12 April 2015

Pelajar MRSM Gemencheh Ulul Albab Talaqi Al-Quran 
Di Masjidil Haram


SALAH seorang pelajar yang berkesempatan bertalaqi dengan seorang tenaga pengajar al-Quran di Masjidil Haram Mekah.

TEPAT pukul 3.15 petang kapal terbang yang disewa khas milik Saudi Arlines, penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Seramai tujuh penuntut dan dua murabbi dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, program Ulul Albab, Negeri Sembilan telah menjayakan sebuah Program Pengantarabangsaan dan Umrah Ziarah ke Tanah Suci pada 15 Disember hingga 26 Disember 2014. Delegasi ini turut disertai ibu bapa dan penjaga kepada pelajar-pelajar yang terlibat.

Penyelaras program, Muhamad Nordin Kasmon berkata, objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan baharu kepada pelajar dengan kaedah inovasi dalam pembelajaran, sekali gus melahirkan generasi Ulul Albab yang mampu mendepani masyarakat masa kini.


Selain itu, ia turut menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran insaniah dengan meneroka sendiri proses pembelajaran melalui konsep yang lebih luas dan terbuka di Madinah dan Mekah.

Di samping itu, program ini juga dapat memberi ruang kepada para pelajar untuk melaksanakan ibadah umrah.

“Selaras dengan matlamat program Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik, kami telah diberi ruang untuk mengaplikasikan ketiga-tiga elemen tersebut sepanjang berlangsungnya Kembara Haramain.

“Paling meninggalkan kesan dan pengalaman paling berharga ialah kesempatan dan kejayaan mengadakan sesi bertalaqi bersama guru al-Quran yang berada di Masjidil Haram Mekah. Semua pelajar begitu teruja kerana mendapat peluang keemasan itu di bumi barakah ini.


PESERTA Kembara Haramain bersama murabbi berlatarbelakangkan Jabal Rahmah, Madinah.

Padat aktiviti

“Ditambah, pelajar-pelajar program ini juga berkesempatan bertalaqi dengan salah seorang syeikh yang menjadi tenaga pengajar di Universiti Madinah ketika tiga hari berada di kota Madinah al-Munawwarah,” kata Nordin.

Katanya lagi, rombongan turut memperoleh banyak ilmu pengetahuan ketika lawatan ke Universiti Islam Madinah.

“Peserta rombongan diperlihatkan dengan reka bentuk bangunan kuliah dan asrama yang unik serta sedikit berlainan dari negara kita. Universiti Islam Madinah hanya dihuni pelajar lelaki, manakala pelajar perempuannya, ditempatkan di universiti bersebelahan iaitu Universiti Taibah.

“Pengalaman ekspedisi mendaki Gua Hira’ sungguh terkesan buat para pelajar. Walaupun pendakian mengambil masa empat jam, mereka tetap bersemangat dan teruja untuk melihat tempat turunnya wahyu yang pertama ini.

“Kami mengambil peluang keemasan untuk berdoa dan solat sunat secara bergilir-gilir serta membaca surah al-Alaq. Semoga kehadiran kami ini mampu menyedarkan diri setiap peserta agar menghargai pengorbanan baginda Rasulullah SAW untuk umatnya,” jelas Nordin.


PINTU gerbang Universiti Madinah.

Program 12 hari dan 11 malam itu padat dengan pelbagai aktiviti selain menyahut seruan Ilahi mengerjakan umrah, rombongan turut menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Jabal Nur, Jabal Thur, Jabal Rahmah, Arafah, Muzdalifah, Mina, Ja’ranah, Hudaibiyah serta Muzium Mekah yang mempamerkan banyak artifak dan bahan-bahan mengenai sejarah Mekah dan Madinah.

Selain itu, mereka juga menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Bukit Uhud, perkuburan Baqi’, pasar kurma serta berpeluang melawat kilang percetakan al-quran ketika berada di Madinah.

Diharapkan menerusi program ini ia mampu memberi input serta informasi berguna dalam bidang sains kemasyarakatan dengan konsep yang lebih luas bagi melahirkan pelajar berilmu, matang dalam pemikiran, bersikap terbuka serta proaktif dalam memartabatkan Islam dalam kehidupan seharian.

OLEH MUHAMMAD ARIFFUDDIN HAQIMI AZHAR
Sumber: Utusan

0 comments: