26 Februari 2015

Perkhidmatan Kereta Api Koc Kelas Tiga Percuma Di Thailand


Rakyat Thailand yang menggunakan perkhidmatan kereta api International Express kelas ketiga tanpa sebarang caj.

Pengalaman merentasi dua negara dalam tempoh 14 jam tidak mungkin dapat dilupakan sesiapa sahaja waima kanak-kanak. Apatah lagi sepanjang perjalanan mata dijamu dengan pelbagai gelagat dan ragam manusia.

Peluang menaiki koc tren kereta api sepanjang 300 meter dari Butterworth-Padang Besar, Malaysia ke Bangkok, Thailand baru-baru ini memberi peluang kepada penulis mendekati sistem pengangkutan itu secara lebih dekat.

Hasil pemerhatian penulis mendapati, tren tersebut menyediakan beberapa koc khusus untuk penumpang mengikut kelas.


Di satu sudut, kelihatan seorang warga emas yang mempunyai sosok tubuh seperti seorang petani. Deria pendengarannya masih tajam ketika diajukan soalan.

“Pak cik berulang-alik selama 40 tahun menaiki tren ini,” jawabnya ringkas ketika ditemui di koc kelas ketiga.

Menyelami kehidupan warga emas itu, dia merupakan petani yang bekerja di bawah sebuah syarikat taikun perladangan sawah padi terbesar di negara Gajah Putih itu.

“Kebiasaannya pak cik berulang alik sekali dalam seminggu dari stesen Pitchaburi ke stesen Bangsue, Thailand.

“Jarak perjalanan untuk sampai ke kawasan rumah mengambil masa selama dua jam,” jelasnya.

Perjalanan singkat itu menyebabkan Nattapong Chai, 58, setia menggunakan perkhidmatan itu. Pitchaburi merupakan sebuah pekan kecil. Kebanyakan penduduk seusianya menyara kehidupan melalui sektor perladangan.

“Dahulu kami suami isteri bekerja bagi menyara sembilan orang anak.

“Kini hanya pak cik seorang memandangkan isteri tidak lagi mampu bekerja sejak mengalami masalah kesihatan lemah jantung,” katanya.

Sejak awal tahun 1980-an dia telah menyara kehidupan keluarga. Nada suaranya mula kedengaran perlahan berkecamuk dengan emosi sebak.


KONDUKTOR tiket memeriksa tiket penumpang yang menggunakan khidmat tren lebih daripada dua jam.

Tilam lantai

Ditebak soalan kehidupan silam, Nattapong menyifatkan suasana dalam koc itu tidak ubah seperti kehidupan yang dilaluinya.

Ruang yang sempit dan suram dalam koc itu hanya untuk penumpang kelas bawahan yang memuatkan hampir 40 orang.

Meskipun ada penumpang terpaksa berulang alik menaiki tren itu, mereka tidak merungut kerana tiada caj dikenakan. Lumrahnya, apabila sesebuah perkhidmatan ditawarkan secara percuma, maka suasana di dalamnya seperti tin sardin. Ruang pejalan kaki dan tangga tren dijadikan tempat duduk bagi penumpang yang menaiki kereta api dari Hatyai hingga ke Bangkok.

Adakalanya lantai koc turut dijadikan tilam bagi tempoh perjalanan sejauh enam jam. Mereka sanggup berbuat demikian kerana tren itu satu-satunya pengangkutan darat percuma untuk golongan seperti mereka.

“Rata-ratanya penumpang koc kelas ketiga terdiri daripada warga emas. Kami selesa walaupun keadaannya agak sesak.

“Pada awal pagi, pak cik sudah beratur bersama jiran-jiran yang juga merupakan rakan sekerja pak cik.

“Di ruang koc inilah kami berkongsi kegembiraan, rasa suka duka dan menyanyi bersama bagi menghilangkan rasa penat” ujar Nattapong lagi.

Selesa

Sifat penyayang bapa kepada sembilan anak itu menyebabkannya pernah berdiri selama empat jam semata-mata mahu memberi tempat duduk kepada seorang wanita hamil.

Koc khas percuma itu khusus disediakan oleh kerajaan Thailand kepada rakyat miskin berbanding koc kelas pertama dan kedua.

“Tuan, puan sila tunjukkan tiket anda,” sapa seorang konduktor kelas kedua.

Ketegasan petugas yang lengkap berpakaian seragam itu membuatkan penumpang terus menunjukkan tiket mereka.

Itu senario biasa apabila berada di koc kelas kedua. Rata-rata penumpang membayar harga tiket mengikut destinasi masing-masing.

Pengawal koc kedua yang mahu dikenali sebagai Piyapong Ja, 47, memberitahu, koc tersebut terlalu jauh berbeza dengan kelas ketiga.

Beliau yang telah berkhidmat dengan kereta api Thailand sejak 25 tahun lalu fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Seorang pelancong dari Australia, yang hanya dikenali sebagai Joseph Mazz, 45, memberitahu, ia merupakan pengalaman pertama menaiki kereta api International Express koc kelas kedua. Meskipun perkhidmatan koc tidak setara dengan menaiki pesawat, sekurang-kurangnya dia berasa selesa dan puas hati.

“Saya menaiki tren ini dari Hatyai menuju ke Bangkok.


PENUMPANG koc kelas ketiga ini tidur nyenyak tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

“Sepanjang perjalanan, saya berpeluang menyaksikan keindahan pemandangan kampung petani dan gunung-ganang. Perjalanan ini sungguh mengujakan dan tidak membosankan,” jelas Joseph.

Suasana persekitaran boleh dilihat dari tingkap yang terbuka bagi kelas kedua.

Maka tidak hairanlah ramai penumpang menaiki kelas kedua untuk memilih tempat duduk di tepi tingkap selain ruang kabin yang mempunyai kerusi untuk keselesaan.

Adakalanya pelancong juga tertarik dengan kelas kedua kerana pelbagai lapisan masyarakat Thailand turut menaiki koc ini.

Jam menunjukkan pukul 7 malam. Penulis berjalan menuju ke arah koc paling utama.

“Sawadikap!” ungkapan pertama pelayan kepada penumpang sekitarnya. Ungkapan tersebut membuatkan penulis terhenti dan memerhati sekeliling.

Penulis seolah-olah berada di dalam penerbangan kelas pertama kerana suasana dan persekitaran yang mewah.

Saiz kerusinya jauh lebih besar dengan kain selimut yang tersusun rapi. Bantal dan katil sentiasa dikemaskan oleh pelayan.

Dari menu makanan sehingga ke tempat tidur, keperluan penumpang dijaga rapi bagi memastikan perjalanan bagi kelas pertama menjadi pengalaman terindah.

Persekitaran koc kelas pertama amat berbeza sekali dengan koc kedua dan ketiga.

Perkhidmatan kelas pertama dari segi layanan, harga tiket, ruang bagasi, makanan serta kemudahan cukup dititikberatkan.

“Penumpang dalam koc ini diberi layanan istimewa.

“Sepanjang perjalanan, kami sentiasa memastikan penumpang selesa dengan apa yang disediakan di dalam koc ini,” kata seorang pelayan yang mahu dikenali sebagai Moon Sai, 24.

Layanan mesra dan senyuman pelayan koc yang terpancar pada wajah masing-masing membuatkan keletihan yang dirasai penumpang terus hilang.

Di satu sudut lain, kelihatan sebuah keluarga begitu ceria menikmati makanan panas yang di tempah melalui pesanan berbayar.

Teks dan foto IRWAN MAJID
Sumber: Kosmo

0 comments: