14 Februari 2015

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (1931 - 2015)



Sepintas lalu, perjalanan Seorang Ulama yang disegani dunia.

SEBUT sahaja nama “Tok Guru” sudah pasti auranya sangat kuat khasnya terhadap rakyat Kelantan dan juga seluruh masyarakat dunia yang sentiasa dinanti-nantikan apa jua khabar mengenai beliau.

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat dilahirkan pada hari Sabtu iaitu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Sebelum menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau seorang guru agama yang aktif dan pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi.


Jadi tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran ‘Tuan Guru’ atau ‘ Tok Guru’ yang melekat sehingga sekarang termasuk kanak-kanak sekalipun mengenalinya.

Mengenai pendidikannya, Nik Aziz mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka.

Bapanya, merupakan keturunan Raja Jembal, lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama dan terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Nusantara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Aminah Majid.

Pada masa itu juga, Nik Aziz berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Datuk Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) mengenai ilmu Fekah.

Nik Aziz sewaktu berusia 9 tahun pula, dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu.

Beliau menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Nik Aziz masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih berusia darinya.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Kemudian beliau juga menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan pelbagai lagi.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah.

Kemudiannya, pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir sebelum menyambung pelajaran pada tahun 1958 di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan Pengajian Hahasa Arab.

Selepas itu, beliau terus menimba ilmu menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama dua tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanah air Februari
1962.

Pada usia 34 tahun (1962), beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu.

Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki. Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Pada tahun 1962 juga beliau membuka sekolah yang diberi nama sebagai Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka dengan menggunakan tanah wakaf diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom.

Beliau juga pada sebelah petang dan sebelah pagi berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin.

Manakala pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama dua tahun sebelum meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu pada 1 Januari 1964.

Menyentuh mengenai dunia politiknya pula, Nik Aziz mula menjadi ahli Pas sejak tahun 1967 dan pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa).

Selanjutnya, pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Adun Semut Api. Kemudiannya, pada tahun 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat sehingga tahun 1995 kemudian dilantik sebagai Mursyidul Am Pas mengambil alih amanah ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990 dan di sinilah bermulanya era kepimpinan ulama.

Tok Guru seorang pemimpin yang sangat petah bercakap kerana setiap yang dituturkannya mahupun perumpamaan yang digunakan dalam ceramah mahupun kuliahnya mudah untuk difahami.

Dialek Kelantannya yang pekat dan juga bait-bait ayat digunakan dalam setiap tutur bicaranya dapat memikat hati para pengikutnya dan ia mudah melekat dalam sanubari apatah lagi ketika sesi kuliah mingguan pada hari Jumaat yang di adakan di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan Pas.

Perkongsian minda beliau bukan sekadar dimanfaatkan oleh penyokong tempatan bahkan bahan kesetnya (rekod ceramah ketika itu) tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand sehinggakan menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Tidak terhenti di situ sahaja, biarpun sudah tidak menjadi menteri besar lagi selepas melepaskan jawatannya selepas PRU13 dan dalam keadaan kesihatan agak tidak berapa elok beliau masih lagi meneruskan ceramah biarpun tidak secara tetap.

Di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan Tok Guru.

Ketika era pentadbirannya juga Nik Aziz adalah seorang yang hebat. Kehebatan yang dikurniakan ALLAH SWT kepada Mursyidul Am Pas itu tidak dapat dinafikan apabila pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) dan menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.

Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada 2009, beliau antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”.

Oleh: Ustaz Abdullah Khairi
Sumber: Facebook Ustaz Abdullah Khairi

Keistimewaan Tuan Guru.

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (10 Januari 1931 – 12 Februari 2015) merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.

Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia.

Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Info Latar Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936
Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan
Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu
Universiti Deoband, India – 1952
Universiti Lahore, Pakistan - 1957
Universiti al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
Universiti al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Mampu berkomunikasi selain Bahasa Melayu seperti bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Sumber: Wikipedia

Meninggal Dunia

Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka jam 9.40 malam pada 12 Februari, 2015.

Nik Abduh mengesahkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi seluruh kaum keluarga pada jam 9.40 malam selepas sejam dibawa pulang dari HUSM.

Allahyarham telah menjalani rawatan hampir sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM.

Sumber: Sinar Harian

Semoga ALLAH merahmati setiap perjalanan, perjuangan dan ilmu yang Tok Guru sampaikan.

Sesungguhnya dari DIA kita datang dan kepada DIA kita kembali.
Innalillahiwainnailaihirojiun... al-Fatihah.

0 comments: