07 April 2015

Kopi Bukan Sekadar Kecergasan

Kopi
Kopi Kajian mendapati kopi memiliki pelbagai sifat terapeutik.

TAHUKAH anda, sesetengah orang lelaki mendapati ereksi mereka bertambah baik setelah minum kopi? Sesetengah orang pula berpandangan, minum kopi sehingga lima cawan sehari akan mengurangkan libido dan seterusnya sukar untuk mengalami ereksi mantap.

Kopi merupakan herba bersifat perangsang adrenal. Maksudnya ialah ia meningkatkan perembesan hormon kortisol dan adrenalina yang masing-masing dirembes oleh adrenal cortex dan adrenal medulla.

Kedua-duanya merangsang Sistem Saraf Simpatetik yang antara lain bersifat mengecutkan arteri dan seterusnya meningkatkan tekanan darah.


Peningkatan tekanan darah yang biasanya bersifat sementara ini dipercayai membantu membesarkan zakar dan memantapkan ereksi pada sesetengah orang.

Ia juga dipercayai tingkatkan kesensitifan zakar terhadap usapan/sentuhan. Peningkatan kesensitifan juga dipercayai berlaku pada faraj kaum wanita.

Kesan yang sama dialami oleh kedua-dua jantina dipercayai boleh diperoleh dengan minum air halia yang ditambah kayu manis atau makan makanan bercili.

Sebuah kajian berbentuk soal selidik seperti dilaporkan dalam artikel berjudul Sexual Function in The Elderly mendapati pengambilan kopi sekurang-kurangnya secawan sehari dikaitkan dengan aktiviti seks yang lebih tinggi pada golongan wanita dan meningkatkan kadar potens (potency rate) pada golongan lelaki.

Artikel tersebut dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (1990).

Maksud potens di sini ialah keupayaan mengalami ereksi dan ia bertahan lama. Potens ialah lawan kepada impotens yang bermaksud ketidakupayaan untuk mengalami dan mengekalkan ereksi ketika mengadakan hubungan biologi. Sesetengah orang mengalami kedua-dua keadaan secara serentak.

Darah tinggi

Penulis percaya ramai yang tahu, kopi mengandungi kafeina yang bersifat meningkatkan tekanan darah. Jadi, ramai orang yang mengalami tekanan darah normal berhenti daripada meminum kopi.

Sebenarnya, peningkatan darah berlaku secara sementara. Sesetengah peminum kopi tegar mengalami toleran terhadap kopi. Mereka langsung tidak mengalami peningkatan tekanan darah pada jangka panjang.

Itulah sebabnya kadang-kadang kita dengar, terdapat individu yang biasa minum kopi bercawan-cawan setiap hari namun mereka tidak mengalami tekanan darah tinggi hingga umur tua.

Maksudnya ialah kesan fisiologi dari segi peningkatan tekanan darah akibat minum kopi secara tegar adalah berbeza-beza antara seseorang dengan yang lain.

Orang Barat minum kopi tanpa gula atau gula yang ditambah pada jumlah ala kadar. Orang Timur termasuk penduduk negara kita tidak mengira bangsa memang terkenal minum kopi bergula. Minum kopi susu pada hakikatnya juga mengandungi gula.

Keburukan penambahan gula dalam kopi seperti yang biasa dilakukan oleh penduduk di negara-negara Timur ialah ia meningkatkan paras insulin di mana jika ia diambil secara kerap dipercayai akan menyebabkan pembentukan kekebalan insulin.

Kekebalan insulin merujuk kepada keadaan di mana hormon insulin tidak dapat berlabuh pada reseptor insulin yang terletak pada membran plasma atau membran sel.

Jika berlaku secara berterusan ia dikatakan boleh menyebabkan pembentukan diabetes jenis 2.

Sesetengah pakar berpendapat penambahan susu, krimer bukan berasaskan susu, gula, pelbagai jenis pemanis lain dan perisa ke dalam bancuhan kopi menyebabkan peminum tidak dapat mengecap sifat terapeutik kopi. Amalan tersebut juga dipercayai berpotensi berbahaya kepada kesihatan.

Gabungan pelbagai antioksidan semula jadi kopi merupakan sebahagian dari bahan yang membantu peminum kopi menjadi sihat. Kajian menunjukkan penambahan susu dalam kopi boleh mengganggu penyerapan asid chlorogenic.

Kajian yang dimaksudkan dilaporkan dalam artikel berjudul Effect of Simultaneous Consumption of Milk and Coffee on Chlorogenic Acids Bioavailability in Humans yang terbit dalam Journal of Agriculture and Food Chemical (2011).

Individu yang prihatin akan menambah santan kelapa menggantikan susu atau krimer bukan berasaskan susu. Pemanis ekstrak stevia pula ditambah menggantikan gula.

Amalan ini mudah dilakukan di rumah kerana santan segar boleh disimpan selama beberapa hari dalam peti sejuk.

Penggunaan ekstrak stevia pula boleh dilakukan di mana-mana kerana ia biasanya dibungkus di dalam sachet atau botol kaca.

Lebih berkhasiat

Kopi mana lebih berkhasiat, kopi perang atau hitam? Kopi berwarna hitam biasanya dipanggang lebih lama daripada kopi berwarna perang. Berita baik mengenai kopi hitam ialah ia dikatakan mengandungi kafeina yang lebih rendah berbanding kopi perang.

Pendedahan kepada suhu pada tempoh yang lama dipercayai menyebabkan kafeina berubah kepada bahan kimia yang tidak memiliki sifat perangsangan adrenal seperti dimiliki kafeina.

Kopi hitam seperti espresso dan Turkish coffee dikatakan menawarkan beberapa fitokimia bersifat penjagaan saraf (neuroprotective) yang tinggi berbanding dengan kopi hijau. Kopi hijau ialah biji kopi kering yang tidak dipanggang langsung. Ia dikatakan kaya dengan kandungan asid chlorogenic yang bersifat antioksidan.

Sifat anti-obesiti asid chlorogenic yang meningkatkan metabolisma lipid dan glukos dikatakan membantu sesetengah orang dalam menurunkan berat badan.

Kopi hitam juga dikatakan membantu penurunan berat badan secara signikifan pada subjek-subjek kajian yang pre-obes. Pre-obes merujuk kepada Indeks Berat Badan (BMI: Body Mass Indeks) 25 – 30 manakala BMI melebihi 30 pula termasuk dalam kategori obes.

Pembaca mungkin biasa dengar minum kopi menyebabkan perembesan asid perut meningkat. Namun begitu kajian menunjukkan kopi hitam didapati meningkatkan jumlah N-methylpyridinium yang mengurangkan kadar perembesan asid perut.

Saintis sedang mengkaji sifat anti-karsinogen N-methylpyridinium terutama terhadap kanser kolon.

Proses pemanggangan dipercayai menyebabkan pembentukan acrylamide iaitu sejenis bahan bertoksin yang didapati meningkatkan risiko kanser. Jika dilihat dari sisi ini, maka seolah-olah pengambilan kopi perang menyebabkan risiko kanser berkurangan.

Namun begitu, pelbagai fitokimia antioksidan yang terdapat dalam kopi dipercayai meneutralkan sifat karsinogen acrylamide.

Setakat ini memang tiada bukti berdasarkan kajian sains untuk menyetujui atau menolak deduksi penulis tersebut. Namun begitu penulis percaya fenomena yang serupa berlaku pada kicap.

Tambahan karamel (gula hangus) dalam kicap menimbulkan kontroversi. Namun pelbagai fitokimia termasuk beberapa jenis isoflavone daripada kacang soya dipercayai meneutralkan sifat karsinogen karamel.

Ramai yang tidak tahu, kopi putih (white coffee) tempatan ialah serbuk kopi dipanggang bersama marjerin pada sukatan agak tinggi.

Sesetengah pengeluar kopi tempatan pula dipercayai masih menambah tempurung kelapa dan jagung ketika memanggang serbuk kopi.

Oleh: HERBALIS BAHRAIN SAMAH, RH (AHG)
Sumber: Sinar Harian [05/04/2015]

0 comments: