09 November 2014
Kesan Bumerang Terhadap Psikologi Manusia
KITA selalu berhadapan dengan situasi dihujani pelbagai soalan daripada anak-anak yang baru mengenal dunia.
Apatah lagi apabila anak-anak kita mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi dan cuba melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.
Misalnya, kanak-kanak suka menyentuh barangan yang mudah pecah walaupun telah berkali-kali kita melarang mereka supaya tidak menyentuhnya. Seolah-olah mereka berasa sangat teruja apabila melakukan perkara yang dilarang.
Dalam istilah psikologi, situasi ini dikenali sebagai kesan bumerang. Fenomena psikologi ini tidak hanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak tetapi turut melibatkan golongan remaja dan dewasa.
Menurut kajian-kajian yang dilakukan di Barat, kempen-kempen yang diadakan untuk tujuan kebaikan menghasilkan keputusan yang terbalik. Contohnya, kempen menghindari gejala merokok dan alkohol yang sepatutnya membantu mengurangkan tabiat tersebut seolah-olah menggalakkan lagi orang ramai untuk melakukannya.
Selain itu, satu kajian mengenai keburukan menonton rancangan-rancangan keganasan dilakukan terhadap sekumpulan pelajar namun, sebaliknya pula apabila terdapat beberapa orang pelajar lebih terangsang untuk melakukan perbuatan itu.
Tambahan pula, terdapat beberapa kes berlaku dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai kesan bumerang ini.
Pertamanya, terdapat sekumpulan individu telah menganjurkan program menyentuh anjing yang telah menggemparkan masyarakat Islam baru-baru ini. Acara tersebut menggemparkan kerana ia dianjurkan oleh orang Islam sendiri dan para peserta pula rata-ratanya merupakan orang Islam.
Terdapat banyak pandangan berkaitan hukum menyentuh anjing tetapi apakah keistimewaan menyentuh haiwan tersebut?
Sekiranya ia bertujuan untuk menunjukkan kasih sayang ataupun keberanian, terdapat pelbagai haiwan lain yang boleh disentuh seperti singa atau ular tedung.
Mungkin niat penganjur adalah baik tetapi kempen yang diadakan itu dilihat sebagai sesuatu yang sangat janggal dan inilah yang dikatakan sebagai kesan bumerang.
Kempen tersebut mungkin tidak mempunyai sebarang kesan terhadap orang bukan Islam tetapi bagi umat Islam, ia adalah sesuatu perkara yang istimewa kerana menyentuh haiwan yang dilarang.
Dalam pada itu, di lokasi yang berlainan, dianggarkan lebih 1,000 orang menceroboh masuk ke sebuah universiti tempatan bagi mendengar pidato yang disampaikan oleh seorang tokoh pembangkang.
Walaupun pihak universiti melarang acara tersebut, masih terdapat sekumpulan mahasiswa ingin menjemput pemimpin politik itu bahkan mereka juga berkeras untuk mengikuti program tersebut.
Kita tidak menafikan hak-hak mahasiswa tetapi mengapa mereka masih ingin melakukannya? Adakah ia benar-benar melibatkan isu hak asasi dan kebebasan bersuara? Mengapakah ia tidak dilakukan di tempat lain dan dilakukan dalam kawasan kampus?
Itulah yang dikatakan sebagai kesan bumerang. Semakin kuat penolakan terhadap sesuatu perkara maka semakin ramai pula yang ingin mendapatkannya. Bahkan, ia menyebabkan orang merasa teruja untuk menyertainya.
Sebenarnya, dalam latar kehidupan, setiap hari kita berhadapan dengan kesan bumerang ini. Ia bukan hanya sekadar melihatkan orang lain tetapi sesekali ia melibatkan diri sendiri.
Misalnya, kita teringin untuk memandu lebih daripada had yang dibenarkan kerana ia seolah-olahnya memberikan satu kepuasan. Manusia berasa lebih hebat dan istimewa apabila mampu melakukan sesuatu yang dilarang apatah lagi sekiranya ia mampu menimbulkan kontroversi.
Mutakhir ini, penganalisis dalam bidang antipengganas sudah mula melihat sejauh mana kesan bumerang terhadap polisi antipengganas kepada keselamatan negara.
Tekanan yang diberikan oleh kuasa besar terhadap kumpulan pengganas tidak pula mampu mengurangkan aktiviti keganasan itu bahkan lebih banyak kumpulan baharu muncul dengan memberi kesan yang lebih menakutkan.
Sebab itu, kesan bumerang ini sewajarnya diberikan pertimbangan setiap kali kita cuba melakukan tindakan mendisiplinkan anak, pelajar atau membuat keputusan penting organisasi.
Kita mungkin melihat apa yang kita lakukan mampu menghindar sesuatu perkara, realitinya ia mungkin memberikan kesan sebaliknya.
Manusia akan terus berjuang bagi melakukan sesuatu perkara yang dilarang. Inilah satu fenomena psikologi manusia yang sangat sukar difahami.
Sumber: Kosmo
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan