Nuff Atas

05 September 2015

Tapak Memorial Labuan dan Sambutan Hari Anzac



Tempat persemadian atau tanah perkuburan bukanlah tempat yang menarik untuk dikunjungi. Begitupun, keadaan berbeza jika berkunjung ke Tapak Memorial Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan. Ia terletak di Jalan Tanjong Batu sejauh tiga kilometer dari bandar labuan.

Kawasan seluas lima hektar itu menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Tapak Memorial Labuan merupakan tempat persemadian hampir 4,000 tentera Australia dan negara luar yang berjuang menentang tentera Jepun di Labuan pada Perang Dunia Pertama dan Kedua.


Hari Anzac adalah hari memperingati anggota tentera Australia dan New Zealand yang terkorban ketika berkhidmat di medan perang. Pada hari tersebut yang diraikan pada 25 April, waris keluarga tentera yang terkorban akan mengunjungi tanah perkuburan yang menyemadikan jasad anggota tentera tersebut termasuk Tapak Memorial Labuan bagi memberi penghormatan.


Waris keluarga tentera yang terkorban pasti mengunjungi Tapak Memorial Labuan bagi memberi penghormatan pada setiap tahun.

Jepun telah menakluki Labuan pada Januari 1942 dan melaksanakan peraturan ketat.

Pada tahun 1945 pula, tentera Australia berjaya membebaskan negeri itu daripada penduduk Jepun dan mereka menyerah diri.

Seorang bekas tentera, Ron Hatch, 91, masih bertenaga dan mampu mengingati dengan jelas peristiwa hitam tersebut.

“Pada ketika itu, kanak-kanak seawal usia 15 tahun dipaksa menyertai pasukan tentera. Disebabkan itu, jika anda melawat memorial ini, ramai tentera terkorban pada usia muda,” katanya.

Katanya, kebanyakan ‘penghuni’ memorial ini merupakan warga Australia yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

Terdapat juga segelintir kubur milik tentera beragama Islam. Bagaimanapun, kedudukannya sedikit jauh daripada perkuburan tentera lain.

Hampir 3,000 ‘penghuni’ tidak mempunyai nama, cuma dinyatakan ‘kepada tentera tidak dikenali’.

Hal ini kerana mayat mereka tidak dapat dikenal pasti ekoran tag nama hilang dalam medan perang.

Tambahnya, dia telah lama tidak menjejakkan kaki ke tanah Labuan sejak tahun 1996 kerana faktor umur dan keluarga.

“Begitupun, pada tahun ini, saya bertekad ingin datang semula ke Labuan. Jadi, saya membawa keluarga terutamanya cucu dan cicit bagi melihat serta mengetahui kisah sejarah dulu,” jelasnya.

Pengalaman perit

Dalam nada sayu, Hatch menceritakan pengalamannya ketika medan peperangan yang terpaksa menghadapi seksaan daripada tentera Jepun.

“Saya menyaksikan sendiri rakan baik yang juga seperjuangan dalam tentera, Ralph Gould mati di depan mata. Ia satu pengalaman yang paling perit buat saya.

“Kata-kata terakhirnya masih terngiang-ngiang dan segar dalam fikiran saya. Dia berkata Ron, satu hari nanti kita akan berjaya menumpaskan tentera Jepun,” ujar anak kelahiran Australia itu.

Hatch terpaksa mengharungi perjalanan perit dan penyeksaan tentera Jepun selama empat tahun setengah. Dia juga terlibat dalam Perarakan Maut atau Death March dari Sandakan ke Ranau.

Kira-kira 3,000 tentera Australia yang menjadi tahanan Jepun terlibat dalam Perarakan Maut namun hanya lima orang yang terselamat, manakala hampir 1,200 terkorban di medan.

“Kami terpaksa berjalan jauh malah bekalan makanan atau minuman terhad. Kebanyakan tentera mati akibat tidak cukup rehat dan makan,” ujarnya.

Hatch memberitahu, peperangan bukanlah satu penyelesaian yang terbaik malah tidak membawa sebarang kebaikan.

Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Sumber: Kosmo

0 comments: