10 November 2014

Tip Tangani Stres Anak Hadapi Peperiksaan


Beri peluang pada anak menghadapi peperiksaan dengan tenang tanpa mengenakan tekanan terhadap mereka. - Gambar hiasan

Musim peperiksaan tiba lagi. Masa inilah pelajar-pelajar cuba melakukan yang terbaik ketika menjawab soalan untuk membuktikan kepada ibu bapa tahap pencapaian mereka dalam bidang akademik sebagaimana yang dimahukan.

Kebimbangan juga ketara di pihak ibu bapa. Perasaan gemuruh dan risau seperti mudah terbawa-bawa memandangkan semua ibu bapa mahu hanya yang terbaik daripada anak-anak mereka.
Keadaan ini sudah tentu turut memberi tekanan kepada ibu dan bapa. Si anak apatah lagi, yang sudah pasti dibebani dengan harapan mendapatkan yang ‘terbaik’ sama ada oleh ibu bapa mahu pun guru-guru.


Bagi mereka kejayaan itu diukur dengan berapa banyak bilangan ‘A’ yang diperoleh dalam peperiksaan.

Namun, mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang tidak menunjukkan kebimbangan, nampak macam tidak kisah dengan apa yang mereka bakal dihadapi.

Percayalah sedikit sebanyak, anak-anak ini sebenarnya juga sedang mengalami tekanan yang bukan sedikit akibat daripada harapan yang diletakkan ke atas bahu mereka.

Jangan beri tekanan pada anak

Menurut Kaunselor Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Latifah Md. Yusoh, akibat tekanan menjelang peperiksaan, anak-anak menjadi tidak tentu arah, seperti mungkin kerap tidur, makan banyak dan sebagainya.

Ini adalah antara perubahan tingkah laku yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ketika tertekan menjelang peperiksaan.

“Mungkin ada hilang keyakinan diri memandangkan keputusan peperiksaan percubaan yang dilalui tidak memuaskan dan dimarahi ibu bapa, yang terus mendesak anak-anak mendapatkan keputusan lebih baik dalam peperiksaan sebenar.

“Sebagai ibu dan bapa, dalam menghadapi keadaan seperti ini mereka perlu memahami keadaan anak yang berhadapan dengan pelbagai tekanan ketika musim peperiksaan.

“Ibu bapa mesti tahu persediaan yang perlu dilakukan bagi membantu kecemerlangan anak-anak menjelang peperiksaan.

“Apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah memahami tekanan yang dihadapi anak-anak mereka dan cuba membantu mengurangkan tekanan itu dengan lebih memahami mereka,” jelasnya.

Kalau boleh kata Latifah, nyatakan kepada mereka, kecemerlangan akademik bukan satu-satunya jalan untuk hidup cemerlang, bahkan terdapat lagi jalan lain yang boleh dilalui seperti kemahiran, sukan dan sebagainya.

Katanya, pada waktu ini suasana keluarga perlu berada dalam harmoni kerana anak-anak perlukan suasana yang baik dan tenteram untuk belajar.

Elakkan mereka daripada terpaksa berhadapan dengan masalah yang dicetuskan oleh ibu bapa sendiri seperti bergaduh dan bersengketa dengan adik-beradik.

“Sekiranya anak-anak mereka ada yang menonton televisyen, biarkan sahaja sekejap jangan dimarahi, mungkin itu cara mereka melepaskan sedikit tekanan.

“Jika boleh waktu ini bergurau senda dengan anak-anak, makan bersama dan masakkan makanan yang mereka sukai kerana pastinya membuatkan mereka rasa dihargai.

“Kalau ada yang boleh bercuti pada waktu ini ambil cuti untuk beberapa hari agar dapat melayan anak-anak di rumah. Bagi yang bekerja dan biasanya pulang lewat malam, apa kata pada waktu ini pulang lebih awal agar dapat bersama anak-anak, berbual sekejap dan tanamkan keyakinan diri bagi yang merasakan tidak yakin dengan apa yang dilakukan ketika menjawab peperiksaan,” katanya.
Sebagai ibu bapa jelasnya, berikan harapan kepada anak-anak dengan memberikan mereka kata-kata positif.

Adik-beradik serta ahli keluarga lagi juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.

Ini seperti jangan membuat bising, rehatkan dia daripada melakukan kerja-kerja rumah, seperti menjaga adik-adik yang masih kecil, agihkan sementara kerja-kerja itu kepada adik-beradik yang lain, tidak menonton televisyen berterusan sedangkan anak sedang belajar bertungkus lumus.

“Elakkan juga daripada membuang masa dengan aktiviti di luar seperti membeli-belah, makan di luar, menziarahi saudara-mara dan sebagainya, serta elakkan anak-anak ini daripada tidur lewat akibat berjaga kerana belajar,” katanya.

Jelas Latifah, tidak ada sesuatu yang lebih bermakna bagi seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu dari ibu bapanya.

Inilah masanya ibu bapa luangkan lebih banyak masa berdoa supaya dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, begitu juga anak-anak perlu bersolat hajat untuk diberikan ketenangan dan diterangkan hati.

Apa pun menurut Latifah, kejayaan akademik bukanlah penentu pengukur kejayaan. Sekiranya anak tidak dapat menjulang kejayaan dengan baik beri mereka dorongan dan semangat jangan dimarahi.

“Sepatutnya ketika mereka belajar pun ibu bapa sudah tahu mengenai tahap akademik anak-anak mereka. Sekiranya setelah mencuba dan berusaha tetapi masih tidak berjaya ada jalan lain lagi bagi mereka.

“Setiap anak sebenarnya tidak sama kebolehan mereka dalam akademik. Ada yang cemerlang dan ada yang sederhana, itu yang ibu bapa perlu fahami,” katanya.

Sumber: Utusan

Tip tangani stres anak hadapi peperiksaan

SEKARANG musim peperiksaan, anak-anak kita ada yang baru selesai menghadapi SPM dan ada yang masih menduduki SPM dan STPM. Lazimnya musim peperiksaan akan memberikan tekanan atau stres, bukan sahaja kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan, tetapi stres juga dirasai oleh ibu bapa. Lebih kronik lagi cabaran ini, apabila ibu khususnya, yang akan lebih stres daripada anak yang menghadapi peperiksaan.

Lapan tip untuk mengelakkan anak stres menghadapi peperiksaan.

Pertama, apabila anak hendak menghadapi peperiksaan ibu bapa jangan stres. Aura atau getaran minda dan hati ibu bapa yang stres akan dirasai oleh anak yang menghadapi peperiksaan.

Kedua, berdoa. Bagi mengelakkan ibu bapa stres ketika anak berada dalam dewan peperiksaan, yang akan memberikan impak negatif kepada anak, hingga anak tidak boleh memberikan tumpuan di dalam dewan peperiksaan, banyakkan berdoa ketika peperiksaan sedang berlangsung.

Dalam dewan peperiksaan yang sunyi itu, yang ada hanya anak kita dengan Tuhan. Doa ayah dan ibu mustajab. Maka berdoalah, “Ya Allah ya Tuhanku, berikan ingatan kepada ilmu yang pernah anakku pelajari dan yang dia tahu, izinkan anakku memilih soalan yang dia kuasai ilmunya, dapatlah dia menjawab dengan baik, dan engkau lapangkan serta tenangkan hatinya.” Boleh juga mengerjakan solat hajat dan membaca Surah Yasin.

Ketiga, sebut apa yang ibu bapa hendak anak buat sahaja ketika mula melangkah ke luar dari rumah ke sekolah, untuk menghadapi peperiksaan. Contohnya, suruh anak cermat, tenang dan yakin semasa memilih soalan. Suruh anak berserah serta bertawakal kepada Allah, berselawat, cakap perkara yang baik-baik supaya tidak hilang fokus, banyakkan senyum, salam guru apabila berjumpa mereka dan mohon guru redakan ilmu yang diajarnya dan minta guru doakan.

Ingat, jangan sekali-kali, sebut yang kita tidak mahu anak buat semasa berhadapan dengan peperiksaan. Contoh, jangan lalai, jangan patah semangat, jangan kelam kabut dan sebagainya yang negatif. Hal ini sangat penting, kerana minda bawah sedar/minda segar anak akan ingat apa yang kita sebut. Kalau yang kita sebut senarai kata-kata negatif, yang negatiflah yang akan melekat di minda anak.

Keempat, ibu bapa yang anaknya menghadapi peperiksaan, selain meningkatkan ketakwaan; buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang, banyakkanlah bersedekah. Bagaimana kita gembirakan hati dan mempermudahkan urusan orang, Allah akan gembirakaan hati kita dan mempermudahkan urusan kita. Tempias kebaikan itu akan dapat kepada anak kita; dipermudahkan Allah ketika anak kita menghadapi peperiksaan.

Kelima, fokus kepada tujuan dengan niat kerana Allah untuk lulus dengan baik. Semoga anak kita cemerlang dalam peperiksaan ini, anak kita menjadi mukmin dan mukminah profesional, dan dapat memberikan manfaat dalam hidupnya, kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. Aktiviti yang bersandarkan Allah akan mendapat pertolongan Allah.

Keenam, fokus untuk reda Allah bukan penghargaan manusia, Beritahu anak-anak, kita sebagai ibu bapa, tidak bangga kalau anak mendapat 10A, tetapi tidak hormat dengan orang, dengan ibu bapa melawan, solat tidak buat, pendek kata tidak meningkatkan ketakwaan tetapi yang ditingkatkan kedegilan dengan Allah. Kelulusan akademik yang kita dapat itu, cuma sekeping kertas; tidak bermakna pun sijil itu kalau hanya untuk kebanggaan dengan sesama manusia bukan reda Allah.

Ketujuh, untuk anak yang menghadapi peperiksaan pula, ketika mendapat kertas soalan, lihat setiap soalan satu persatu dan fahamkan setiap soalan dahulu. Sebab semasa kita membaca semua soalan, akal kita juga turut membaca, dan dalam masa yang sama, minda bawah sedar/minda segar kita, mula memproses ilmu yang kita tahu dan kuasai, serta mengingatkan kembali fakta yang pernah dibaca atau diulang kaji.

Kelapan, berserah dan bertawakal kepada Allah. Percaya kepada qada dan qadar Allah, akan menghilangkan stres ketika menghadapi dan sesudah menghadapi peperiksaan. Sebab manusia yang mengejar penghargaan tidak fokus kepada kejujuran tetapi fokus kepada pencapaian. Sekiranya anak kita tidak mendapat keputusan seperti yang kita harapkan, tolong jangan bunuh imej diri anak dan jangan bunuh jiwa anak dengan kata-kata nista, serta jangan bandingkan pencapaian anak dengan anak-anak yang lain atau dengan anak orang lain.

Ingatlah anak kita bukan kuda lumba untuk kita tunjuk kepada orang dan bukan KPI kita, hingga sikap ibu bapa membuatkan anak menjadi stres ketika dan sesudah menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana ada ibu bapa yang hidupkan cita-citanya melalui anak. Sebab itu disuruhnya anak membuat bermacam-macam perkara yang ada kalanya tidak termampu oleh anak, hingga anak menjadi stres.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”

OLEH DR. MUHAYA MUHAMAD
Sumber: Utusan

0 comments: