11 April 2015

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025



PPPM (PT): Melonjak Prestasi Tahap Global

Pada 7 April, 2015, tercatat satu lagi sejarah dalam transformasi pendidikan negara apabila pelan induk pembangunan pendidikan peringkat pengajian tinggi dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025 itu membawa hasrat untuk meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan tinggi sekali gus memperkukuh ke­­wu­­judan Malaysia di pentas du­nia.

Pelan induk ini juga dijangka mampu menarik minat pelajar, penyelidik serta organisasi berkaitan untuk menyertai sektor pendidikan tinggi yang di­tawarkan di dalam negara kita.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz berkata, kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi penting demi memperkukuh kewujudan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia seterusnya menjadi destinasi tumpuan pelajar dan golongan akademik untuk melanjutkan pengajian mahupun menjalankan penyelidikan mereka.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan sebagai destinasi dunia yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa menimba ilmu di menara gading.

PPPM (PT) menyenaraikan 10 lonjakan untuk menyaksikan transformasi pendidikan dalam tempoh 10 tahun. Sepuluh lonjakan tersebut ialah:

1. Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang;
2. Kecemerlangan Bakat;
3. Masyarakat Yang Belajar Sepanjang Hayat;
4. Graduan TVET (Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) Berkualiti;
5. Kelestarian Kewangan;
6. Tadbir Urus Perkasa;
7. Ekosistem Inovasi;
8. Kesohoran Global;
9. Pembelajaran Dalam Talian Secara Global, dan;
10. Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi.

“Di bawah lonjakan kelapan PPPM (PT) iaitu Kesohoran Global, kita akan kembangkan perkara ini antaranya termasuklah meningkatkan hasil penyelidikan di lima buah universiti penyelidikan di samping memperkenalkan program pengajian baharu,” katanya.

Kesohoran Global yang merupakan lonjakan kelapan bertujuan melonjakkan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ke tahap tertinggi, dihormati masyarakat antarabangsa dan diiktiraf terbaik di peringkat antarabangsa.

Menurut Mohd. Ismail, terdapat lebih 30 pelan strategik yang di­rangka bagi pelaksanaan PPPM (PT) ini namun tiga dianggap penting dan perlukan tindakan segera di bawah Agenda Kesohoran Global.

Tiga pelan strategik itu adalah pertama, menarik minat lebih banyak pelajar asing menimba ilmu dengan mengikuti pengajian di Malaysia, kedua, penjenamaan sistem pengajian tinggi negara dan ketiga, meningkatkan pa­saran baharu antarabangsa,” katanya.

Bagi memenuhi hasrat itu, ujarnya, usaha yang berterusan perlu digerakkan bagi mengubah pembangunan pendidikan tinggi melalui peningkatan kemahiran, kerjasama dengan universiti luar negara dan mempelbagaikan hasil penyelidikan universiti.

“Pada masa sama, universiti melalui komuniti alumni perlu menjalin hubungan kerjasama akademik atau penyelidikan antarabangsa, mewujudkan rakan kongsi industri atau perkongsian kemahiran sama ada pelajar ataupun tenaga kerja dengan universiti luar,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, di UTM sendiri, pelbagai usaha kerjasama strategik sudah lama digerakkan dengan universiti luar negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan universiti tersohor dunia antaranya University of Cambridge, United Kingdom; University de Nantes, Perancis; Harvard University, Ohio State University, Amerika Syarikat; University of Bologna, Itali dan Meiji University, Jepun.

Beliau yang terlibat merangka PPPM (PT) iaitu bertindak sebagai Pengerusi Kritikal Agenda Projek (Pengantarabangsa) Sektor Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan memberitahu, usaha menarik minat pelajar antarabangsa ke negara ini boleh dilakukan melalui pengalaman yang positif pelajar terdahulu.

“Strategi kita adalah untuk mencipta pengalaman belajar yang menyeronokkan dalam kalangan pelajar asing yang datang ke negara ini kerana kita mahu kesinambungan pengajian dan jangka panjang dengan memastikan pelajar akan datang semula menyambung pengajian di negara ini pada masa depan,” ujarnya.

“Daripada aspek pembiayaan pengajian, Malaysia masih menyediakan kemudahan universiti yang menawarkan yuran pengajian pada harga berpatutan berbanding negara maju,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan PPPM (PT) penting untuk direalisasikan demi memastikan sasaran mencapai 200,000 pelajar antarabangsa me­ngikuti pengajian di negara ini menjelang tahun 2020 dan 250,000 pada 2025 menjadi kenyataan.

“Di samping itu, pengajian ting­­gi negara perlu membina masyarakat yang berpengetahuan dan menyokong pembangunan ekonomi dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan domestik sekali gus memberi keuntungan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID
Sumber: Utusan

PPPM (PT): Inisiatif Melahirkan Graduan 3B

KETIKA berucap pada majlis pelancaran Pe­lan Pem­bangunan Pendidikan Ma­laysia (PPPM) 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PT) kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merumuskan bahawa objektif keseluruhan pelan ini terangkum dalam konsep 3B iaitu melahirkan graduan berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

PPPM (PT) yang dilancarkan ini secara keseluruhannya menggariskan pencapaian 10 lonjakan iaitu, graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang; kecemerlangan bakat; menghayati pem­belajaran sepanjang hayat; graduan pendidikan dan latihan vokasional dan teknikal (TVET) berkualiti; pemantapan tadbir urus; kelesta­rian kewangan; ekosistem inovasi; penyampaian program pendidikan yang ditransformasikan, keunggul­an global dan pembelajaran dalam talian secara global.

Lonjakan-lonjakan ini akan menyokong lima aspirasi sistem yang memberi tumpuan kepada akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan.

Walau apa pun intipati utama pelan ini yang dirangka untuk memacu sektor pendidikan tinggi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang, secara umumnya apa yang kita mahukan ialah agar dapat me­lahirkan graduan yang memiliki ciri-ciri 3B itu supaya mampu menjadi sumber modal insan yang seimbang dari semua aspek kehidupan.

Persoalan utama dan ciri ‘B’ yang pertama adalah sejauh mana pelan ini mampu melahirkan graduan dan sumber tenaga manusia yang memiliki bakat yang tersohor di peringkat lokal dan global.

Ringkasnya pelan ini perlu dan sewajarnya mampu untuk membangunkan atau mencungkil bakat yang ada pada mahasiswa supaya akhirnya dapat keluar dari kampus menjadi graduan yang berkemahiran dan berbakat tinggi.

Kita ada 20 universiti awam dan beratus universiti serta kolej swasta yang menawarkan pelbagai bidang pengajian sekali gus melahirkan berpuluh ribu graduan pada setiap tahun.

Persoalannya apa hala tuju graduan ini? Apakah mereka ini sudah bersedia untuk memikul amanah yang diharapkan? Apakah mereka sudah memenuhi kehendak pasaran kerja mahupun keperluan setiap majikan yang mahu mengambil mereka untuk bekerja?

Adakah potensi dan bakat mereka sudah diasah dan digilap sepenuhnya sepanjang pengajian mereka di universiti? Mampukah mereka menjadi agen transformasi yang boleh memeta hala tuju negara agar kita dapat terus maju dan bersaing di peringkat antarabangsa?

Maka harapan kita pelan ini dan sistem pendidikan tinggi negara dapat menjana bakat yang diperlukan. Kita percaya mahasiswa hari ini sa­ngat berkemahiran tinggi. Mereka cukup berpotensi andai kita mampu menggilap bakat itu ke arah kebaik­an demi masa depan negara.

Untuk itu semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pelan ini perlu lebih fokus dan teliti. Pelan-pelan tindakan yang digariskan perlu dilaksanakan mengikut perancangan supaya akhirnya kita dapat tuai hasil yang signifikan dan hebat. Jangan sia-siakan bakat terpendam yang dimiliki oleh setiap mahasiswa kita. Mereka adalah generasi pewaris masa depan negara ini.

Ciri atau ‘B’ kedua yang kita hasratkan ialah melahirkan bakat yang bertaraf global. Ini cukup pen­ting untuk memastikan negara kita mampu mengekalkan momentum persaingan di peringkat antarabangsa. Selama ini kita sering tertanya-tanya sejauh mana mahasiswa dan graduan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di peringkat global.

Adakah graduan yang kita hasilkan ini mampu pergi jauh membawa nama Malaysia ke persada dunia? Kita tidak nafikan memang ada mahasiswa kita yang mampu melakukannya sebelum ini di pelbagai bidang tetapi bilangannya agak kecil berbanding jumlah keseluruh­an mahasiswa yang ada mahupun graduan yang kita hasilkan.

Kita percaya masih ramai yang berpotensi untuk ditonjolkan. Apa yang diperlukan adalah bimbingan dan tunjuk ajar serta peluang untuk mengetengahkan bakat mereka itu. Untuk itu universiti perlu memainkan peranan bagi menyediakan persekitaran yang sesuai supaya potensi dan bakat mereka ini boleh terus digilap supaya dapat mencapai taraf global.

Ekosistem untuk mahasiswa membuktikan kemampuan mereka di peringkat yang lebih tinggi juga perlu diwujudkan supaya bakat mereka tidak disia-siakan.

Objektif ataupun ‘B’ yang ketiga ialah melahirkan graduan yang memiliki nilai positif yang unggul. Apa guna kita melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik tetapi tidak memiliki akhlak, nilai moral mahupun sahsiah yang terpuji.

Ringkasnya kita mahu membentuk graduan yang mempunyai nilai-nilai positif dan jati diri yang tinggi. Kita perlukan graduan yang tinggi budi pekertinya dengan nilai dan budaya timur bersandarkan elemen kerohanian yang mantap serta memiliki sikap penyayang dan prihatin di samping memahami kehendak dan aspirasi negara.

Hal ini cukup penting kerana masih ramai yang beranggapan kehebatan seseorang mahasiswa mahupun graduan itu hanya diukur berdasarkan kecemerlangan dan prestasi akademik semata-mata. Ele­men kecemerlangan sahsiah masih dikesampingkan dan tidak begitu dititikberatkan. Hasilnya graduan yang dilahirkan tidak begitu kental jati diri serta mudah terpengaruh dengan pelbagai pujukan oleh anasir-anasir luar dan jahat.

Percayalah betapa hebat mana sekalipun prestasi akademik kita andai nilai-nilai positif masih kurang dan jati diri masih lemah, kemungkinan besar kita tidak mampu berdikari dan melangkah lebih jauh.
Sekali lagi semoga pelan ini mampu menjadi platform terbaik untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan juga sahsiah.

Secara umumnya kita boleh terima PPPM (PT) sebagai sebuah pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif dan menyeluruh serta terbaik yang pernah kita hasilkan. Hakikatnya pelan sudah lengkap dan siap sepenuhnya, pelancaran juga sudah selesai maka apa yang diperlukan sekarang ialah fasa pelaksanaan.

Justeru semua pihak yang terlibat perlu komited dalam mematuhi segala perancangan yang digariskan dalam pelan ini supaya menjelang tahun 2025 kita mampu mereali­sasikan harapan dan hasrat yang terkandung dalam pelan ini supaya kita dapat melahirkan graduan 3B yang diimpikan.

Oleh: NOOR MOHAMAD 
SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sumber: Utusan

PPPM (PT): Sasar 650,000 Pelajar Teknikal, Vokasional Menjelang 2025

Kementerian Pendidikan menyasarkan peningkatan keseluruhan 650,000 pelajar dalam program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjelang 2025.

Sasaran itu selari dengan lonjakan mempertingkatkan graduan TVET berkualiti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT).

Lonjakan itu akan dipertingkat dengan mengembangkan kurikulum berkualiti TVET yang diterajui industri berserta model kerjasama baharu antara kementerian dengan agensi penyedia TVET serta agensi-agensi lain.

"Kita sasarkan 2.5 kali ganda peningkatan keseluruhan 'enrolmen' TVET kepada 650,000 di mana 300,000 daripadanya didaftarkan dalam program di bawah Kementerian Pendidikan," katanya yang juga Menteri Pendidikan pada majlis pelancaran pelan berkenaan.

Selain itu menerusi lonjakan kemampanan kewangan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditingkatkan melalui penambahbaikan formula bayaran balik pinjaman itu kepada bentuk pinjaman luar jangka.

"Ini bermakna graduan perlu membayar balik pinjaman apabila mereka memperoleh pendapatan pada tahap tertentu, selain sumber kewangan akan dipelbagaikan dengan mewujudkan Tabung 'Endowment' dan Waqaf di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Muhyiddin berkata dari segi tadbir urus IPT pula, kementerian akan beralih daripada menjadi pengawal tegas kepada pengawal selia dan pembuat dasar.

IPT juga katanya, akan terus diberikan autonomi berdasarkan tahap kesediaan yang diimbangi dengan akuantabiliti melalui kontrak prestasi lima tahun bagi semua IPT awam.

Sumber: BERNAMA

PPPM(PT): HALA TUJU BAHARU NEGARA

Berikut adalah ucapan perasmian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang disampaikan oleh Dato' Sri Mohammad Najid Tun Abdul Razak di dalam dewan yang dipenuhi hadirin yang terdiri daripada ahli akademik, tokoh korporat dan industri serta pelajar. Sumber: BERNAMA

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, pada tengah hari ini dengan izin Allah jua, maka kita dapat berkumpul dalam dewan ini. Minat masyarakat terhadap bidang pendidikan negara kita tentu sekali manifestasinya adalah kehadiran dan komitmen kita bersama dan pandangan-pandangan yang kita berikan untuk menjayakan bidang pendidikan negara.

Walaupun sebagai bekas Menteri Perdidikan, saya amat sedar bagaimana ‘everybody thinks that he or she is the expert in education’ (Semua orang berfikir yang mereka adalah pakar dalam pendidikan). Itu cabarannya apabila menerajui Kementerian Pendidikan.

Saya berasa amat gembira hari ini kerana saya diundang untuk menjadi sebahagian daripada satu peristiwa yang amat bersejarah lagi bermakna kepada negara.

Hari ini kita melancarkan pelan pendidikan tinggi untuk negara tetapi ini bukan sekadar pelan pendidikan. Apa yang kita lancarkan adalah satu hala tuju baharu yang akan menentukan masa depan negara kita yang tercinta.

Sebab itu saya terharu apabila dijemput dan saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pendidikan kerana memberi penghormatan kepada saya dan ucapkan tahniah kepada beliau dan kementerian atas inisiatif membentangkan pelan pendidikan ini.

Saya telah semak dengan teliti kandungannya. Presentation (persembahannya) pun menarik, mata rabun pun senang nampak. Jadi tolong baca laporan ini kerana ia mengandungi hala tuju bidang pendidikan tinggi negara kita.

Saya amat tertarik dengan perkara utama dan pokok yang dihuraikan Timbalan Perdana Menteri sebentar tadi dan disertakan dengan persembahan visual.

Amat jelas 10 lonjakan yang hendak dicapai dan lima aspirasi sistem yang hendak dijadikan objektif. Dan tumpuan kepada ciri-ciri pelajar yang lahir daripada sistem ini.

Saya tanya dan cuba rumuskan apa sebenarnya objektif sistem pendidikan tinggi negara? Saya dapat rumuskan dengan mudah iaitu ada tiga perkara atau tiga ‘B’, kebetulannya ia bermula dengan huruf B.

Yang pertamanya, bakat, kita hendak bangunkan bakat agar negara kita dapat bersaing. Jadi sistem pendidikan tinggi kita mesti mampu menjana bakat.

Bakat macam mana? Itu adalah B yang kedua. Bakat yang bertaraf global. “You are benchmarking international if you want to be among the best, at least the top of one third among the nations of the world.”

Ini bererti apa kita nak lakukan ini akan sentiasa mencapai ‘benchmark’ (penanda aras) secara global supaya kedudukan Malaysia bertambah baik dari semasa ke semasa.

Dan ketiganya adalah berteraskan nilai atau ‘value driven’. Timbalan Perdana Menteri menyebut ‘well rounded, in every sense’. Maknanya seimbang. Wasatiyyah juga tentu sekali. Memahami mengenai dunia, memahami dari mana kita datang. Mempunyai jati diri sebagai Malaysia. Identitinya Malaysia tetapi menerima kepelbagaian.

Saya juga tertarik kepada ciri-ciri yang mana penekanan juga diberi pada aspek spiritual (kerohanian) dan morality based (bermoral). Sebab pandai sahaja tapi tiada nilai spiritual akhlak pun tidak berguna.

Dia boleh menggunakan kepandaiannya merosakkan negara kita. Contoh paling ekstrem, ada kelulusan tinggi tetapi guna ilmu itu buat bom, ini tidak mustahil.

Inilah sebab kita hendak bangunkan ciri-ciri positif kepimpinan dalam apa jua situasi. Ini semua dalam buku PPPM (PT). Saya cuma bacakan apa dalam buku.

Soal identiti, soal bahasa Malaysia. Ini wajib. Ini sebahagian ciri-ciri identiti nasional. Kita mesti fasih dalam bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia di samping itu mengakui bahasa Inggeris merupakan bahasa global dan (menguasai) bahasa ketiga.

Perkara komunikasi ini diberi perhatian dan tentu sekali ilmu berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM). Inilah antara subjek amat penting yang boleh menentukan daya saing kita atau daya saing negara.

Saya juga tertarik soal akses pendidikan tingi. Kalau hari ini akses dalam lingkungan 36 peratus, menjelang 2025, 36 peratus itu akan melonjak 53 peratus. Ini satu peningkatan yang meletakkan Malaysia dalam kalangan negara OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan).

Saya juga tertarik kepada cadangan diberi autonomi lebih kepada universiti. Universiti sepatutnya diberi autonomi lebih. Ini termasuk kuasa-kuasa Kementerian Kewangan diturunkan kepada universiti. Kuasa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) juga mungkin.

Saya tertarik konsep universiti mesti cari sumber kewangan yang bertambah. Jangan asyik nak bentang peruntukan tambahan kepada Kabinet sahaja. Saya tengok dalam pelan ini, misalnya menjelang tahun 2025, RM17 bilion sumbangan kerajaan, RM4 bilion universiti kena cari tetapi tidak sebut pembahagian setiap universiti.

Tapi umumnya, RM4 bilion kena datang daripada universiti. Saya tidak fikir ini susah. Ada universiti yang mempunyai bank tanah 2,000 ekar (809.3 hektar). Takkan daripada 2,000 ekar tidak boleh cari beberapa ratus juta. You can monetize your asset (Awak boleh menggunakan aset untuk menjanakan wang).

Keduanya, endownment boleh cari minta alumni. Minta dia, haruk dia, kokah dia, takkan dia tidak sayang alma mater. Tambah wakaf lagi, ini semua kita boleh usahakan. Kalau ada endownment, monetized asset dan R&D (penyelidikan dan pembangunan), tentu sekali universiti boleh cari punca yang lebih besar.

Soal pembiayaan. Ini kita kena uar-uarkan kerana kalau lihat dari segi peruntukan pendidikan tinggi, secara relatifnya, bajet diluluskan kerajaan untuk pendidikan tinggi peratusannya adalah 7.7 peratus, menjadikan Malaysia antara negara tertinggi dari segi perbelanjaan pendidikan tinggi.

Perbandingannya, negara Korea Selatan 3.9 peratus, Jepun 1 peratus, Indonesia 3.1 peratus, Thailand 3 peratus dan Singapura 6.4 peratus tetapi Malaysia di bawah kerajaan yang ada sekarang ini, 7.7 peratus.

Kita punya komitmen dari segi pembiayaan pelajar. Purata kos untuk kita menjana seorang pelajar dari IPTA adalah RM18,000, puratanya, kalau masuk semua kos, jadi angkanya, RM20,000. Yang dikenakan bayaran pada pelajar puratanya adalah RM2,000.

Maknanya dari segi pendidikan tinggi, 90 peratus ditanggung kerajaan, cuma 10 peratus dikenakan ke atas pelajar. Ini kita kena uar-uarkan, baik tak baik kerajaan, kenakan bayaran RM2,000 sahaja dan tidak dikenakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).

Ini untuk pelajar kita dan beri akses pendidikan.

Saya juga tertarik dengan pelan ini kerana ditekankan soal produktiviti dan efisien. Maknanya, kalau hendak bajet tambahan, kena tunjukkan produktiviti dan efisien lebih baik, baru EPU (Unit Perancang Ekonomi) lulus, baru Kementerian Kewangan bagi dana tambahan.

Bukannya bajet tahun lepas RM300 juta, tahun ini RM330 juta juga. Tak boleh, kita kena ada peningkatan dalam produktiviti dan kerja yang efisien, baru peruntukan akan bertambah. Ini bermakna universiti mesti diurus tadbir dengan lebih efisien.

Misalnya kebolehpasaran graduan. Berapa? Apa peratusnya untuk mendapat pekerjaan? Ini mesti kita ambil kira. Berapa banyak kos bagi seorang pelajar? Saya dapat tahu universiti yang paling mahal, yang saya tidak hendak sebut nama, RM38,0000 bagi seorang pelajar.

IPT yang paling murah, saya tidak hendak sebut nama, RM8,000 bagi seorang pelajar. Jadi ada banyak variasi daripada RM38,000 kepada RM8,000. Universiti-universiti mesti lebih produktif dan efisien. Ini prinsip-prinsip yang dicadangkan dalam PPPM (PT).

Saya tertarik dengan pelan ini dan saya hendak sebut kemajuan pendidikan tinggi semakin hari semakin mantap kedudukannya dan pagi ini dalam akhbar tempatan, saya hendak bacakan berita, ‘Penyelidik Malaysia mengatasi penyelidik Thailand dan Singapura’.

Akhbar ini petik daripada suratkhabar The Nation di Thailand.

Satu ketika dahulu, kita bermula lebih rendah, sekarang kita ini memotong Thailand dan Singapura dari segi penerbitan ilmiah. Jadi tahniah saya ucapkan. Ini yang dikatakan penanda aras global. Bila kita ada usaha-usaha seperti ini dan saya sokong sangat apa Timbalan Perdana Menteri sebut tadi dalam analisis terakhir, semuanya adalah mengenai pelaksanaan, pelaksanaan dan pelaksanaan.

Mudah-mudahan dengan penekanan soal pelaksanaan dan jawatankuasa khas diketuai Timbalan Perdana Menteri dan sokongan semua pihak, saya hendak menyatakan secara peribadinya saya menyokong pelan ini.

Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak. Saya tahu banyak usaha dilakukan untuk menjayakan pelan ini. Ia bukan mudah tapi saya yakin dan percaya, “this could be very transformative for the nation” (Ini boleh mengubah negara).

Pelan ini boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk negara Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada CEO-CEO (ketua-ketua pegawai eksekutif) yang meluangkan masa. Saya difahamkan janjinya 15 jam setahun tetapi sekarang sudah tambah jadi 30 jam. Mereka tidak complaint, sebaliknya mereka sanggup menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada pelajar.

Saya doakan pelan ini berjaya sepenuhnya. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Sekian, terima kasih.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 di Kuala Lumpur, pada 8 April 2015

Sumber: Utusan

0 comments: