27 Julai 2015

Dilanda Ketidakseimbangan Kehidupan



Selalu kita berhadapan dengan situasi, ‘apa-apa yang kita hendak dan harapkan lain, tetapi yang terjadi lain’. Iaitu, sesuatu perkara itu berlaku di luar perancangan kita dan jauh sama sekali daripada yang kita harapkan berlaku.

Mengapakah perkara seperti ini terjadi? Hingga kita berasakan alangkah sukarnya hidup ini, kerana bukan senang hendak senang, banyak rintangan yang menghalang. Dengan kata lain, apa yang kita hendak tidak dapat, tetapi apa yang kita paling tidak hendak, yang paling kita takut dan yang paling kita bimbang, itulah pula yang kita dapat.

Inilah yang dikatakan ketidakseimbangan antara cita-cita dengan hasil kehidupan (4K = Kebahagiaan, Ketenangan, Kesihatan dan Kewangan).


Bagaimanakah kita hendak mendapatkan keseimbangan hidup?

Caranya mestilah seimbang antara cita-cita dengan tabiat. Selalunya yang berlaku, cita-cita kita positif, iaitu kita hendak menjadi orang yang berjaya, hendak menjadi sihat, hendak disayangi orang, hendak menjadi kaya dan segala perkara yang baik-baik, tetapi tabiat kita negatif.

Tabiat kita negatif kerana kita kurang usaha, suka memikirkan perkara negatif, takut hendak mencuba, bimbang gagal dan lebih buruk lagi membayangkan bagaimana kalau nanti kita gagal sebelum memulakan sesuatu yang kita cita-citakan itu.

Sebab banyak orang yang dibelenggu oleh rasa takut terhadap dua perkara. Pertama, takut dengan penyesalan masa lalu, hingga kita tidak berani mencuba lagi. Kedua, takut dengan masa hadapan, hingga kita tidak berani berbuat apa-apa untuk masa hadapan.

Ketakutan-ketakutan inilah yang membuatkan kita lambat bertindak kerana bersikap tunggu dan lihat, kita dibayangi oleh sejarah kegagalan masa silam, dan terlalu fikir apa yang orang akan kata dan seumpamanya. Kita menganggap kegagalan sebagai ‘batu penghalang’ untuk terus berjaya, bukan sebagai ‘batu loncatan’ untuk terus berjaya, dan akhirnya menjadi tabiat negatif kita.

Tabiat adalah perangai dan budi pekerti kita yang selalu kita lakukan dan ia datang daripada fikiran kita. Ingatlah akal / fikiran kita adalah ‘mata wang kehidupan’ (nilai yang paling berharga) yang kita miliki di dunia. Akal / fikiran adalah anugerah Allah SWT, yang diberikan hanya kepada hamba-Nya yang bergelar manusia.

Demikianlah sebenarnya ‘mata wang kehidupan’ kita di dunia ini bukan duit, tetapi ialah fikiran kita, kerana fikiran yang baik dan positif akan menghasilkan emosi yang baik dan positif, seterusnya tindakan juga akan baik positif, dan akhirnya hasil kehidupan pasti positif.

Maknanya, fikiran, emosi, dan tindakan kita itulah tabiat kita; kalau negatif fikiran, emosi dan tindakan kita, maka menjadi negatiflah tabiat kita dan demikianlah sebaliknya.

Tabiat negatif ini menjadikan kita seorang yang pertama, tidak yakin kepada kemampuan diri sendiri kerana sentiasa diberkas oleh rasa rendah diri. Kedua, menjadikan kita seorang yang pemalas tidak mahu bersusah-susah dahulu untuk senang kemudian hari. Ketiga, menjadikan kita sangat pemalu untuk ke hadapan mengetengahkan bakat atau kebolehan diri kita. Keempat, menjadikan kita tidak berani mencuba sesuatu yang baharu, takut menghadapi risiko. Menjadikan kita seorang yang lemah dan tidak bersemangat, dan tiada daya saing.

Bagi mencapai keseimbangan hidup dari segi fizikal dan kerohanian kita perlu refleksi diri dan fikirkan apakah tabiat negatif kita yang menghalang mencapai cita-cita kita. Contoh pertama, kita hendak menjadi peniaga yang berjaya, tetapi bangun lambat, tidak rancak, malas, bertangguh, nantilah, kejap lagi dan seumpamanya tabiat negatif.

Contoh kedua, kita bercita-cita hendak sihat, tetapi kita melayan tabiat pemakanan kita yang buruk, banyak memakan makanan berkarbohidrat, minum banyak minuman manis dan sebagainya yang menjurus kepada tabiat yang memudaratkan kesihatan. Berlaku ketidakselarian antara cita-cita dengan tindakan, hingga menjadikan semuanya yang berlaku ke atas kita sebagai satu angan-angan kosong semata-mata.

Tip untuk mendapat keseimbangan kehidupan pertama, kawal minda dan emosi. Kedua-duanya mesti seimbang dan saling ‘menapis’ setiap respons dan tindakan kita untuk mendapatkan hasil kehidupan yang positif. Faktor persekitaran, iaitu orang sekeliling dan suasana sekeliling kita banyak mempengaruhi tabiat positif atau negatif diri kita. Orang yang ‘dunia dalaman’nya kuat, ‘dunia luaran’ tidak mampu mempengaruhi keputusan dan tindakannya.

Kedua, tulis dalam jurnal apakah tabiat kita yang buruk atau negatif yang menghalang cita-cita kita yang perlu kita hapuskan dengan segera untuk memastikan kita mampu mencapai segala yang kita cita-citakan.

Ketiga, mesti fokus terhadap sesuatu yang kita hendak buat. Fokus kehidupan sangat penting, umpama kita menggunakan kamera, mesti fokus untuk mendapatkan gambar yang cantik dan jangan tersalah menggunakan kanta, sebab kanta yang tidak tepat membuatkan kita tidak dapat melihat dengan jelas. Ingatlah formula untuk berjaya, mesti fokus, kalau tidak usaha kita sia-sia dan rugi.

JOM AUDIT Bersama DR. MUHAYA MUHAMAD [26 Julai 2015]
Sumber: Utusan

0 comments: