15 November 2014

Ukuran Spesifikasi Nombor Pendaftaran Kenderaan

JPJ

“Rakyat Malaysia terlalu kreatif dalam mereka cipta bentuk dan saiz huruf serta angka yang terdapat pada nombor pendaftaran kenderaan masing-masing, ia sebenarnya boleh mendatangkan kekeliruan terhadap nombor dan angka yang tertera di nombor pendaftaran kenderaan itu,” ujar Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Wan Ramli Wan Daud.

Ukuran spesifikasi bagi nombor pendaftaran kenderaan dan bukan bertujuan untuk ‘mendera’ rakyat dan pengguna jalan raya, ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai dan pihak berkuasa supaya tidak keliru dengan nombor plat kenderaan jika dilihat dengan jarak tertentu

“Misalnya, jika berlaku kes kemalangan yang melibatkan langgar lari, mudah bagi saksi dan orang ramai untuk mengecam nombor plat kenderaan pelaku. Ia juga boleh mempercepatkan proses keadilan,” katanya.


Tegas beliau lagi, pihaknya hanya menjalankan tugas dengan cara menguatkuasakan undang-undang dan akta yang diperuntukkan kerajaan terhadap pengguna jalan raya.

“Dari segi operasi hingga ke penguatkuasaan undang-undang, memang kami akan ikut Akta Pengangkutan Jalan yang dilulus oleh kerajaan.

“Kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang dibahas di Parlimen sebelum ini dan kami hanya menjalankan tugas kami,” jelasnya lagi.

Oleh: FATHIN ATHIRAH HASLI
Sumber: Sinar Harian [12/11/2014]



Operasi nombor pendaftaran kesan salah laku

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menjelaskan operasi penguatkuasaan ke atas nombor pendaftaran kenderaan yang bermula pada 1 November 2014, adalah bagi memudahkan pihaknya mengesan pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, berikutan pelbagai pandangan dan kritikan berhubung operasi penguatkuasaan itu, pihaknya berkata nombor pendaftaran kenderaan merupakan medium kawalan keselamatan kepada tujuh kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dan kematian.

"Ia termasuklah tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu atau menunggang, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, dan memandu melebihi had laju yang dibenarkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, langkah kawalan ke atas tujuh kesalahan utama itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya identiti kenderaan dapat dikenal pasti melalui nombor pendaftaran yang terang, tidak mengelirukan dan mematuhi spesifikasi.

"Sebagai contoh, dalam banyak kes langgar lari, pesalah tidak dapat dikesan kerana mangsa atau pengadu tidak dapat menyatakan nombor pendaftaran kenderaan akibat kurang jelas atau sukar dibaca.

"Selain itu, operasi itu juga bertujuan mengesan kenderaan-kenderaan yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang digunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan jenayah atau mengelakkan daripada tindakan penguatkuasaan," katanya.

JPJ turut menjelaskan penguatkuasaan nombor pendaftaran kenderaan ini adalah untuk menanam rasa hormat dan patuh kepada undang-undang.

"Ia juga memastikan aktiviti penguatkuasaan dapat berjalan dengan lancar dan tindakan undang-undang dapat diambil dengan tepat ke atas pengguna yang melakukan kesalahan jalan raya tanpa sebarang kelemahan yang wujud seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu atau mengelirukan pihak berkuasa dan orang ramai," katanya.

JPJ turut menambah penguatkuasaan ini dijalankan secara menyeluruh tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak dan anggotanya turut diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang serta tidak terkecuali daripada tindakan jika didapati bersalah.

Sumber: Bernama, Sinar Harian [12/11/2014]

0 comments: