25 Mac 2015
Fungsi Landskap Terapi Hospital
Hospital Serdang antara institusi kesihatan negara yang menggunakan konsep landskap terapi untuk kawasan luaran hijaunya.
PADA masa kini, kita sering melihat ruang landskap yang dilabelkan sebagai laman terapi apabila berkunjung ke hospital. Ada yang berjaya memenuhi spesifikasi ruangan tersebut namun, ada juga sebaliknya.
Ruang landskap yang dipenuhi tumbuhan, batuan untuk refleksologi dan ruang berteduh mungkin tidak cukup untuk dianggap sebagai landskap terapi.
Kawasan hijau yang mempunyai ciri-ciri terapi sering menjadi pilihan apabila mereka membentuk landskap terutamanya di institusi kesihatan negara.
Jika dikaji semula sejarah, konsep landskap seperti ini bermula dari institusi kesihatan di Eropah yang menyediakan bantuan perubatan kepada pesakit. Landskap yang terdapat di institusi kesihatan berkenaan pada masa itu juga dipenuhi dengan tumbuhan untuk digunakan sebagai ubatan.
Landskap berciri terapi di institusi kesihatan didefinisikan sebagai ruang yang dibina dengan intervensi terapi melalui aktiviti, fasiliti dan kerjasama pelbagai pakar bertujuan untuk membantu proses baik pulih.
Di Malaysia, pelbagai kemajuan dari segi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat dilihat setiap tahun. Hakikat ini juga jelas kelihatan dalam usaha mewujudkan kawasan luaran hijau di hospital kerajaan di setiap negeri.
Institusi kesihatan swasta juga menyedari bahawa landskap yang menarik dan berkonsepkan terapi berpotensi memikat hati lebih ramai pelanggan selain daripada perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.
Landskap luaran hijau yang dibina dengan baik bukan sahaja menyediakan pandangan menarik tetapi mampu mengurangkan tekanan terutamanya kepada para pesakit.
Banyak kajian telah membuktikan bahawa pendedahan kepada landskap berciri terapi mampu membantu proses baik pulih dan mengurangkan emosi bersifat negatif.
Satu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pesakit yang didedahkan kepada landskap seperti ini mampu mengurangkan waktu tinggal di hospital berbanding dengan pesakit yang berada sepenuhnya di wad dan tiada pandangan ke arah landskap hijau.
Landskap terapi perlu direka sebagai kawasan luaran yang mampu berfungsi untuk menyokong pemulihan dan sebagai pencetus interaksi sosial. Ia turut memberi penekanan dalam konteks psikologi dan fizikal mereka yang menggunakan landskap terapi tersebut.
Menurut kajian yang dijalankan mengenai taman hospital di Malaysia oleh Universiti Putra Malaysia, beberapa keputusan awal dapat dikenal pasti sebab landskap berciri terapi di institusi kesihatan tidak digunakan dengan sebaiknya.
Landskap luaran hijau yang dibina dengan baik mampu memberikan pandangan yang menarik kepada para pesakit.
1. Landskap direka bentuk tanpa memikirkan faktor cuaca tropika:
Reka bentuk yang diaplikasikan kebanyakannya mengikut contoh dari Barat yang beriklim sejuk dan pengguna yang sukakan cahaya matahari. Bagi negara seperti Malaysia, kemudahan yang diadakan di landskap terapi perlu boleh digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca.
Ruang berehat perlu disediakan teduhan dan kawasan pejalan kaki mempunyai bumbung yang menghubungkan bangunan serta taman di mana pengguna masih lagi boleh menggunakan kawasan taman pada masa cuaca panas ataupun hujan.
2. Kesukaran untuk sampai ke taman:
Pengguna kelainan upaya perlu diberi keutamaan untuk mudah sampai ke taman. Pengguna yang berkerusi roda, bertongkat dan mereka yang kurang upaya sepatutnya boleh bergerak dengan mudah di taman tanpa bantuan.
Aspek yang dipandang remeh pihak berwajib ialah longkang kecil antara bangunan dan taman yang tidak ditutup. Ia akan menghadkan pesakit yang berkerusi roda ataupun orang tua untuk melangkah ke taman.
Permukaan pejalan kaki di taman juga perlu rata dan tidak menggunakan bahan batuan. Walaupun kelihatan cantik, ia menyukarkan golongan bertongkat dan berkerusi roda.
3. Informasi mengenai lokasi taman terapi:
Maklumat mengenai kewujudan taman terapi dan lokasi perlu dinyatakan dengan jelas untuk memberitahu para pengguna tentang wujudnya taman seperti itu. Antara cadangan yang boleh dibuat adalah memasukkan maklumat mengenai taman itu pada peta lokasi hospital.
Ramai pengguna yang mendakwa bahawa mereka tidak tahu wujud taman sedemikian di hospital yang mereka kunjungi. Arahan ke taman juga boleh dimasukkan ke dalam brosur dan ia perlu dalam bentuk paling mudah.
Ruang yang menerapkan unsur air dan ruang yang separa terlindung menyediakan suasana tenang di sesebuah taman terapi.
4. Adakan pelbagai bentuk ruang dan fasiliti di taman:
Aspek psikologi dan sosial seperti keperluan ruang untuk mencari ketenangan, bersendirian serta berinteraksi dengan orang lain dianggap penting bagi pembentukan taman terapi.
Laman terapi seharusnya mampu berfungsi untuk pelbagai acara seperti ruang berkumpul, boleh bertindak sebagai ruang sesi terapi dan ruang sokongan sosial.
Susun atur yang disediakan perlu mengambil kira keperluan pesakit, kakitangan dan pelawat hospital.
Contoh ruang yang boleh diadakan ialah seperti kawasan untuk para kakitangan berehat atau makan tengah hari dan terdapatnya kawasan yang mempunyai teduhan untuk para pelawat menunggu.
5. Aspek penyelenggaraan yang teratur:
Aspek yang sering diabaikan apabila sebuah landskap siap dibina adalah penyelenggaraan. Aspek penyelenggaraan seperti penjagaan tumbuhan, memastikan fasiliti yang cukup dan elemen air yang sentiasa berfungsi dapat memastikan sebuah taman terapi berjaya serta digunakan setiap masa.
Taman yang sentiasa diselenggara rapi juga memberikan tanggapan keadaan yang selamat dan mendorong pesakit untuk keluar serta menikmati suasana di taman. Keperluan asas seperti ruang penyimpanan alatan penyelenggaraan juga perlu difikirkan apabila mereka bentuk taman di hospital.
Apa yang boleh disimpulkan, taman terapi di hospital mampu memberi pelbagai di segenap peringkat pengguna.
Namun, kepentingan menimbulkan kesedaran dalam kalangan kakitangan institusi kesihatan sendiri tentang kepentingan kawasan luaran hijau berciri terapi harus diberi penekanan.
Mereka perlu tahu tentang fungsi taman yang dibina dan bagaimana ruang hijau yang ada boleh digunakan sepenuhnya terutama bagi membantu proses baik pulih pesakit.
Ruang landskap terapi yang diadakan di institusi kesihatan juga mampu menjadi aset. Selain daripada ciri terapi atau restoratif yang disediakan, ruang itu boleh menjadi jaringan dengan masyarakat sekeliling melalui aktiviti serta fasiliti disediakan.
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesihatan,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan