02 Disember 2014
Ribuan Peminat Akan Sertai Pameran Setem Remaja Dunia
Mereka sanggup terbang berpuluh-puluh ribu kilometer hanya semata-mata kerana setem. Nampak pelik bagi yang bukan pengumpul atau peminat setem, tetapi itu yang sering dilakukan oleh pencinta setem di seluruh dunia.
Yang dicari bukan saiz atau nilai setem tetapi falsafah, sejarah dan motif di sebalik setiap keluarannya hingga menjadikan ia satu hobi yang mampu menyatu dan menjadi jambatan hubungan dunia.
Walaupun kecil, padanya terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai antaranya kesenian, sains, forensik, matematik, sejarah, alam semulajadi dan segala-galanya yang boleh memupuk semangat cintakan negara serta pembelajaran tidak formal yang sangat bermakna.
Nilai dan pengaruh besar setem itu menyebabkan ribuan pencinta dan pengumpul setem di seluruh dunia datang berhimpun selama seminggu di Kuala Lumpur untuk menyertai Pameran Setem Remaja Dunia Malaysia 2014 (KLwyse) awal Disember 2014 ini.
PAMERAN SETEM REMAJA DUNIA PERTAMA
Kali pertama diadakan di Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia dan 160 tahun setem digunakan di Malaysia, ia bakal disertai lebih 40 buah negara yang menjadikannya penganjuran filateli terbesar di Asia Tenggara, menurut Presiden Persatuan Filatelli Malaysia (PFM) Datuk Annuar Bashah Sohore.
Lebih 100,000 setem akan dipamerkan dari negara-negara yang terlibat antaranya Bangladesh, Togo, Uganda, Namibia, Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, Uruguay, United Kingdom, Mexico, Iran, Sepanyol serta lebih 30 buah negara Asia.
"Ia bagi memupuk minat terutama generasi muda dalam mengumpul setem yang merupakan khazah negara yang perlu dijaga agar ia tidak tidak hilang dan terlepas ke tangan orang luar," katanya kepada Bernama.
Ujarnya banyak surat dan setem lama seperti semasa pemerintahan kerajaan Melayu Kedah berada di tangan pengumpul di luar negara sedangkan ia menjadi khazanah dan sejarah negara yang sangat berharga.
Ini termasuk setem pertama yang digunakan di Negeri-Negeri Selat di bawah Syarikat Hindia Timur Inggeris, 160 tahun lepas.
Setem itu kini menjadi milik seorang daripada pengumpul dari luar negara yang dibelinya dengan nilai jutaan ringgit. Setem wajah Queen Victoria pada umur 15 tahun itu diburu oleh ramai pengumpul setem dunia.
"Setem berusia 160 tahun itu akan dipamer dan menjadi antara tarikan yang menanti pada pameran ini dan tidak wajar dilepaskan oleh pencinta setem dan orang ramai bagi menyingkap sejarah setem di negara kita," katanya.
PERTANDINGAN SETEM
Selain pemeran, pertandingan setem juga diadakan dengan penyertaan 34 buah negara yang melibatkan peserta berumur sehingga 21 tahun dan peserta dewasa dengan pelbagai tema yang mewakili negara masing-masing.
Seramai 300 peserta akan bertanding dan Malaysia sendiri diwakili oleh 22 peserta remaja dengan pelbagai tema antaranya alam sekitar dan konsep 1Malaysia.
Juri profesional antarabangsa akan melihat daripada pelbagai sudut antaranya penceritaan berdasarkan tema yang dipilih termasuk sejarah dan pengisiannya.
"Mereka perlu menghantar minimum 16 muka depan dan belakang untuk dinilai. Peserta yang bertanding wajib memasuki pertandingan di peringkat negara masing-masing terlebih dahulu sebelum boleh masuk ke pertandingan antarabangsa," katanya dan menambah bahawa tiga pemenang utama akan membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa.
Bukan sekadar pertandingan, ia bertujuan memupuk budaya hubungan antarabangsa kerana persahabatan melalui setem tiada sempadan, katanya.
Pameran yang diadakan Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 hingga 6 Dis 2014 ini adalah anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, PFM dan Pos Malaysia Berhad.
Sempena pameran itu juga, Pos Malaysia akan mengeluarkan enam set setem lembaran mini khas pada setiap hari pameran dengan tema berbeza iaitu Bangunan Warisan, 160 Tahun Penggunaan Setem Di Malaysia, Flora , Fauna, Tarian Kebudayaan dan Cerita Lagenda Melayu.
Tarikan lain yang menanti antaranya "Court of Honour" yang menampilkan koleksi terpilih pemenang pingat emas acara Setem Sedunia serta setem daripada arkib Pos Malaysia.
Setiap pengunjung juga akan mendapat satu pasport secara percuma yang membolehkan mereka pergi ke setiap booth negara pempamer bagi mendapatkan setem serta cop negara berkenaan.
WAKIL REMAJA MALAYSIA
Seorang peserta remaja, Mohd Azharudin Md Azmi, 21, bakal membawa tema konsep 1 Malaysia dalam pertandingan setem remaja dunia itu.
Beliau yang pernah memenangi pingat perak pada pertandingan peringat remaja Asean di Singapura pada tahun 2007, berharap dapat memperbaiki tempat yang lebih baik pada pertandingan remaja dunia kali ini.
"Memandangkan ia tahun terakhir peringkat remaja yang boleh disertai, saya berharap ia akan membuahkan hasil," katanya yang membuat persiapan sejak dua tahun lepas.
Antara yang akan dipaparkan ialah Prinsip 1 Malaysia, tentang kestabilan dan keamanan yang dikecapi Malaysia, rakyat yang bersatu, dasar kerajaan yang mendahulukan rakyat dan perkara-perkara yang berkaitan.
"Setem-setem yang dipilih kemudian disusun mengikut kronologinya menjadi satu penceritaan berdasarkan tema tersebut," katanya yang juga pelajar bidang undang-undang di Universiti Islam Malaysia.
Beliau yang mula meminati hobi mengumpul setem sejak di tingkatan dua berkata pertandingan di luar negara yang disertai sebelum ini banyak membuka matanya untuk melihat nilai sebenar setem.
Semangat cintakan negara yang tinggi sentiasa ditonjolkan oleh peserta-peserta yang bertanding antaranya Thailand yang berbangga dengan sistem beraja yang dimiliki begitu juga Brunei dan Indonesia.
"Ini secara tak langsung membangkitkan semangat cintakan negara kepada para peserta dan ini yang sangat tinggi nilainya," katanya.
Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian
Pos Malaysia akan meraikan sambutan 160 tahun penggunaan setem di negara ini.
KLwyse imbau nostalgia silam
MENGUMPUL barangan lama seperti setem mampu mengimbau kembali nostalgia yang pernah dilalui seseorang pada masa silam.
Aktiviti tersebut merupakan satu hobi yang agak popular pada zaman sebelum terbitnya pelbagai aplikasi canggih yang meragut aktiviti sosial dalam masyarakat.
Hobi ini dapat memberikan pelbagai pendedahan kepada individu tentang budaya, sejarah dan lokasi sesuatu tempat berdasarkan setem yang dikumpul.
Terdapat pelbagai motif atau objek yang tertera pada kepingan setem yang dahulunya boleh didapati dengan harga serendah 10 sen.
Pada zaman tersebut, budaya mengutus surat kepada kenalan atau ahli keluarga menjadi amalan dalam kalangan masyarakat kerana ia merupakan satu wadah untuk berhubung.
Bagi menghidupkan dan mengimbau kembali memori tersebut, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan menganjurkan satu pameran filateli terbesar di dunia yang melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara bermula pada Isnin ini.
Program yang diberi nama Pameran Setem Remaja Dunia Malaysia (KLwyse) 2014 itu akan berlangsung selama enam hari bermula 1 Disember ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Tarik minat
Acara yang julung-julung kali diadakan itu bukan sahaja memartabatkan nama negara di mata dunia tetapi cuba menarik minat belia untuk menyemai semangat cintakan negara.
KLwyse 2014 yang dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Persatuan Filateli Malaysia dan Pos Malaysia itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, menjadi tuan rumah dalam satu pameran bertaraf global buat pertama kalinya merupakan satu penghormatan besar buat negara.
Pada masa yang sama, KLwyse 2014 bertujuan mempromosikan nama Malaysia di serata dunia.
“Pameran ini diadakan bagi menghidupkan kembali minat ahli filateli dalam penyertaan pelbagai acara yang dianjurkan.
“Kami harap, KLwyse 2014 dapat memberi pendedahan dan mendidik masyarakat khususnya generasi muda melalui filateli tentang sejarah negara khususnya isu budaya, sejarah dan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku,” jelasnya.
Iskandar Mizal menjelaskan, mengumpul setem atau filateli perlu diberi suntikan baharu agar ia menjadi satu hobi yang popular dan mengujakan.
Selain sambutan 160 tahun penggunaan setem di Malaysia, acara ini juga bertujuan memupuk, mengeratkan hubungan dan kerjasama yang erat dalam kalangan ahli komuniti filateli antarabangsa serta pentadbir pos daripada seluruh dunia.
Terdapat lebih daripada 30 ruang pameran penjual setem dan pentadbir pos dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Bangladesh, Lithuania, Azerbaijan, Namibia, Burundi, Afrika Selatan, Guinea, Guinea-Bissau, Mozambique, Kepulauan Solomon, Togo, Uganda dan Filipina, sekali gus melibatkan 207 pempamer daripada 34 buah negara.
Koleksi terpilih
Antara tarikan pameran itu ialah Court of Honour yang akan menampilkan koleksi terpilih pemenang-pemenang pingat emas dalam pelbagai acara setem sedunia selain mempamerkan koleksi setem daripada Pos Malaysia.
Iskandar Mizal berkata, pihaknya akan memperkenalkan produk khas di Ruang Pameran Pos Malaysia bersempena dengan acara gilang-gemilang tersebut.
“Sebanyak enam lembaran mini setem akan dilancarkan bermula pada hari pertama pameran yang bertemakan Bangunan Warisan manakala tema 160 tahun penggunaan setem pos di Malaysia pada hari kedua.
“Lembaran mini yang ketiga pula bertemakan Flora dan tema Fauna akan dikeluarkan pada 4 Disember 2014 yang pastinya menggambarkan negara ini,” jelasnya.
Tarian Kebudayaan akan menjadi tema pada hari kelima manakala Cerita Legenda Melayu akan menjadi tema pada hari terakhir pameran.
Lembaran mini ini boleh didapati dengan harga RM5 seunit.
Selain pameran dan acara filateli, pelbagai aktiviti dirangka untuk menarik kehadiran generasi muda pada program ini seperti lukisan doodle, cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik selain persembahan artis terkemuka.
Pos Malaysia tidak menetapkan sasaran kehadiran pengunjung namun berharap masyarakat Malaysia akan memberikan sokongan pada program itu.
Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan