18 November 2014

Mudah Marah Kerana Menopaus


GOLONGAN wanita perlu mendapatkan maklumat berkaitan menopaus agar boleh menjalani kehidupan dengan tenang.

LIMA tahun lalu, seorang bekas guru di sebuah sekolah di Lembah Klang melalui satu fasa peralihan besar dalam hidupnya apabila mula mengalami simptom yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Dia mengalami masalah sukar tidur pada waktu malam, sering berasa letih dan mudah tertidur pada siang hari.

“Pada suatu ketika, saya rasa seperti hendak marah kepada ahli keluarga, rakan setugas dan anak-anak murid saya tanpa sebarang sebab-musabab.

“Selain itu, saya juga rasa panas badan seperti keadaan orang yang sedang demam tetapi situasi itu hanya di bahagian dada dan apabila melakukan aktiviti berat atau kerja lebih sedikit, saya pasti akan berpeluh. Peluh keluar lebih banyak berbanding biasa,” ujar Betty Toh Liew Sim, 56, ketika mula-mula mendapat simptom putus haid atau menopaus.


Wanita yang menjadi guru selama 35 tahun itu turut mengakui bahawa aktiviti hariannya sedikit terganggu akibat daripada masalah yang dihadapi terutama apabila mudah terlelap pada waktu pagi dan rasa keletihan akibat kurang tidur.

“Pada mulanya, saya tidak tahu punca sebenar kepada masalah tersebut dan beranggapan ia berlaku satu hingga dua hari sahaja. Selepas itu, ia akan kembali normal, namun jangkaan saya meleset apabila keadaan sukar tidur, letih dan mudah marah itu berlarutan hingga sebulan.

“Apabila keadaan tidak berubah, saya berjumpa dengan doktor pakar untuk mengetahui punca sebenar kepada masalah tersebut. Selepas itu, barulah saya sedar bahawa simptom-simptom yang dialami merupakan sebahagian daripada proses menopos,” luah bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, Selangor itu.

Hormon estrogen

Atas nasihat doktor pakar, Betty membuat keputusan untuk menjalani rawatan bagi mengurangkan kesan-kesan menopaus dengan mengambil hormon estrogen yang semakin berkurangan akibat proses semula jadi tersebut.

Walaupun menopaus merupakan suatu perkara semula jadi yang dialami oleh setiap wanita, pengetahuan mengenai cara menguruskan simptom-simptom putus haid sangat penting bagi menjamin kehidupan yang lebih teratur dan sejahtera, bukan sahaja untuk diri wanita itu tetapi orang sekelilingnya.

Betty memberitahu, kehidupannya semakin terurus apabila mampu mengendalikan simptom menopaus dengan baik dan beliau semakin aktif menjalankan kerja-kerja amal di dalam serta luar negara bersama suaminya, Malcolm Birch, 62, selepas bersara daripada perkhidmatan awam tahun lalu.

“Sekarang saya sudah boleh kawal perasaan marah, panas badan dan tidur malam saya kembali normal, malah rasa letih yang dialami juga berkurangan.

“Sepanjang mengalami simptom-simptom menopaus, suami saya banyak membantu dengan lebih bertolak ansur dan faham dengan apa yang sedang saya lalui,” katanya.

Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Kim Wong berkata, purata umur seseorang wanita biasa untuk mengalami menopaus ialah antara 45 hingga 50 tahun apabila kitaran haid mereka sudah berhenti.

Ia juga boleh berlaku lebih awal dalam sesetengah keadaan seperti mempunyai sejarah keluarga menopaus awal, merokok, pernah menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Menurut beliau, golongan wanita dinasihatkan menjaga diri pada awal menopuas. Jika tidak, katanya, mereka bakal berdepan penyakit yang sinonim dengan penuaan seperti osteoporosis, sakit jantung dan alzheimer.

“Menopaus bukan satu penyakit tapi proses biologi semula jadi yang dihadapi wanita apabila mencapai umur lebih 50 tahun. Bagi meningkatkan kualiti kehidupan sepanjang proses perubahan biologi ini, mereka dan keluarga perlu saling memahami.

Alternatif

“Pengetahuan yang berkaitan menopaus amat diperlukan bagi membantu golongan wanita dan keluarga mereka mencari kaedah perubatan profesional dan terapi alternatif,” katanya.

Wong menambah, ramai wanita sering mengabaikan proses menopaus kerana ia akan berlaku terhadap golongan itu. Tanpa disedari, mereka menanggung penderitaan secara bersendirian.

“Saya menasihatkan para wanita yang menjangkau usia 40 tahun dan mula mengalami gejala seperti kerap panas pada bahagian dada supaya berjumpa doktor pakar.

“Bagaimanapun, bagi mencegah wanita daripada menghidap penyakit berkaitan penuaan seperti osteoporosis, mereka patut bermula dari umur remaja lagi.

Pengambilan kalsium, vitamin D dan melakukan senaman dengan kerap dapat mencegah osteoporosis,” jelasnya.

Perkembangan teknologi masa kini telah meningkatkan jangka hayat golongan wanita kepada 77 tahun berbanding sebelum Merdeka iaitu 51 tahun.

Disebabkan itu, golongan wanita perlu menjaga diri dengan mendapatkan rawatan, selain mengambil multivitamin agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti.

Oleh MAHFUZ MOHAMAD
Sumber: Kosmo

0 comments: