10 April 2015

Perkahwinan Benteng Kemaksiatan


Perkahwinan beramai-ramai dapat menjimatkan kos perkahwinan. – Gambar hiasan

TIDAK berapa lama dahulu, pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara ada mengeluarkan statistik tentang umur perkahwinan di negara ini yang menunjukkan bahawa kaum lelaki berkahwin pada umur purata 29 tahun dan wanita pula puratanya 25 tahun.

Kemajuan sesebuah negara mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan trend tersebut kerana dalam kalangan masyarakat banyak memberikan tumpuan kepada keperluan kebendaan mengatasi keperluan spiritual.

Ketidakseimbangan ini selalunya akan membawa kepada ketidakupayaan untuk memberi tumpuan kepada kehidupan berumah tangga dan keluarga.


Disebabkan itu, ramai yang memilih untuk membina kerjaya dan kekuatan ekonomi, sekali gus menyumbang kepada perkahwinan lewat usia atau terus membujang.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda, barang siapa antara kamu telah mampu menanggung beban perkahwinan hendaklah segera kahwin kerana ianya dapat menjaga kesucian diri daripada (melakukan perbuatan zina). Siapa yang belum mampu, sebaiknya ia berpuasa kerana puasa baginya adalah penjagaan diri.”

Secara umumnya, hadis ini memberitahu bahawa salah satu cara untuk menjaga diri manusia daripada terjerumus kepada perkara yang dilarang agama adalah dengan berkahwin atau berpuasa bagi mereka yang tidak berkemampuan.

Hakikat ini terkandung dalam ayat-ayat Allah dalam surah an-Nur yang menyeru supaya kaum lelaki dan wanita supaya sentiasa menjaga pandangan dan kesucian, pakaian yang menutup aurat dan akhlak walaupun dengan keluarga terdekat.

Penghormatan ini diberikan kepada wanita supaya mereka tidak dijadikan bahan pameran atau dipergunakan seperti perempuan murahan. Ia boleh mengelak daripada berlakunya hubungan terkutuk seperti sumbang mahram yang juga menjadi masalah sosial di negara ini.

Dalam satu kajian mengenai masalah hubungan seksual yang melibatkan keluarga terdekat di negara ini, perbuatan tersebut dilakukan selepas terdedah kepada filem-filem lucah dan mempunyai pengetahuan agama yang sangat lemah.

Kebiasaannya, anak-anak perempuan yang masih bersekolah menjadi mangsa dan sudah tentu ia akan menghancurkan masa depannya jika tidak diberi bantuan yang betul daripada pihak berwajib.

Pengharaman video lucah yang melibatkan kanak-kanak sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini perlu disokong untuk mengelakkan daripada berlakunya ekploitasi kanak-kanak sebagai bahan seks.

Penyelesaian

Di negara Barat, fenomena menampilkan kanak-kanak dalam aksi pornografi juga telah menyebabkan ramai kanak-kanak perempuan diculik dan dibunuh. Perbuatan yang jahat dan tidak bermoral selalunya akan diakhiri dengan tragedi yang tidak diingini.

Mengelak daripada berlakunya masalah yang dibincangkan di atas yang merupakan sebahagian daripada inti pati hukuman hudud yang telah digariskan oleh Islam untuk menjaga kemaslahatan masyarakat.

Sebab itu, mereka tidak akan melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan peraturan sosial.

Larangan ini bukan hanya melibatkan tegahan daripada melakukan perbuatan terkutuk seperti melakukan zina atau sumbang mahram tetapi turut menuduh orang yang baik melakukan penzinaan.

Ia juga boleh memberi petunjuk kepada manusia supaya tidak memusnahkan kehidupan orang lain kerana menjadi satu perbuatan yang tidak adil dengan sifat kejadian manusia.

Manusia dijadikan untuk saling berkenalan, berkasih sayang dan menolong. Allah lebih mengetahui apa yang baik kepada manusia ciptaan-Nya dan menjadikan syariat sebagai petunjuk supaya manusia tidak melampaui batas.

Disebabkan itu, perkahwinan dilihat sebagai satu penyelesaian dalam menangani masalah nafsu dan hubungan kemanusiaan. Kemiskinan tidak boleh menjadi penghalang kepada berlakunya perkahwinan.

Namun, hendaklah diberi keutamaan berkahwin dengan orang-orang yang soleh dan baik supaya mereka mempunyai kewarasan dalam hal agama untuk menyelesaikan sebarang perselisihan yang mungkin timbul.

Walaupun keperluan kewangan adalah penting, apa yang menjadi keutamaan ialah faedah yang hakiki iaitu menjaga diri daripada terjebak dalam lembah kemaksiatan yang menjadi masalah besar dalam masyarakat pada hari ini.

Sumber: Kosmo

0 comments: