Nuff Atas

24 Julai 2015

Puasa Enam Di Bulan Syawal Ibarat Berpuasa Setahun



KEDATANGAN Syawal pastinya disambut meriah oleh masyarakat Muslim di negara ini. Bagaimanapun, dalam keghairahan menyambut Hari Raya Aidilfitri, kita jangan lupa untuk melaksanakan amalan baik pada bulan tersebut.

Antara amalan yang boleh dimanfaatkan oleh orang Mukmin adalah puasa sunat enam hari. Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah suatu amalan sunat yang sangat digalakkan kerana ia mengandungi kelebihan yang besar.

Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan, kemudian diteruskan dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ganjarannya adalah seperti berpuasa setahun.” (Riwayat Muslim)


Maksud ganjaran puasa setahun itu ialah satu kebaikan dalam Islam yang digandakan sebanyak 10 kali ganda pahala yang sama dengannya.

Orang yang berpuasa sebanyak 30 hari dalam bulan Ramadan ibarat mendapat ganjaran 300 hari puasa, ditambah dengan enam hari puasa bulan Syawal yang bersamaan puasa 60 hari. Maka, jumlahnya adalah 360 hari atau setahun puasa.

Hal ini dijelaskan dalam hadis riwayat Tsauban, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa enam hari selepas Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), maka ganjarannya seperti berpuasa setahun penuh. Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan, maka baginya 10 ganjaran yang seumpamanya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kelebihan lain bagi puasa enam Syawal ini ialah dapat menampung kekurangan pada puasa fardu dalam bulan Ramadan. Semakin banyak amalan sunat dilakukan, semakin banyaklah bekalan yang ada bagi memastikan amalan fardu yang seumpamanya sempurna.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa amalan pertama yang akan dihisab Allah di akhirat adalah solat.

Apabila didapati terdapat kecacatan pada solat fardu, maka solat sunat memainkan peranan bagi menampung kekurangan itu. Setelah selesai, amalan lain akan dihitung menurut perkiraan tadi, seperti zakat dan puasa.

Dalil

Selain itu, berdasarkan dalil umum hadis tentang puasa enam, tiada masalah untuk orang ramai berpuasa pada mana-mana hari dalam bulan Syawal sama ada secara berturut-turut atau tidak.

Katanya, jika gagal dilakukan berturut-turut, seseorang itu disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta puasa tiga hari dalam sebulan iaitu hari ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Islam yang dinamakan sebagai hari-hari putih kerana bulan mengambang pada malam-malam hari tersebut.

Dalam pada itu, amalan puasa enam pada bulan Syawal tetap dikira melalui puasa ganti bulan Ramadan sama ada diniatkan bersama atau tidak.

Para ulama mengiaskan hal ini kepada keadaan orang yang masuk ke dalam masjid lalu terus melakukan solat Rawatib atau fardu maka, dia turut mendapat pahala solat sunat Tahiyatul Masjid walau tidak sempat melaksanakannya.

Namun, ganjaran pahala puasa enam dalam keadaan ini tidaklah sama seperti puasa yang dibuat berasingan daripada puasa ganti.

Ziarah

Sementara itu, berhubung amalan berziarah sepanjang Syawal, ia adalah suatu wasilah ke arah mengukuhkan kasih sayang, merapatkan hati, dan menguatkan ikatan silaturahim.

Melalui amalan berziarah, umat Islam dapat mengetahui keadaan masing-masing dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Membudayakan amalan ini sempena Aidilfitri adalah suatu anjuran yang baik dalam agama. Orang yang menziarahi saudaranya kerana Allah dan mengharapkan reda-Nya akan mengundang kasih sayang dan ganjaran daripada-Nya.

Dalam sebuah hadis Mu’az Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman, wajiblah cinta-Ku kepada golongan yang saling berkasih sayang kerana-Ku, saling duduk dalam majlis kerana-Ku (dalam suatu majlis kerana mengingati Allah), dan saling berziarah kerana-Ku.” (Riwayat Ibnu Hibban).

Dalam hadis lain, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau saudaranya kerana Allah, maka penyeru (daripada kalangan malaikat) akan menyeru, kamu telah melakukan kebaikan dan perjalanan mu adalah baik, serta kamu telah menyediakan sebuah rumah di dalam syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)

Amalan yang baik ini perlu dihiasi dengan adab-adabnya agar selari dengan kehendak Islam dan tidak bercampur dengan maksiat iaitu memilih waktu dan hari yang sesuai dengan masa tuan rumah, meminta izin sebelum masuk ke dalam rumah, tidak bergaul bebas sesama lelaki dan perempuan dan tidak mengambil masa yang terlalu lama.

Antara adab lain pula ialah memenuhi waktu ziarah dengan amalan yang bermanfaat, menjaga perlakuan dan tutur kata agar tidak melakukan sesuatu yang tidak elok dan mendoakan ahli rumah dengan kebaikan ketika hendak beredar pulang.

Sumber: Kosmo

Antara puasa enam dan rumah terbuka

Apa yang perlu dilakukan apabila menghadiri majlis rumah terbuka sedangkan kita puasa sunat Syawal?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput untuk makan sedangkan dia berpuasa, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Justeru apa yang boleh dilakukan bagi orang yang puasa tadi untuk tuan rumah?

Dalam hal ini, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput, hendaklah dia memenuhi jemputan itu. Jika dia berpuasa, hendaklah dia berdoa, jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Riwayat Muslim)

Namun, ada juga hadis yang membolehkan kita membatal­kan puasa sunat untuk meraikan jemputan tuan rumah. Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: “Aku menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW, lalu baginda dan sahabat-sahabatnya datang kepada aku. Apabila makanan telah dihidangkan, salah seorang daripada mereka berkata: Sesungguhnya aku berpuasa. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Saudara kalian te­lah menjemput kalian dan bersusah payah untuk kalian. Lalu baginda berkata kepada lelaki itu: Berbukalah, dan gantilah pada hari lain jika engkau mahu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, dapat disimpulkan:

 Puasa sunat boleh dibatalkan jika ada jemputan makan.

 Apakah yang lebih afdal? Bergantung kepada keadaan. Jika puasa kita itu mengguris hati tuan rumah, maka lebih elok berbuka. Jika tidak, lebih elok teruskan puasa.

 Jika meneruskan puasa, hendaklah kita mendoakan tuan rumah.

 Bagi kaum wanita, mereka perlu membuat perkiraan yang tepat agar tidak terlepas pahala puasa sunat Syawal. Dibimbangi jika membatalkan puasanya, mereka tidak sempat melakukan puasa enam kerana bulan Syawal akan tamat atau haidnya akan datang lagi.

 Satu lagi alternatif adalah mengadakan majlis rumah terbuka pada waktu malam. Ini memberi peluang kepada rakan-rakan yang berpuasa enam memenuhi jemputan serta menikmati juadah yang disediakan.

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Sumber: Utusan

0 comments: