Nuff Atas

04 April 2015

Senarai Barang Dikecualikan GST

gst

Berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhid­matan (GST) berkuatkuasa pada 1 April 2015 ini, ementerian Kewangan telah memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecuali­kan daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.

Senarai tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran penyelenggaraan terma­suk sinking fund kediaman dan perkhid­matan pendidikan.

Menurut Kementerian Kewa­ngan, pengecualian GST kini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.


Langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan seterusnya dapat me­ningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.

“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecuali­kan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di bawah hak milik strata.

Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Selain itu, Kementerian Kewangan turut memberi penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan kesihatan, pertubuh­an bukan kerajaan (NGO) terma­suk institusi keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang dikecualikan cukai tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.

“Di dalam membantu kemudah­an jagaan kesihatan swasta untuk mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan, semua jenis beras dan gula.

Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.

“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.

“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras dengan amalan di pe­ringkat antarabangsa.

“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenya­taan itu.

Oleh: HERMAN HAMID
Sumber: Utusan

Klik juga laman gst.customs.gov.my, untuk maklumat lanjut tentang 106 perkara yang anda ingin tahu tentang GST.

0 comments: