi berusia 22 hari dan tiga bulan kepada dua pasangan suami isteri, pagi semalam.
Sebelum serbuan, sindiket terbabit sudah menjual dua bayi. Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, sepasukan anggota menyerbu sindiket terbabit selepas mendapat aduan orang awam mengenai
kegiatan penjualan bayi di kawasan itu.
NOOR AZURA SAHRIL
Sumber Sinar Harian
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan