Nuff Atas

07 September 2015

Korban Great Kanto Earthquake 1 September 1923


PEMANDANGAN bandar raya Tokyo yang terletak dalam wilayah Kanto pada hari ini.

MENGIMBAS peristiwa yang berlaku 92 tahun lalu, satu gempa bumi dahsyat menggegarkan wilayah Kanto yang terletak di Pulau Honshu, Jepun sehingga meninggalkan kesan kemusnahan yang dahsyat.

Tanggal 1 September 1923 pasti menjadi tarikh yang diingati. Manakan tidak, malapetaka itu telah me­ngorbankan ratusan ribu nyawa yang tanpa mengira latar status sosial mereka.

Gempa bumi yang diberi jolokan sebagai Gempa Kanto atau Great Kanto Earthquake itu dianggap sebagai gempa bumi paling kuat pernah melanda Jepun sehingga kesannya turut menjejaskan ibu negara Jepun, Tokyo.


Gempa dahsyat de­ngan kekuatan 9 skala Richter itu berlaku tepat pada pukul 11.58 pagi selama 4 minit sehingga menyebabkan berlaku banyak kebakaran besar yang akhirnya merebak dengan cepat berikutan angin kencang yang bertiup ke wilayah Kanto.

Kebakaran besar

Gempa bumi itu benar-benar menjadi dugaan hidup masyarakat ketika itu apatah lagi ia berlaku beberapa hari selepas Semenanjung Noto yang terletak di pesisir laut Jepun dilanda taufan.


Bandar Tokyo hampir rata akibat dilanda gempa bumi pada 1929.

Menurut laporan akhbar Japan Daily Press keluaran 3 September 2013, Gempa Kanto disifatkan sebagai gempa paling dahsyat dalam sejarah dunia berikutan pembentukan tsunami yang menenggelamkan kawasan pesisir pantai Noto beberapa minit sejurus selepas gempa.

Menurut pengkaji Pusat Pemerhati Gempa dan Tektonik, Dr. John Elliot dari Universiti Oxford, England, pusat gempa itu terjadi di dasar laut pada kedalaman 24 kilometer iaitu sekitar 130 kilometer dari pusat bandar Sendai.

“Melihat pada kekuatan Gempa Kanto, kemungkinan kesan retakan pada perut bumi terjadi sekitar 500 kilometer,” ujar Elliot yang banyak menjalankan kajian tentang fenomena gempa bumi.

Menurut Elliot, gempa yang sama juga berlaku pada tahun 1933 tetapi hanya sekuat 8.4 skala Richter. Gempa itu turut menyebabkan berlaku tsunami besar dengan mengakibatkan 3,000 orang terkorban.

Pusat Amaran Tsunami Amerika Syarikat yang dipasang di Lautan Pasifik melaporkan, gelombang tsunami yang disebabkan oleh gempa melebihi bacaan 7 pada skala Richter di lautan itu mampu menghempas sehingga ke Filipina, Hawaii dan bahagian selatan dan utara Amerika Syarikat.

Akibat tiga kejadian itu, sekurang-kurangnya 100,000 orang dianggarkan terkorban dengan kebanyakan daripada mereka mati dalam kebakaran besar, manakala 40,000 yang lain hilang ditelan tsunami.


KESELURUHAN bandar di Teluk Yokohama musnah akibat kebakaran daripada letupan loji menyimpan minyak setelah dilanda gempa pada 1 September 1923.

Kebanyakan mangsa yang terkorban dalam kebakaran itu merupakan penduduk bandar Kanto yang berpindah ke Teluk Yokohama sebelum berlaku letupan pada tangki penyimpanan minyak di kawasan berdekatan, manakala sekitar 30,000 orang pula terkorban selepas sebuah bekas gudang penyimpanan pa­kaian di Tokyo terbakar.

Ulang tahun

Kebakaran yang terjadi bagaimanapun hanya dapat dipadamkan dua hari kemudian pada 3 September 1923 kerana masalah paip air bawah tanah pecah dan tidak dapat digunakan, malah kesan kebakaran tersebut menyebabkan suhu udara di kawasan terjejas mencecah sehingga 47.3 darjah Celsius.

Sebagai tanda memperingati bencana Gempa Kanto, pemerintah Jepun telah mengumumkan tanggal 1 September setiap tahun sejak 1960 sebagai Hari Pencegahan Bencana di Jepun.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada bencana masa lalu untuk mencipta keamanan dalam masyarakat.

“Saya juga akan terus berdoa untuk kesemua mangsa dalam kejadian Gempa Kanto dengan rasa keinsafan,” ujar Masami Higaki, ketua majlis memperingati ulang tahun Gempa Kanto ke-90 yang disambut pada 2013.

Sejak tahun 1900, Jepun telah mengalami 10 kali gempa dahsyat yang menyebabkan ribuan penduduknya terkorban setiap kali bencana, kecuali dalam kejadian gempa Kanto apabila telah menyebabkan 140,000 orang terbunuh.

Sumber: Kosmo

0 comments: