03 Ogos 2015

Legasi Presiden Digelar 'Lelaki Peluru Berpandu India'


Abdul Kalam yang juga saintis terkemuka India memainkan peranan penting dalam kejayaan negara ini melancarkan ujian nuklear pada 1998, meninggal dunia pada 27 Julai lalu ketika berusia 83 tahun.

“APABILA saya mati, jangan isytiharkan cuti. Sebaliknya bekerjalah tambahan sehari”. Ungkapan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan diri bekas Presiden India, Avul Pakir Jainulabdeen (A.P.J) Abdul Kalam yang meninggal dunia ketika berusia 83 tahun pada 27 Julai 2015 lalu, akibat serangan jantung semasa mengajar di Institut Pengurusan India.

Abdul Kalam yang membuat ungkapan tersebut semasa majlis penyampaian Anugerah Jnanpeeth Award ke-39 di New Delhi pada 10 Ogos 2006, merupakan seorang saintis yang amat luar biasa sehingga mendapat jolokan “Lelaki Peluru Berpandu India” dan dijulang sebagai wira negaranya, walaupun beliau tidak pernah mengambil ijazah sarjana.


Sumbangannya terhadap India amat besar. Program angkasa, pembangunan peluru berpandu dan senjata nuklear India, semuanya dimulakan oleh Abdul Kalam. Antara sumbangan besar beliau yang dihargai dan diingati rakyat India ialah usahanya dalam pembangunan peluru berpandu balistik dan teknologi kenderaan pelancar.

Abdul Kalam memainkan peranan penting membantu India melakukan ujian nuklear Pokhran-II pada 1998, iaitu yang pertama sejak ujian nuklear pertama dilakukan oleh negara itu pada 1974.

Dari 11 hingga 13 Mei 1998, India melakukan lima ujian nuklear bawah tanah di Pokhran, Rajasthan. Tindakan itu telah mengejutkan lima negara kuasa nuklear iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis dan China yang lebih awal melakukan ujian nuklear.

Sepanjang hidupnya, Abdul Kalam menerima banyak penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangannya kepada kemajuan teknologi nuklear dan aeroangkasa India. Antaranya, beliau menerima 40 ijazah kehormat kedoktoran dari 40 buah universiti.

Beliau juga dianugerahkan pingat Padma Bhushan pada 1981, Padma Vibhusan (1990) dan Bharat Ratna (1997), iaitu penghormatan tertinggi awam di India atas sumbangannya dalam memodenkan teknologi pertahanan negara.

Beliau menjadi Presiden India ke-11 dari 25 Julai 2002 hingga 25 Julai 2007. Sikapnya yang bersahaja dan merendah diri menjadikan beliau disayangi dan dekat di hati seluruh rakyat India sehingga digelar sebagai “Presiden Rakyat”.

Beliau sentiasa mengalu-alukan kedatangan rakyat ke Istana Presiden di New Delhi dan mudah didekati di mana sahaja beliau pergi. Maka, tidak hairanlah seluruh rakyat India termasuk yang berada di luar negara menangisi kematian tokoh hebat itu.

“Abdul Kalam sememangnya seorang Presiden Rakyat dan anak kesayangan India. Semua orang India di seluruh dunia menghormatinya atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada India. Kematian beliau adalah satu kehilangan besar kepada negara dan meninggalkan legasi yang sukar diisi,” kata Presiden Rakan Luar Negara Parti Bharatiya Janata (BJP)-AS, Chandra Patel.



Cemerlang

Segala kejayaan yang dicapai oleh Abdul Kalam bukanlah datang dengan mudah, sebaliknya menerusi usaha gigih tanpa mengenal erti penat lelah. Beliau yang dilahirkan pada 15 October 1931 di Rameswaram, Tamil Nadu, bukanlah pelajar yang cemerlang di sekolah tetapi mempunyai keinginan kuat untuk belajar. Beliau menghabiskan masa berjam-jam untuk belajar terutamanya subjek yang amat diminatinya, Matematik.

Ayahnya, Jainulabdeen yang tidak berpelajaran tinggi mahu Abdul Kalam belajar. Abdul Kalam bangun pada pukul 4 pagi setiap hari untuk mengikuti kelas Matematik. Selepas kelas, beliau dan sepupunya, Samsuddin mengedarkan akhbar bagi membantu keluarganya yang jatuh miskin selepas perniagaan feri yang diusahakan gagal, setelah pembukaan Jambatan Pamban pada 1914.

Kampungnya juga tidak mempunyai bekalan elektrik. Jadi, ibunya, Ashiamma berjimat-cermat semasa menggunakan lampu kerosin (minyak tanah). Rumahnya hanya diterangi cahaya dari pukul 7 malam hingga 8 malam bagi membolehkan Abdul Kalam belajar di biliknya sehingga pukul 11 malam.

Beliau kemudian menyambung pengajian di Kolej Saint Joseph, Tiruchirappalli dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam fizik pada 1954. Namun, selepas hilang minat dalam bidang fizik, beliau mengambil kursus kejuruteraan aeroangkasa di Institut Teknologi Madras pada 1955.

Selepas menamatkan pengajian di institut itu pada 1960, Abdul Kalam memulakan karier sebagai santis dengan menyertai Penubuhan Pembangunan Aeronautika di Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO). Di situ, beliau merekabentuk sebuah helikopter kecil untuk tentera India.

Pada 1969, beliau ditugaskan sebagai pengarah projek Kenderaan Pelancar Satelit (SLV-III) India yang pertama dan kemudian berjaya melancarkan Satelit Rohini ke orbit pada Julai 1980.

Pada 1965, Abdul Kalam memulakan projek roket di DRDO. Antara Julai 1992 dan Disember 1999, beliau bertugas sebagai Ketua Penasihat Saintifik kepada Perdana Menteri dan Setiausaha DRDO. Pada masa inilah, ujian nuklear Pokhran-II dilakukan ketika beliau menjadi Ketua Penyelaras Projek bersama Rajagopala Chidambaram.

Walaupun Abdul Kalam sudah tidak ada, beliau meninggalkan legasi besar terutama sumbangannya kepada industri pertahanan India. Pelbagai kejayaan yang dicapai dalam hidupnya hasil usaha gigih akan terus memberikan inspirasi kepada kanak-kanak dan golongan muda di seluruh dunia, terutama di India.

Oleh: AMIZUL TUNIZAR AH MAD TERMIZI
Sumber: Utusan

Tiada Lagi Lelaki ‘Misil’

India yang mempunyai 1.2 bilion penduduk, berkabung pada minggu lalu apabila bekas Presiden negara itu, Dr. APJ Abdul Kalam yang juga dikenali sebagai ‘lelaki misil’ menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abdul Kalam rebah sewaktu menyampaikan syarahan di Institut Pengurusan India di Shillong, Meghalaya.

Rata-rata media menyiarkan banyak berita mengenai pencapaian peribadi dan sumbangannya kepada negara serta impiannya untuk melihat India muncul sebagai kuasa besar menjelang 2020.

Anak lelaki seorang pengusaha bot yang membawa jemaah Hindu pergi-balik antara Rameswaram dan Dhanushkodi di Tamil Nadu dianggap sebagai enigma oleh rakyat India. Beliau bukan sahaja membantu penciptaan misil yang boleh mengakibatkan kemusnahan tetapi juga memperbaiki peranti perubatan yang mengurangkan penderitaan pesakit polio serta pesakit jantung.

BUKAN SEMATA-MATA 
LELAKI MISIL

Ketika seluruh dunia mengenali Avul Pakir Jainulabdeen ‘A. P. J.’ Abdul Kalam sebagai lelaki yang berjaya memimpin program misil balistik yang memberi kejutan kepada negara jiran iaitu Pakistan dan China, ada lagi kisah lelaki ini yang tidak ramai yang tahu.

Malahan saya sendiri tidak sedar betapa banyaknya sumbangan serta kejayaan Abdul Kalam menjangkau usaha saintifik serta hakikat beliau adalah mantan Presiden India. Beliau bukan sahaja dilihat sebagai contoh teladan kepada berjuta-juta anak muda tetapi juga adalah seorang pendidik, penulis dan pujangga yang mengabadikan seluruh jiwa dan raganya untuk rakyat serta negaranya.

Semasa kecil, beliau menyimpan impian untuk menjadi juruterbang tetapi akhirnya berkhidmat di Institut Teknologi Madras dengan pengkhususan dalam bidang kejuruteraan penerbangan. Abdul Kalam tidak pernah menyambung pelajaran di luar India dan beliau adalah produk sejati ‘Buatan India’.

PRESIDEN BERJIWA RAKYAT

Di samping mencipta nama sebagai saintis dan jurutera, Abdul Kalam pernah menjadi Presiden ke-11 India dari tahun 2002 hingga 2007. Beliau beragama Islam dan pencalonan sebagai presiden dibuat oleh parti Hindu berhaluan kanan, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Beliau dikenali sebagai presiden yang amat merendah diri dan mengetepikan semua sekatan protokol serta formaliti supaya beliau boleh bersama dengan rakyat jelata. Abdul Kalam juga sering mengundang kumpulan 'aam admi' (orang biasa) terutamanya anak muda serta kanak-kanak kurang bernasib baik ke istana presidennya.

Dilaporkan juga beliau sering berdamping rapat dengan golongan muda India untuk berkongsi wawasannya dengan mereka. Beliau berpegang teguh dengan dua kata hikmat yang mana untuk mencungkil potensi anak muda adalah dengan kerja keras dan dedikasi.

SUMBANGAN KEPADA PENJAGAAN KESIHATAN

Sewaktu wawancara media yang dibuat beberapa tahun lalu, beliau yang kekal bujang membuat pengakuan bahawa kejayaan terbesar beliau bukan dalam penghasilan misil atau teknologi satelit tetapi menolong mereka yang memerlukan bantuan perubatan.

Pada pertengahan 1980-an, rakannya yang juga seorang doktor meminta bantuan beliau mengurangkan penderitaan pesakit polio yang terpaksa memakai angkup yang berat dan ini mengehadkan pergerakan mereka.

Beliau dan pasukannya pada masa itu sedang membuat kajian menggunakan komposit karbon yang lebih ringan untuk misil, menghulurkan bantuan dengan mengurangkan berat angkup daripada empat kilogram kepada 400 gram.

Abdul Kalam dalam wawancara itu memberitahu bahawa beliau hampir menitiskan air mata apabila melihat betapa gembiranya pesakit polio serta ibu bapa mereka ketika melawat hospital sewaktu menyandang jawatan presiden.

Ketika berkhidmat sebagai Pengarah Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan, beliau membuat sumbangan reka bentuk 'stent' (tiub kecil untuk menghalang arteri daripada tersumbat) yang lebih murah untuk pesakit jantung yang menghadapi masalah jantung tersumbat.

Dalam bidang penulisan, empat daripada buku Abdul Kalam mendapat tempat di hati rakyat India.
Buku-buku itu adalah Wings of Fire, India 2020 - A Vision for the New Millennium, My Journey dan Ignited Minds - Unleashing the Power Within India.

Buku-buku ini juga diterjemah kepada banyak bahasa India dan bahasa utama dunia. Sehingga akhir hayatnya, Abdul Kalam masih mahu berkongsi ilmunya. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham. – BERNAMA

Oleh: M.SANTHIRAN
Sumber: Utusan [08082015]

0 comments: