Nuff Atas

05 Ogos 2015

Seluar Ketat Undang Masalah Saraf Kepada Wanita


Seluar ketat boleh menjejaskan saraf dan postur badan.

Memakai seluar jean ketat atau skinny jean sangat menjadi kegilaan anak muda ketika ini sama ada bagi yang berbadan kurus atau besar, malah ada yang sanggup mengecilkan seluar yang dibeli semata-mata untuk mendapat saiz yang paling diidamkan.

Sesetengah mereka sanggup menyeksa diri untuk memakai seluar seperti itu hingga perlu meminta bantuan orang lain bagi membutang atau menzipkan seluar berkenaan atau melompat-lompat semata-mata untuk ‘memuatkan’ diri, asalkan kelihatan cantik pada pandangan mata.

Namun, tanpa sedar pemakaian seluar ketat terutama daripada fabrik jean atau denim mengundang bahaya kepada si pemakai sama ada lelaki mahupun wanita.


Memang, sebelum ini golongan lelaki lebih sering dikaitkan dengan isu ini ekoran boleh menyebabkan kemandulan.

Namun, golongan wanita yang terlalu kerap memakai seluar ketat sebenarnya terdedah kepada risiko masalah saraf dan sendi terutama di bahagian pinggul dan pinggang.

Menurut Ketua Unit Fisioterapi, Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Zunaidah Abu Samah, hakikatnya, pemakaian seluar denim tidak dilihat memberi kemudaratan kepada pemakai selagi mereka berasa selesa, tidak ketat dan tidak mengehadkan pergerakan, namun jika sebaliknya, ada risiko yang mereka bakal berdepan.

Katanya, pemakaian seluar yang ketat dan tidak fleksibel dalam jangka masa yang lama dan secara berterusan akan menghalang pergerakan serta boleh menimbulkan masalah kesihatan.

“Terdapat kajian terdahulu tentang pemakaian seluar yang ketat yang boleh menyebabkan kaki berasa kebas pada paha atau lebih dikenali sebagai meralgia paresthetica yang didakwa sering berlaku dalam kalangan pemain bola sepak.

“Pun begitu, keadaan tersebut berlaku bukanlah dirujuk kepada spesifikasi kepada pemakaian seluar denim yang ketat semata-mata tetapi juga kepada pemakaian pakaian yang ketat pelbagai jenis fabrik dan tidak fleksibel di bahagian pinggang.

“Pemakaian ketat hanyalah salah satu antara penyumbang kepada masalah kesihatan yang mungkin dilihat tidak serius, namun hakikatnya keadaan itu boleh menjejaskan fungsi-fungsi saraf dan otot di kawasan tertentu,” katanya.

Jelas Zunaidah, kesan pemakaian seluar ketat berlaku apabila pergerakan sendi anggota bawah menjadi terhad di bahagian pinggang yang menyebabkan ruangan pada bahagian pelvis dan sendi pinggul menjadi sangat sempit ketika individu itu bergerak seperti berjalan dan melangkah.

Keadaan lebih ketara ketika membengkokkan badan ke hadapan semasa duduk di kerusi, mencangkung dan sebagainya.

Akibatnya, tekanan yang tinggi akan berlaku pada saraf yang terletak di pelvis secara tetap sehingga mengakibatkan seseorang individu itu berasa kebas, terbakar, kesejukan, sakit mencucuk, sangat sensitif apabila tersentuh, selain rasa tidak selesa pada bahagian tepi paha.

Simptom itu boleh berlaku sementara ataupun dalam tempoh berpanjangan bergantung kepada tahap tekanan yang berlaku.

“Pada peringkat awal, mungkin seseorang itu hanya akan mendapat simptom seperti yang dinyatakan di atas untuk sementara sahaja pada bahagian lateral atau tepi paha.

“Namun, sekiranya individu itu mengabaikan masalah yang berlaku dan tiada rawatan diberikan, lama-kelamaan simptom lain seperti sakit pada sendi pinggul, sendi lutut atau otot betis akan muncul.

“Ini adalah kesan secara tidak langsung yang berlaku kepada pesakit apabila mereka cuba mengubahsuai pergerakan aktiviti harian semata-mata untuk mengurangkan simptom awal yang dialaminya,” ujar Zunaidah.

Biarpun pemakaian seluar ketat hanyalah salah satu faktor penggalak kepada masalah jika berlaku kecederaan saraf, namun perkara itu tidak boleh diambil mudah ekoran keadaan itu secara tidak langsung mengubah cara seseorang itu melakukan aktiviti harian daripada cara yang normal kepada yang tidak normal.

Keadaan itu melibatkan perubahan seluruh postur tubuh, gaya berjalan dan peri laku seseorang tanpa disedari. Perubahan itu juga akan menjurus kepada ketidakseimbangan pergerakan tubuh dan fungsi setiap otot pada tubuh badan.

“Untuk tempoh jangka masa yang lama pemakaian seluar ketat mendatangkan rangkaian masalah muskuloskeletal (tulang dan otot) yang serius pada diri seseorang.

“Walau bagaimanapun, itu hanyalah antara faktor dan masih terdapat faktor yang lain seperti genetik atau struktur anatomi tubuh manusia yang perlu diambil kira sekiranya kecederaan pada saraf tersebut berlaku,” katanya.

OLEH SITI AIRUNNISA ALAUI
Sumber: Utusan

0 comments: