17 November 2014
Mengapa Berlaku Kes Buli?
Sejak akhir-akhirnya kita digemparkan dengan kejadian kes buli dalam kalangan pelajar di sekolah, khususnya di sekolah berasrama. Mengapakah sekarang ini banyak berlaku kes buli, dan kes buli ini melibatkan tindakan kekerasan yang melampau.
Tiga pihak yang mesti mengambil tanggungjawab menghalang kes buli ini daripada berleluasa, iaitu pertama, ibu bapa. Kedua, guru-guru di sekolah. Ketiga, masyarakat dan media.
Kes buli sebenarnya satu menifestasi daripada status emosi anak-anak remaja kini, yang menunjukkan betapa banyaknya jiwa remaja yang kacau.
Jiwa kacau mereka itu telah menghasilkan tindakan negatif kepada masyarakat. EMOSI NEGATIF – TINDAKAN NEGATIF – HASIL KEHIDUPAN NEGATIF, (formula ‘Reset Minda’).
Kes buli biasanya berlaku kepada anak remaja di sekolah. Anak remaja yang dahulunya semasa bayi kita pandang dengan kasih sayang, dan sentiasa bahagia melihat anak kita yang baru dilahirkan itu, betapa cantik, comel dan manis, tetapi setelah menjadi remaja mereka menjadi ganas dan liar.
Manusia yang suka kepada keganasan bermakna dalam jiwanya banyak emosi ganas. Orang yang membuli, selalunya kurang kasih sayang, kurang harga diri, tidak dipuji selalu dikeji dan kurang keyakinan diri. Sebab manusia bertindak berdasarkan imej dirinya. Berdasarkan apa yang dikatakan kepada diri mereka, itulah yang mereka akan lakukan dan bertindak.
Biasanya anak akan membuat perkara yang sama, yang dilihat dan didengar daripada ibu dan ayahnya, yang biasa berlaku di rumah, terutama yang melibatkan dirinya secara langsung. Anak-anak yang membuli orang, berkemungkinan besar mereka pernah dibuli di rumah.
Kes buli di rumah oleh ibu bapa biasanya berlaku secara ridak disedari oleh ibu bapa, iaitu kes buli secara emosi, (tidak memuji, tidak menghargai, dan membanding-bandingkan anak dengan adik-beradiknya atau dengan anak orang lain. Kalau anak berbuat baik tidak puji, tetapi kalau anak berbuat buat salah dimarahi dengan teruk, dipukul dan dihukum sehingga mengaibkan anak).
Kita doakan, cari solusi, cari jalan apa yang kita patut buat untuk hentikan budaya membuli, bukan kita mengutuk dan menghukum anak-anak yang menjadi pembuli. Perlu dibuat satu kajian dan perbincangan dari hati ke hati antara guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terlibat dalam kes membuli.
Manusia kena tahu tujuan hidupnya. Tanya kepada anak-anak yang membuli, di manakah mereka 20 tahun akan datang?
Kebanyakan remaja mereka tidak tahu tujuan hidup mereka. Ibu bapa dan guru-gurulah yang bertanggungjawab membimbing mereka, agar mereka tahu tujuan dan hala tuju hidup mereka.
Bayangkan dua jenis ibu bapa, satu fokus kepada nilai di sisi Allah. Yang satu lagi sibuk fokus kepada perkara yang melibatkan pandangan manusia, ibarat membesarkan raksasa yang akan makan ibu dan ayahnya.
Sebab masa ibu bapa ada masa dan pelung menjadikan anaknya insan, ibu bapanya terlena dengan tipuan dunia, leka dengan pembinaan fizikal anak, bukan fokus kepada pembinaan kerohanian anak. Seperti kek, kalau tidak cukup atau salah bancuhannya, kek apabila masak, kek itu tidak menjadi secantik dan seelok yang diharapkan.
Sebagai seorang doktor, kes buli ini dilihat sebagai satu penyakit kepada masyarakat. Oleh sebab itu tiga cara merawatannya. Pertama, pencegahan. Kedua, merawat. Ketiga rehabilitasi.
Dari segi pencegahan, bina akhlah Islamiah bagi orang Islam kepada anak-anak sejak dilahirkan. Penekanan utama anak-anak mesti difahamkan tentang akidah dahulu, barulah tunjukkan cara amalannya. Contohnya solat, yang kita kena ajar dahulu kepada anak mengapa kita kena bersolat, bukan macam mana cara hendak mengerjakan solat.
Kedua, dari segi rawatan, jangan hukum orang membuli tetapi rasa sihanlah kepada mereka. Kita berhak marah tetapi maafkan mereka dan beri mereka peluang kedua. Sebab anak yang membuli ini suka membuli, kerana kurang akal dan kurang didikan yang baik.
Anak yang membuli ini tidak boleh dihukum buang sekolah, kerana akan merosakkan lagi hidupnya apabila mereka menyertai kumpulan yang lebih jahat di luar sekolah. Kita mesti menghalang mereka daripada terus membuli dengan cara baik; hantar mereka ke sekolah yang mendidik jiwa dan kerohanian, mereka perlu dirawat dari segi psikologi, minda dan rohani.
Ketiga atasi dengan cara rehabilitasi. Biasanya dalam perubatan apabila penyakit telah menjadi kronik, contohnya pesakit kencing manis, daging sudah busuk dan tidak dapat diselamatkan lagi, kecuali terpaksa dipotong kakinya (jalan terakhir). Begitu jugalah kes buli, jika sudah semakin teruk, biarlah undang-undang yang menghukum mereka.
Sesungguhnya kasih sayang dapat menyelesaikan banyak masalah. Kes buli yang kasar dan ganas itu jika diselesai secara ganas, akan menjaibertambah ganas. PERISTIWA NEGATIF – RESPONS POSITIF – HASIL KEHIDUPAN POSITIF (formula “Reset Minda’).
Tentukan akaun emosi orang yang kita hendak ajak ke arah kebaikan itu pun baik dan penuh kasih sayang. Maknanya kita tentukan orang yang kita hendak nasihat itu sayang kepada kita dahulu. Apabila kita memberikan nasihat pastikan kita menasihatinya, kerana kita sayang akan dia. Sebab emosi yang kita bagi kepada orang dapatdirasakan, sama ada apa yang kita cakap itu sampai atau tidak kepadanya.
Oleh: DR. MUHAYA MUHAMAD
Sumber: Utusan
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan