12 Mac 2013

Doktor Badut


Kemunculan bantu ceriakan pesakit

Apabila mendengar badut pastinya ramai yang terbayang wajah kelakar dengan penampilan yang melucukan dan pakaian berwarna warni.

Sering kali juga badut dilabelkan sebagai kerjaya yang tidak serius, tidak matang dan berkait rapat dengan masa gembira saja serta perkara remeh temeh.

Namun, ramai yang tidak tahu kini ada sekumpulan badut yang kerjanya menghiburkan orang sakit termasuk pesakit yang terlantar di hospital dalam usaha mewujudkan suasana yang ceria.

Kehadiran mereka yang bergelar doktor badut bukanlah untuk merawat penyakit, tetapi membantu meredakan ketegangan, tekanan, keresahan atau kesakitan yang ditanggung oleh pesakit dan anggota keluarganya. Tapi mereka juga badut yang boleh meniup belon untuk memeriahkan majlis hari jadi.


Kemunculan mereka sedikit sebanyak dapat membuatkan rasa lega, melupakan seketika kesakitan. Doktor badut ini adalah ‘doktor’ yang merawat jiwa pesakit tertekan kerana melalui pelbagai proses rawatan menyakitkan dalam suasana hospital yang menakutkan dan suram.

Sebenarnya, doktor badut ini bukan perkara baru dalam bidang pemulihan kesihatan antarabangsa, kerana ia sudah dipraktikkan di beberapa negara sejak lebih 25 tahun lalu.

Malah, kisah mengenai doktor badut ini sudah dipaparkan menerusi filem Patch Adams pada 1998. Filem yang di adaptasi dari kisah benar itu memaparkan bagaimana seorang doktor, Dr Hunter Doherty atau Patch Adam lakonan Robin Williams berjuang lebih 30 tahun menggunakan kaedah rawatan dan terapi ceria bagi membantu proses perubatan.



Berjiwa murni

Adakah Malaysia mempunyai doktor badut? Ramai tidak tahu sebenarnya di negara ini sudah ada orang yang menjalankan tugas doktor badut ini.

Kerjaya ini dilakukan oleh lelaki berjiwa murni, Iskandar Syah Ismail, 37 yang sudah lebih 10 tahun sudah menceburi bidang menghiburkan orang sakit.

Bergerak secara solo, Iskandar melalui badan amal yang ditubuhkan bersama tujuh ahli yang lain iaitu Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau dikenali Red Bubbles memberikan khidmat menghiburkan orang sakit secara sukarela di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 2011.

Sebelum itu, beliau dengan menggunakan nama Dr Bubbles sudah menjadi doktor badut untuk pelbagai program anjuran pertubuhan amal dan kebajikan tempatan serta antarabangsa serta orang perseorangan di negara ini.



Senyuman dari pesakit kecil

Menceritakan pembabitannya, Iskandar Syah yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, semuanya bermula ketika beliau menjadi sukarelawan di Majlis Kanser Nasional (MAKNA), sekembalinya dari pengajian kejuruteraan kimia di University of Bradford, United Kingdom pada 1999.

Sebagai sukarelawan di MAKNA, Iskandar banyak terbabit dalam projek mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser termasuk melawat sambil menghiburkan kanak-kanak di wad pediatrik.

“Sepanjang kunjungan itu, saya lihat anak kecil sedang menahan kesakitan akibat kanser tetap melemparkan senyuman apabila dihiburkan dan dari situ saya terfikir untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna.

“Seorang teman menunjukkan artikel mengenai doktor badut kepada saya, menyebabkan tertarik mengetahui lebih lanjut dan mendapatkan maklumat melalui internet.

“Melalui kajian di internet itu saya mendapat maklumat mengenai rawatan berbentuk hiburan khusus untuk penjagaan kesihatan yang dinamakan `clowning therapy' atau terapi badut. Terapi sebegini sudah lama diamalkan di Barat. Bermula saat itu, saya terus memohon mengikuti kursus untuk menjadi doktor badut,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh ini.

Pada 2002, ketika menjadi guru sukarelawan bahasa Inggeris di Laos, Iskandar bertemu dengan sukarelawan yang bertugas di Pusat Pembangunan Kanak-kanak Donekoi Laos, dikenali Madam Xuyen.

"Madam Xuyen menggalakkan saya mengajar kanak-kanak menerusi kaedah belajar sambil berhibur yang dikendalikan badut. Dari situlah saya mengutip pengalaman dan meneruskan azam untuk menjadi doktor badut profesional,” katanya.

Pada 2003 Iskandar mengikuti kursus terapi badut di Yayasan Terapi Badut Arizona, Amerika Syarikat selepas menerima biasiswa dari Mark Anthony Memorial Scholarship dan tajaan Rantauan.com, manakala Penerbangan Malaysia (MAS) menaja tiket perjalanan.

Pada tahun sama, Iskandar ke New York mengikuti kursus seminggu di University of Wisconsin La Crosse. Ketika di New York, beliau menyaksikan sendiri terapi badut dijalankan di Big Apple Clown Unit di Hospital Kanak-Kanak Boston dan Jeannie Lindheim's Hospital Clown Therapy, Boston.


Dr Hunter Doherty atau Patch Adam lakonan Robin Williams

Membantu mangsa gempa

Selepas tamat kursus itu, pada 2004 Iskandar dijemput Presiden MERCY Malaysia ketika itu, Tan Sri Jemilah Mahmood menjadi sukarelawan membantu mangsa gempa di Bam, Iran.

“Sepanjang di sana saya puas hati kerana dapat melihat mangsa gempa bumi dari kanak-kanak hingga orang dewasa hospital terhibur dengan kehadiran saya. Saya juga berpeluang menghiburkan askar yang keletihan dan tidak bersemangat menjalankan tugas,” katanya.

Iskandar meneruskan minatnya dan menambahkan ilmu dalam bidang badut teater dengan beberapa guru dalam bidang ini di Amerika Syarikat pada 2005 dan 2006. Beliau belajar dengan salah seorang pengajar seni komedi terkemuka di Amerika, Avner Eisenberg di The Celebration Barn Theatre, Maine.

“Paling saya tidak lupa apabila Eisenberg memuji persembahan saya dan menyatakan saya memang berbakat dan dilahirkan untuk menjadi badut ," katanya.

Iskandar juga pernah mengikuti bengkel jangka pendek dengan pelakon utama dalam pertunjukan seni badut teater terkenal di Broadway, Jef Jonson; Slava Snowshow dan Christopher Bayes di New York.

Menubuhkan Red Bubbles

Pelbagai pengalaman dikutip melalui kursus yang dihadiri selain pergaulan dengan doktor badut profesional dari pelbagai organisasi menguatkan azam Iskandar menganjurkan program doktor badut secara profesional.

Pada 2008, selepas meninggalkan sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa, beliau memberi tumpuan kepada penubuhan pertubuhan amal yang menganjurkan program lawatan doktor badut profesional.

Dalam masa kurang sebulan beliau dan rakan berjaya menubuhkan Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah atau dikenali sebagai Red Bubbles pada April 2011.

Red Bubbles yang diinspirasi daripada warna hidung badut yang selalunya berwarna merah manakala bubble atau buih dipilih kerana ia menjadi bahan yang selalu ditiup badut untuk menghiburkan kanak-kanak, selain metafora kepada saat indah yang sering diingati kanak-kanak.

Iskandar Syah yang berasal dari Pahang berkata, tumpuannya kini menjadikan program lawatan doktor badut profesional satu kenyataan atau realiti menjelang tahun depan.

“Saya harap setiap hospital di negara ini mempunyai doktor badut yang dapat menghiburkan pesakit dan keluarga mereka sebagaimana yang sudah dipraktikkan di Amerika Syarikat, Perancis dan negara lain di Eropah,” katanya.

Tidak malu ditertawa

Watak doktor badut yang dibawanya pastinya mengundang tawa dan senyum orang ramai, tetapi Iskandar menegaskan, beliau tidak malu kerana niatnya mahu menghiburkan pesakit serta mereka yang mungkin menunggu ajal tiba.

“Saya sudah biasa ditertawakan,” katanya.

Berkongsi pengalaman menarik sepanjang menjadi badut, beliau tidak akan lupa bagaimana menggembirakan seorang pesakit kanser yang buta dan terlantar di rumah keluarganya di Sabah hanya dengan menggunakan mesin kentut.

“Asalnya saya buntu memikirkan apa yang boleh dibuat bagi menghiburkan pesakit buta, namun atas cadangan seorang teman, saya akhirnya menggunakan mesin kentut yang mampu mengundang tawa, malah kehadiran saya kali kedua, kira-kira dua tahun kemudiannya masih diingati pesakit itu, malah dia menggelarkan saya doktor kentut,” katanya.

Iskandar turut bercerita bagaimana beliau turut dipanggil menghiburkan pesakit yang sedang koma di Johor Bahru.

“Apabila mengetahui suami pesakit itu koma, saya terkedu. Saya mencadangkan supaya memasang lagu kegemaran dan membacakan artikel berkaitan sukan kepada suaminya.

“Hasilnya, keluarga wanita itu kembali ceria apabila mengimbau nostalgia dengan suaminya. Kes ini memberikan kelegaan dan rasa puas hati yang sukar diucapkan,” katanya.

Selain lawatan ke hospital Red Bubbles juga bersedia membuat lawatan ke rumah atau mana-mana tempat yang memerlukan khidmat badut untuk menghiburkan pesakit.

“Kami berbeza dengan badut yang menghiburkan parti hari jadi. Malah saya sendiri tidak menggunakan belon sebagai peralatan menghiburkan pesakit. Saya menggunakan peralatan di hospital dan menjadikannya parodi ketika menghiburkan pesakit seperti stetoskop pelocot tandas untuk memeriksa kesihatan orang sakit,” katanya.

Mereka yang berminat menyumbang kepada Red Bubbles boleh disalurkan ke akaun Maybank Red Bubbles : 5640 7000 2826 atau menghubungi Iskandar Syah melalui alamat drbubbles@redbubbles.org.my.

Info : Program Doktor Badut Profesional

* Dimulakan pada pada 1986 di bawah program Big Apple Circus Clown Care Unit yang dimulakan Michael Christensen di New York, Amerika Syarikat.

* Program itu kini dijalankan di seluruh dunia seperti di Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah.

* Program Doktor Badut Profesional membolehkan mereka bekerja dalam perkongsian dengan profesional kesihatan lain.

* Secara umumnya, doktor badut mengalihkan perhatian kanak-kanak semasa prosedur menyakitkan, membantu menenangkan kanak-kanak yang bermasalah dalam kecemasan, menggalakkan kanak-kanak dalam fisioterapi selain menceriakan pesakit yang mungkin bosan tinggal di hospital.

* Doktor Badut Profesional bukan hanya dilatih menjadi badut dengan perwatakan ceria tetapi mahir dengan suasana persekitaran hospital yang sensitif serta bidang psikologi.

* Mereka juga perlu mampu menjadi penghibur yang boleh membuat mimik muka, menyanyi, bermain alat muzik serta perlu mempunyai sifat peribadi yang kukuh seperti gerak hati, sensitif, belas kasihan, fleksibiliti dan empati.

* Calon Doktor Badut Profesional juga dilatih mengendalikan pesakit yang sedang kesakitan, kawalan jangkitan, peralatan yang sesuai digunakan dan kaedah silap mata yang mudah.

* Tidak hanya menghiburkan kanak-kanak tetapi juga dilatih untuk menghiburkan ibu bapa dan saudara mara pesakit. Ini kerana bukan pesakit kanak-kanak saja yang memerlukan hiburan, orang dewasa seperti ibu bapa juga memerlukannya. Sekurang-kurangnya tekanan yang dihadapi apabila melihat si kecil menahan kesakitan dapat dikurangkan apabila melihat gelagat si badut.

Oleh: Rohaniza Idris
Sumber: BHarian [2013/03/02]

Clown Care

Clown Care adalah satu program di hospital-hospital dan pusat-pusat perubatan yang melibatkan kunjungan dari badut yang dilatih khas. Badut yang dipanggil 'Clown Doctor' atau "Doktor Badut" akan membuat lawatan ke hospital untuk membantu penyembuhan pesakit dengan kuasa positif harapan dan jenaka.

Profesion Doktor Badut di hospital bermula pada tahun 1986 di bawah program yang dipanggil Big Apple Circus Clown Care Unit. Ianya dimulakan oleh Michael Christensen di New York. Program Doktor Badut kini beroperasi di setiap negeri di Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan seluruh Eropah.

Doktor Badut hadir ke hospital khusus untuk membantu keperluan psiko-sosial kanak-kanak. Mereka parodi rutin hospital untuk membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. Mereka juga membantu kanak-kanak melupakan prosedur perubatan yang menyakitkan atau menakutkan. Suasana keseronokan dan gembira boleh membantu kanak-kanak melupakan seketika tentang penyakit dan tekanan yang mereka alami.

Doktor Badut menggunakan teknik seperti silap mata, muzik, bercerita, dan kemahiran kebadutan lain untuk memberikan persakit kanak-kanak tersebut dos keseronokan yang dapat membantu mereka mengatasi pelbagai emosi semasa di hospital: seperti ketakutan, kebimbangan, kesepian, kebosanan.

Sumber: wikipedia

2 comments:

MyFreeMinded berkata...

Tahu kewujudan Dr Badut tapi di Malaysia tak tahu pun. Tahniah buat mereka yang mempunyai niat yang sangat murni itu.

BLOG ANAK MAMA^^ berkata...

Betulkan..di Malaysia belom ada lagi. Bagus juga ada doktor2 macam ni ada di Malaysia. Disamping nak merawat kanak-kanak kecil ni, doktor juga hilang stress sebab mengundang aura positif^^ untuk semua.Bagus entry awak..harap doktor kat Malaysia kreatif begini.