10 September 2015

Rahsia Ulam-Ulaman


Ulam Jering

Generasi muda yang tahu makan ulam-ulaman mungkin boleh dibilang dengan jari. Hal itu membuatkan diet harian masyarakat Melayu sejak dahulu itu semakin terhakis daripada kehidupan masyarakat hari ini.

Ada di antara mereka yang tidak menyukai rasa, bau, warna malah merasakan makanan seperti itu tidak mengikut trend sekarang yang lebih bergantug dengan makanan tambahan seperti vitamin, pemutih dan sebagainya.

Mereka sebenarnya tidak mengetahui rahsia yang terkandung dalam ulam-ulaman ini yang mampu mencegah pelbagai jenis penyakit selain kebaikan lain seperti awet muda, baik untuk kulit dan sebagainya.


Ia juga adalah salah satu cara untuk kekal muda dan sihat secara alami selain daripada mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli set makanan tambahan yang terdapat di pasaran.

Ulam boleh dikategorikan kepada keseluruhan tumbuhan iaitu dari pucuk, daun, batang, biji, buah, umbut dan sehinggalah ke bahagian bunga boleh dimanfaatkan dalam diet seharian.

Setiap dari bahagian itu punyai pelbagai khasiat yang mungkin kita tidak tahu tetapi boleh dikatakan menjadi penawar pelbagai penyakit sejak turun-temurun.

Mari kita kenali jenis-jenis ulam yang terdapat di negara ini. Di sini ada beberapa ulam yang popular dan terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang boleh didapati dengan bacaan lain.

Jering:
Ulam yang mempunyai bau yang kuat seperti petai tetapi mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.
Kaya dengan protein, karbohidrat, lemak, serat, kalsium, fosforus, besi, dan vitamin A, B, C.
Ia dipercayai dapat membantu memberi rangsangan untuk memudahkan proses membuang air kecil.

Daun selom:
Berkhasiat untuk mengubati demam panas dan mengawal penyakit tekanan darah tinggi.
Memberi kesan sebagai ejen antireumatik dan membantu menurunkan paras gula dan kolesterol pesakit diabetes.

Cekur:
Mengandungi provitamin akarotena terutama pada daun yang baru dipetik.
Mengandungi vitamin B, C, protein dan mineral yang tersenarai di bawah keluarga halia tetapi kurang popular
Mengubati batuk, sakit tekak dan meredakan demam serta mempunyai bahan antibakteria, antikulat dan antikeradangan.

Ulam raja:
Mengandungi protein, lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.
Bertindak sebagai pembersih darah, menguatkan tulang serta merangsang selera makan kerana rasa dan baunya yang unik.

Pucuk gajus:
Daun gajus muda berwarna merah atau merah perang dan rasanya yang kelat dan masam.
Membantu mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah.
Daun tua yang dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit lain.

Daun kaduk:
Mempunyai rupa seperti daun sirih tetapi daunnya lebih lembut dan pedas sedikit apabila dimakan secara dimasak atau mentah.
Ulam ini mempunyai khasiat untuk membantu menguatkan tulang, melegakan batuk, selesema dan sengal sendi.

Petai:
Ulam dari jenis kekacang paling popular
Mengandungi protien, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C
Mampu merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang

Pegaga:
Sejenis tumbuhan suka menjalar.
Mempunyai kesan antioksida yang mampu memberikan kesihatan dan kecantikan buat wanita.
Kajian WHO mendapati pegaga mampu menjana kecergasan fikiran, melancarkan peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Sumber: Utusan

0 comments: