09 September 2015

Serangan Terburuk El Nino Si Budak Kecil Di Penghujung 2015



KEADAAN udara yang teruk berjerebu di Putrajaya baru-baru ini menyebabkan Wahida Jamaluddin, 37, tidak berani keluar rumah tanpa mengenakan topeng muka.

Dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri paras tidak sihat, wanita tersebut khuatir cuaca panas serta kering itu akan memudaratkan kesihatannya sementelah pencemaran udara itu boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, batuk dan selesema.

Keadaan ini pastinya bukan hanya membimbangkan Wahida tetapi turut membimbangkan anda semua yang juga merasai keadaan cuaca sedemikian.


Kemerosotan kualiti udara itu semakin membimbangkan selepas laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengesan lebih 600 lokasi titik panas di seluruh Sumatera seperti di Jambi, Riau dan Sumatera Selatan sehingga Jumaat lepas.

Situasi tersebut juga memberi petunjuk awal bahawa fenomena El Nino yang bermaksud Little Boy atau Budak Lelaki Kecil dalam bahasa Sepanyol itu dijangka menye­rang dunia termasuk Malaysia tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Organisasi Meteo­rologi Dunia (WMO) meramalkan El Nino kali ini mungkin menjadi fenome­na paling buruk yang pernah direkodkan sejak lebih separuh abad lalu.

Sebelum ini, El Nino paling teruk di dunia direkodkan pada tahun 1998 dengan 23,000 angka kematian selain kemusnahan yang mencecah AS$45 bilion (RM190.6 bilion).

Tiga taufan

Pakar kaji cuaca meramalkan suhu permukaan air laut di bahagian timur serta tengah Lautan Pasifik dijangka meningkat sehingga 2.2 darjah Celcius lebih panas daripada suhu normal.

“Angka ini hanya terjadi tiga kali sejak 65 tahun dahulu. Apa yang terjadi saat ini, El Nino yang kita rasakan sekarang dan seterusnya akan menjadi yang paling buruk dalam sejarah sejak tahun 1950,” kata Pengarah Ramalan Penyesuaian Iklim WMO, Maxx Dilley.


EL NINO mendatangkan kemarau yang menjejaskan tanaman seperti padi.

Lebih memburukkan keadaan, pusat ramalan kaji cuaca Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mendapati terdapat kemungkinan lebih 90 peratus feno­mena itu akan berlarutan sehingga tahun depan.

NOAA turut menyebut bahawa kekuatan El Nino dijangka akan mencapai kemuncaknya sekitar Oktober 2015 ini hingga Januari 2016 tahun hadapan.

“Ia dijangka lebih teruk daripada rekod El Nino pada 1997 yang menyebabkan bencana di beberapa buah negara seperti banjir besar di barat AS, kemarau buruk di Indonesia, wabak virus maut di Afrika, banjir lumpur di California dan kebakaran hutan di Australia,” katanya.

Selain itu, El Nino kali ini juga dilihat mencetuskan satu fenomena baharu yang disifatkan oleh para saintis sebagai sesuatu yang luar biasa.

Buat pertama kali dalam sejarah moden, tiga taufan kategori empat iaitu dengan kelajuan angin sekitar 209 hingga 251 kilometer sejam dikesan berlaku secara serentak di Kepulauan Hawaii di Lautan Pasifik.

Sebagai rekod, taufan kategori empat merupakan taufan kedua terkuat dan boleh mengakibatkan kerosakan teruk dengan meranapkan kediaman selain menyebabkan sebahagian besar pokok dan tiang elektrik patah atau tercabut akibat tiupan angin kencang.

Seorang saintis penyelidik di projek meteorologi tropika di Colorado State University, Phil Klotzbach berkata, fenomena tersebut merupakan kejadian alam yang sangat jarang berlaku.

“Ia benar-benar menakjubkan. Lebih menarik, dua daripada taufan berkenaan terjadi di Pasifik Tengah, sebuah kawasan berisiko paling rendah terkena taufan,” katanya.

Taufan yang berlaku di bahagian tengah serta timur lautan terbesar di dunia itu termasuklah Taufan Ignacio, Jimena dan Kilo.

Perubahan iklim

Klotzbach memberitahu, punca di sebalik peningkatan aktiviti itu adalah daripada pergerakan air laut yang panas ke tengah dan timur Lautan Pasifik, menjadikan pembentukan taufan lebih mudah berlaku.


Di bahagian lain di dunia, sesetengah negara di Amerika Selatan termasuk Peru mengalami hujan lebat dan banjir besar.

“El Nino kuat mempengaruhi musim siklon di seluruh dunia. Lebih panas suhu laut di Timur Pasifik, lebih banyak taufan akan berlaku,” jelasnya.

Secara mudahnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 8 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di timur Lautan Pasifik. Namun feno­mena itu menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia.

Kawasan timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Colombia, Ecua­dor dan Chile akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir serta banjir besar.

Pada masa sama, fenomena itu menyebabkan berlakunya cuaca panas serta kemarau selain kadar hujan yang sedikit di Australia serta negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Berdasarkan rekod, kejadian alam itu telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1950-an dan kejadian yang paling teruk ialah pada tahun 1998 dengan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April tahun berkenaan.

Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenya­taan berkata, purata kebanyakan model-model iklim antarabangsa kini menjangkakan kemungkinan El Nino yang sederhana meningkat menjadi kuat menjelang September dan ia boleh berterusan sehingga awal tahun depan.

“Ukuran El Nino pada tahap yang kuat kadangkala boleh meningkatkan suhu antara 0.5 hingga 2 darjah Celcius di seluruh negara selain menyebabkan pengurangan jumlah hujan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Penduduk di kedua-dua negeri itu juga akan menjadi yang pertama merasai impak fenomena tersebut memandangkan kedudukannya yang terletak berdekatan Lautan Pasifik,” katanya.

Sumber: Kosmo

0 comments: