14 Mac 2015
Menara Condong Teluk Intan Diisytihar Warisan Kebangsaan
Majlis Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2015 di Dataran Menara Condong, Teluk Intani.
SAMBUTAN Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 peringkat kebangsaan di Teluk Intan Sabtu 28 Februari, 2015 menyaksikan detik bersejarah apabila Menara Condong Teluk Intan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.
Pengumumannya dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disambut sorakan gembira oleh kira-kira 20,000 tetamu yang menghadiri majlis tersebut.
Pengisytiharan itu turut disaksikan 50 pengamal media dari lapan buah negara iaitu Singapura, Filipina, India, Jepun, Arab Saudi, Iran, Australia dan Rusia yang dijemput khas ke majlis itu.
Pengumuman itu disifatkan langkah pertama ke arah hasrat untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi menjadikan menara tersebut sebagai salah satu Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Jika berjaya, Menara Condong itu bakal tersenarai bersama Bandar Melaka, Pulau Pinang, Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Kinabalu yang telah pun mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia.
Perkara pertama yang pastinya terlintas di fikiran kita apabila melihat Menara Condong setinggi 25 meter dan mempunyai 110 anak tangga itu adalah binaannya yang condong, mirip The Leaning Tower of Pisa di Itali.
Mendalami sejarah pembinaannya, struktur yang dibina pada 1885 dahulunya dikenali sebagai Menara Jam, menjadi petunjuk waktu kepada penduduk di bandar ini.
Menara tersebut juga pernah menjadi penunjuk arah kepada laluan kapal ke bandar ini suatu masa dahulu.
Selain itu, menara itu berfungsi memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana terdapat tangki air untuk kegunaan pada musim kemarau selain mempunyai kemudahan untuk memadam api.
Timbalan Perdana Menteri ketika membuat pengisytiharan tersebut menyifatkan struktur tersebut sebagai lambang perpaduan rakyat Teluk Intan.
"Ini kerana menara ini wujud hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu," katanya.
Pengisytiharan tersebut pastinya menaikkan lagi imej Menara Condong tersebut yang sememangnya menjadi ikon dan tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Pengisytiharan Menara Condong yang menjadi ikon bandar ini sebagai Warisan Kebangsaan membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan masyarakat Cina di daerah itu memajukan Teluk Intan sejak lebih 100 tahun lalu.
Malah Timbalan Perdana Menteri memuji seni bina menara itu yang berkonsepkan sebuah pagoda yang memanifestasi pengaruh budaya Cina terutamanya pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.
Pemimpin tempatan turut mengalu-alukan pengisytiharan tersebut sambil mencadangkan diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk menguruskan Menara Condong itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin umpamanya mencadangkan ditubuhkan Majlis Pelancongan Menara Condong Teluk lntan bagi memastikan pengurusannya lebih berkesan dan telus.
“Banyak program boleh dilaksanakan menerusi penubuhan majlis ini di samping menghasilkan produk-produk pelancongan yang boleh menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Semoga Menara Condong Teluk Intan terus berdiri gagah merentasi abad dan menjadi saksi kebangkitan bandar ini mencipta kejayaan dan kemajuan untuk manfaat rakyat khususnya penduduk tempatan yang sememangnya dahagakan pembangunan.
SAYED MOHD. HESHAM
Sumber: Utusan [04032015]
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan